Air Mata Seorang Pejuang Dakwah

 

“Nanti bila dah sampai dekat KL baru buka ya,” ujar Naqibku sambil menyerahkan sepucuk surat kepadaku. Aku mengangguk lalu mengukirkan senyuman pahit buat kali yang terakhir untuk dirinya. Aku juga tidak tahu perasaan apakah ini. Hati penuh bercampur baur dengan 1001 perasaan. Ini mungkin adalah kali terakhir aku akan berjumpa dengan beliau. Entah aku juga tidak tahu sampai bilakah aku akan bertemu dengannya kembali.

“ This is a final call to all remaining passengers for Qatar Airways flight AK 2363 bound to Kuala Lumpur, please proceed immediately to the gate A5 for boarding, thank you,” corong pembesar suara di Dublin Airport berbunyi memecahkan suasana dingin persekitaran di lapangan terbang itu.

“Ana gerak dulu ya akh, doakan ana agar tetap tsabat,” aku menyapa lembut sambil mengukirkan senyuman seikhlas hati kepada beliau sebelum meninggalkan bumi Shamrock buat kali yang terakhir. Aku segera memeluk erat tubuh pendakwah muda itu dengan seerat-eratnya lalu bermujamalah dengannya. Tiba-tiba perasaan sebak di dada kembali meruntun di dalam jiwa. Aku tidak mampu untuk menyeka air mata jantanku yang ku tahan sejak tadi. Titisan jernih air mata kaca mula berguguran membasahi kedua-dua belah pipiku. Aku segera menarik hand luggage beg ku yang berwarna merah jambu itu segera ke kaunter imigresen untuk diperiksa oleh pegawai bertugas sebelum masuk bergerak ke pintu pelepasan. Sempat aku kalihkan pandanganku kepada murabbiku, lalu hatiku berbisik, “Terima kasih Allah atas ukhuwwah ini. Tamatlah sudah permusafiran ku selama 2 tahun setengah di perantauan, maka berikanlah aku hidayah untuk meneruskan perjuangan di bumi realiti,”

Hari ini adalah hari terakhir aku akan berada di negara Ireland. Aku juga tidak pernah tahu kapankah aku akan kembali ke sini. 30 bulan perjalanan suka dan duka menimba latihan dakwah dan tarbiyah di bumi orang. Walaupun tidak lama hanya sekadar 2 tahun setengah, cukup mematangkan aku untuk mengenal apa erti kehidupan. Persahabatan, percintaan, pengorbanan, kepimpinan, pengurusan dan ah.. banyak lagi nilai yang aku belajar untuk menjadikan aku insan yang mengenal apa itu erti hidup berTuhan.

Setelah 7 jam perjalanan merentasi beberapa buah negara, kapal terbang mula mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi. Berbaki lebih kurang 30 minit sebelum tiba waktu syuru’, Aku segera mencari musalla yang berdekatan untuk menunaikan solat subuh 2 rakaat di sana bersama jemaah di sana. Aku sengaja memilih perjalanan yang akan transit di negara yang majoritinya adalah beragama Islam seperti Qatar kerana kemudahan-kemudahan yang disediakan di sana kerana fasiliti yang disediakan adalah mesra Muslim seperti tandas, musalla dan kafe makanan halal.

Selesai membaca mathurat pagi yang menjadi rutin buatku semenjak dibangku sekolah menengah, aku teringat akan warkah yang dikirimkan oleh Naqibku. Aku segera mengambil surat tersebut yang terselit rapi di celahan buku di tengah halaman muka surat Qawaid Dakwah karangan Dr Hameem Saeed yang aku letakkan di zip bahagian hadapan beg sandangku. Aku membaca dengan penuh cermat setiap baris tulisan itu. Cantik tulisannya.

 

“ Salam Akhi,

Ana nak ucapkan selamat pulang ke bumi amal di Malaysia. Pengalaman-pengalaman berharga yang enta dapat sewaktu di United Kingdom ni praktikkanlah sebaiknya apabila sampai di Penang. Bumi latihan di UK tidak akan sama dengan bumi realiti Malaysia. Waqi’e nya berbeza. Cabaran lebih besar di Malaysia dari luar negara. Ramai ikhwah/at meninggalkan medan setelah back for good kerana tekanan yang datang dari komitmen kerjaya, keluarga, ekonomi dan amal dakwah.

Di luar negara mungkin kita adalah pimpinan, tetapi apabila di Malaysia kita adalah jundi yang menjadi sulbah untuk menggerakkan amal di kawasan. Ingat pesan ana;

  1. Sampai di KLIA, minta segera terus hubungi ikhwah berdekatan. Ana dah maklumkan kepada unit tarbiyah kawasan yang anta akan pulang beramal di Malaysia. Minta segera hubungi dan rajin berjumpa dengan ikhwah. Jangan segan walaupun tidak kenal mereka. Biasakan diri dan jadilah proaktif untuk membantu amal kawasan walaupun kita tidak ditaklifkan dengan amal khusus untuk permulaan pertama. Apabila ada masalah maklumkan kepada mas’ul, jangan simpan sorang-sorang.
  2. Settle down cepat-cepat urusan peribadi enta, rumah sewa, tempat enta belajar, kenderaan enta, akaun bank, keluarga enta dan lain-lain. Biasakan diri untuk cepat settle down di kawasan baru supaya enta tidak kekok untuk keluar berprogram. Susun dan urus kehidupan enta utk 3-4 bulan pertama supaya enta tidak kalah dengan dunia. In sha Allah once dah okay, everything should be fine.
  3. Dan inilah yang paling penting, tiada kompromi dalam urusan ini. Jagalah hubungan dengan Allah walau di mana jua enta berada. Solat jemaah, Qiam, Quran, zikir, sepatutnya tidak menjadi isu kerana itulah taklifan fardi sebagai seorang muslim sejak kita lahir lagi. Pengkhianatan paling besar kepada dakwah bagi seorang duat adalah apabila beliau culas dalam menjaga hubungannya dengan Allah sedangkan ia membawa risalah ditengah-tengah kejahilan umat.

 

Selamat maju jaya di Penang nanti. Enta telah memilih laluan karier enta sebagai doktor perubatan. Jangan pernah kalah dengan kesibukan clinical years dan housemanship. Istiqamah dalam study. Buktikan walaupun enta busy tapi enta mampu buat amal tajmik dan bawa usrah pada masa yang sama cemerlang dalam akademik. Oh ya, last sekali jangan lupa settlekan urusan BM enta ya. Ramai akhawat-Akhawat Penang yang Qawiy 😉 Hehehe… gurau2..

Kakanda Hairul

Dublin, 25 Januari 2016

0235am

****************************************************************************

 

“Yes Hazim, any differentials?” Aku terkejut dari lamunanku. Aku segera mengangkat pandanganku dari lantai kepada Dr. Vasanthie. Dia memandangku dengan tajam sambil mengerutkan keningnya,

 

“ Dreaming again during discussion?” sindirnya dihadapan pesakit dan rakan-rakan pelajar perubatan yang lain.

 

Pipiku merah padam, malu barangkali. Bed side teaching yang sudah menjangkau pukul 12 tengah hari itu menyebabkan aku hilang fokus kepada topik perbincangan tentang pesakit dihadapanku. Tidak sangka sampai ke situ pula aku mengelamun. Penat barangkali. Kes hari ini sangat menarik sebenarnya kerana diskusi topik hari ini berkisar kepada management of scoliosis dan orthopaedic examination in children and adult. Tetapi entah mengapa sejak 2 menjak ini, aku kerap hilang fokus, entah kenapa, aku pun tidak tahu. Aku cuba mencari jawapan tetapi aku pun tidak tahu. Kesibukan demi kesibukkan dalam mengruskan kehidupan sebagai seorang pelajar perubatan pada masa yang sama sebagai seorang daie kadang-kadang menyebabkan aku takut akan hambatan-hambatan dakwah yang akan menyebabkan aku futur.

Aku mula risau apabila melihat abang-abang, kakak-kakak dan rakan-rakan yang dahulunya aktif beraktivisme di IPT kini perlahan-lahan mula meninggalkan medan. Alasan demi alasan diberikan. Ada yang sibuk bekerjaya, ada yang sibuk menguruskan rumah tangga, ada yang mempunyai masalah ekonomi, ada yang disibukkan dengan urusan ibu bapa serta keluarga.  Tidak kurang juga rakan-rakan usrah aku yang dulunya adalah pimpinan persatuan pelajar, aktif membawa halaqah dan berprogram, tetapi apabila pulang ke Malaysia sunyi tiada khabar berita. Allahu..  aku takut adakah aku juga akan menerima nasib yang sama. Kini baru aku mengerti mengapa ramai ikhwah berkata cabaran di bumi Malaysia lebih besar berbanding di luar negara. Tidak kurang juga rakan-rakan di dalam negara turut menghadapi tempias yang sama. Sungguh hidayah itu milik Allah, tiada siapa yang dapat memberikan dan mengekalkan kecuali dengan izin-Nya.

Aku pernah bertanya kepada naqibku sewaktu sesi halaqah mingguan,

 

“Kenapa ya akhi boleh jadi macam tu? Kenapa org yang hebat2 dalam dakwah juga boleh futur? ”  soalku bersahaja, sengaja menguji naqibku untuk mendengar respon dari orang-orang lama dalam tarbiyah.

 

Naqibku memandang tepat ke wajahku dengan penuh kesungguhan. Reaksi wajahnya menimbulkan satu persoalan yang agak sukar dijawab. Lalu beliau menjawab dengan tenang,

 

“Hidayah itu milik Allah, kita hanya mampu memberi laluan dan platform serta berusaha membantu ikhwah kita sebaik mungkin. Allah boleh pilih siapa yang dia sukai dan siapa Dia inginkan untuk terus kekal di atas jalan dakwah sehingga ke liang lahad,”

 

Bukankah Nabi pernah bersabda yang mafhumnya;

 

“Setiap amal mempunyai masa semangat (syirrah), dan setiap masa semangat terdapat pula masa turun semangat (fatrah). Barangsiapa yang masa lemah semangatnya masih berada pada sunnahku, maka dia telah mendapat petunjuk. Dan barangsiapa yang masa lemah semangatnya menjurus ke sesuatu yang lain, maka dia akan binasa”

 

“Oleh sebab itu, kita perlu sentiasa berdoa agar Allah tetapkan hati kita di atas hidayah-Nya seperti mana kita dianjurkan untuk berdoa

 

‘Ya Muqallibal Qulub Thabbit Qalbi A’la Dinik Wa ‘ala Thaa’tiq’

Ana juga tidak akan pernah tahu sampai bila akan berada bersama dengan antum. Boleh jadi hari ini ana bersemangat, esok lusa tiada siapa yang tahu. Kita memilih jalan kita berdsarkan kefahaman yang kita ada dengan keyakinan yang kita imani di atas fikrah dakwah dan tarbiyah dipacu dengan nilai iman dan ukhuwwah,” sambung naqibku lagi.

“Tapi antum tahu tak apakah pengkhianatan paling besar yang sering dilakukan para duat yang menyebabkan beliau futur? soal naqibku menutup perbincangan halaqah kami selepas mengupas bab 2 Talbis Iblis karangan Imam Ibnu Al-Jauzi.

 

 

Kami menggeleng kepala, seolah-olah tidak tahu apa2. Kami agak sedikit kekok pada malam itu kerana jarang sekali beliau mengakhiri halaqah dengan persoalan yang agak serius seperti itu. Persoalan tersebut yang agak serius itu agak berlawanan dengan perwatakan murabbiku ini yang agak lebih santai dan humour tetapi mempunyai prinsip dan ketegasan dalam mendidik kami

 

“Dia culas dalam urusan amalan fardinya,”ujarnya serius.

 

Kami semua terdiam. Suasana sunyi sepi. Hanya bunyi kipas yang berpusing bersama bunyi cengkerik memecah kesunyian pada malam hari Rabu itu.

 

“Pengkhianatan paling besar dalam diri para duat adalah apabila ia tidak menjaga amal fardinya kepada TuhanNya apabila berseorangan. Ia hanya nampak hebat apabila bersama ikhwah tetapi apabila berseorangan dia culas. Antum semua pernah dengar tak hadis berkenaan gunung tihamah?

 

“Gunung tihamah?” aku bertanya kembali kehairanan

 

“Ya…,” balas naqibku. Lalu beliau membacakan hadis ini;

 

Dari Tsauban radhiyallahu ‘anhu, Rasululllah shallallahu ‘alaihi wasallambersabda, “Sungguh aku mengetahui beberapa kaum dari ummatku yang datang pada hari Kiamat kelak dengan membawa kebaikan-kebaikan seperti gunung Tihamah yang putih, lalu Allah jadikan kebaikan-kebaikannya tersebut seperti debu yang berterbangan, mereka itu adalah saudara-saudaramu, dari jenis kulitmu, dan mereka menjadikan malamnya sebagaimana kalian menjadikannya, akan tetapi mereka kaum yang apabila dalam keadaan sepi mereka melanggar larangan-larangan Allah.” (HR. Ibnu Majah, hadits ini dishahihkan oleh Syekh Al-Al-Bani)

 

Lalu dia mensyarahkan dan membuat satu refleksi yang ringkas sebagai taujihat akhir halaqah  pada kami,

 

“Bagi orang yang  berada dalam jalan Tarbiyah, maksiat itu merujuk apabila ia berseorangan ia kikir dari mengingati Allah, kurang nilai himmah alliyahnya ketika bersendirian, tiada daya tolak yang kuat untuk keluar berdakwah walaupun berseorangan, tidak mampu untuk menjaga dirinya dari perkara-perkara harus yang melalaikan dan sia-sia serta amalan fardi yang tidak konsisten kerana disibukkan dengan urusan-urusan dunia,” ujar beliau tenang.

 

“Dan sudah pasti perkara yang lebih kita risau apabila daie itu sendiri secara literal membenarkan hadis Nabi yang ana sebutkan tadi dengan bermaksiat kepada Allah SWT seperti berzina, meninggalkan solat, tidak berpuasa, mencarut, melihat perkara yang haram dan seumpamanya. Dan inilah punca utama kefuturan seorang daie,” beliau menyambung dengan lebih teliti untuk menghuraikan.

 

Ada banyak tanda mereka itu mula futur, tetapi tanda yang biasa ana lihat sepanjang ana berada dalam tarbiyah adalah mereka yang akan mula-mula meninggalkan medan amal adalah mereka yang kerap memberikan alasan yang tidak syar’ie terhadap program dakwah dan tarbiyah,” sambungnya lagi.

 

Taujihat itu masih terngiang-ngiang dalam kotak fikiranku. Sambil menunggang motor kapcaiku daripada Bertam ke Jelutong yang mengambil masa perjalanan selama 45-50 minit perjalanan, aku bermuhasabah sedalam-dalamnya. Dimanakah kedudukan aku di sisi Tuhanku. Apakah aku benar-benar menjaga urusan Tuhanku ketika berseorangan atau hanya nampak alim dan wara’ di hadapan manusia?

 

Malam itu aku menangis laju. Teresak-esak. Sangat perit. Sakitnya hanya Tuhan yang tahu. Air mata jantan mula membasahi pipi. Panas mengalir di pipi ku. Sudah lama aku tidak menangis seperti ini. Seingat aku kali terakhir aku menangis sebegini adalah sewaktu aku hendak fly ke overseas dulu. Itu pun acah-acah cover macho. Tapi kali ini aku tidak mampu untuk menipu aku sendiri. Aku biarkan ia mengalir malam itu. Hujan mula turun membasahi bumi mengiringi aku membawa Honda Wave Dash pulang ke rumah. Aku menggenggam erat seluarku, cengkam sekuat-kuatnya sewaktu berhenti di persimpangan jalan. Aku tertunduk rapat membenam wajahku ke bumi.

“Dosa yang kita lakukan akan menyebabkan hati kita gelap. Hati yang mati tidak akan dapat menerangi hati yang mati, Malah dosa yang ada pada diri kita akan mempengaruhi masayrakat di sekeliling kita. Dakwah tidak akan menang dengan hati yang kotor kerana perjuangan islam sifatnya suci dan bersih. Hanya mereka yang bersih sahaja akan berjaya tsabat tetap sehingga akhir hayat,”  ayat tersebut masih terngiang-ngiang dalam ruang mindaku. Taujihat dari seorang murabbi yang sangat tsqiqah perawakannya menyebabkan  aku sedar aku jauh dari Tuhan.

Aku bermonolog sendirian, “Wahai Tuhan, ampunkan aku, sungguh banyak dosa ku pada mu Ya Allah. Matikanlah aku dalam Iman dan Islam,”

Wahai Tuhan, inilah kesaksianku dihdapanMu, merendah diri memohon kepada-Mu agar daku terus Tsabat dan tetapkanlah daku di atas jalan dakwah dan Tarbiyah sehingga akhir hayatku. Biarlah air mata yang mengalir ini menjadi bukti di atas perjuangan terhadap pengorbanan seorang hamba yang bergelar pejuang dakwah.

 

 

Mohammad Aiman Hazim Zamri

Aktivis Ikatan Muslimin Malaysia Seberang Perai Utara (ISMA SPU)

Aktivis Kesatuan Alumni Se-Eropah (KAISER)

Pelajar Tahun Akhir Perubatan

Penang Medical College (PMC)

Related Posts with Thumbnails

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Check Also

MAJLIS KHATAM QURAN KOMUNITI MALAYSIA CARDIFF

  Cardiff, 26 June- Komuniti Malaysia di Cardiff telah berjaya mengkhatamkan 30 juz Al-Quran pada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *