AJAIBNYA ISLAM

Teringat sewaktu kali pertama saya menjejakkan kaki ke bumi UK, setelah menempuh perjalanan hampir 20 jam dari tanah air. Ketika itu rombongan kami empat orang, tetapi mungkin kerana tersilap maklumat, akhirnya tinggal saya seorang di Terminal Keretapi Sheffield menanti senior yang tidak kunjung tiba. Kawan-kawan lain sudahpun berangkat ke alamat rumah masing-masing yang mereka peroleh sebelum berlepas lagi.

Sheffield_Railway_Station

Stesen Keretapi Sheffield

Hakikatnya, itu adalah kali pertama saya menjejakkan kaki ke bumi Britain, kali pertama melihat golongan manusia berambut perang (blonde) dalam kuantiti yang begitu ramai, malah kali pertama keluar dari Malaysia. Internet yang diharapkan mudah diakses tak berjaya dicapai oleh model Samsung Corby, Simcard yang diberi senior entah bagaimana hendak dipasang, telefon awam pula entah ke mana. Tidak mampu berhubung dengan siapa-siapa, akhirnya saya ambil keputusan menunggu sahaja di tempat yang begitu asing tersebut seorang diri.

Hampir sejam, aliran darah mula meningkat ke status panik. Bermacam-macam andaian mula menari-nari dalam kepala. Akhirnya, mungkin kerana jet lag dan keresahan, saya berjalan ke pusat bandar mengheret bagasi 30 kg sambil baju kot arahan MARA masih disarung. Harapannya, dapatlah berjumpa dengan mana-mana kafe siber untuk dapatkan WIFI.

Dipendekkan cerita, tak satupun kafe siber ditemui kewujudannya. Pilihan alternatif semakin pudar. Akhirnya kepala yang semakin berat dan kulit yang tak dapat menahan kesejukan menyuruh diri baring sahaja di taman permainan terdekat. Hampir setengah jam tidur, terdengar suatu ungkapan yang begitu biasa didengar:

“Assalamualaikum”

Ucapan indah itu ternyata datang dari dua orang lelaki Somali yang sedang dalam perjalanan menunaikan Solat Zohor. Terus saya meminta mereka membawa saya ke masjid terdekat. Sambil tersenyum, mereka menghulurkan tangan menawarkan untuk menarik beg. Akhirnya, setibanya di masjid bertemulah saya dengan senior memakai baju Persatuan Malaysia Sheffield.

Agak ironi, beribu-ribu batu jauh dari tanah air negara Islam, akhirnya di rumah Allah jua saya temui pertolongan.

Nikmat Islam di Luar Negara

Allah berfirman dalam Surah Al Mulk (67: 15): “Dialah yang memjadikan bumi untuk kamu yang mudah dijelajahi, maka jelajahilah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian daripada rezekiNya. Dan hanya kepadaNyalah kamu (kembali setelah) dibangkitkan”.

Hakikatnya, pemusafiran itu membuka mata dan hati. Keajaiban Islam juga terserlah apabila semakin banyak tempat kita mengembara dan semakin ramai manusia yang kita jumpa.

Bayangkan, apakah lagi perkara dalam dunia ini yang membolehkan kita berjumpa dengan jutaan manusia yang tidak dikenal dari segenap pelusuk dunia, berdiri dalam satu saf, membaca bacaan yang sama, mengikut gerakan yang sama, berbuka puasa bersama, mendoakan satu sama lain dan terikat dengan ikatan utuh aqidah pada Tuhan yang satu?

Saya kagum apabila menerima ucapan salam daripada rakan berbangsa Arab, saya kagum apabila diajak berbuka di Masjid Somali, saya kagum apabila dapat bersolat satu saf bersama Jemaah Pakistan, saya kagum apabila rakan orang putih mualaf begitu bersemangat memuji Islam dalam media sosialnya.

slide-makkah1

Pengalaman di Makkah membuka mata hati akan keindahan ukhuwah Islamiah

Yang paling menakjubkan sudah pasti adalah apabila setiap Imam membaca bacaan yang sama dari sebuah kitab suci yang tidak berubah selama 1400 tahun. Antara nikmat yang terbesar bagi saya adalah mendengar Kalamullah dibaca dengan seragam di segenap pelusuk dunia, tanpa mengira bangsa mana yang membacakannya.

Manusia Mencari Persamaan

Saya pernah berborak dengan rakan ateis berbangsa kulit putih mengenai agama. Atas rasa ingin tahu, dia meminta saya membawanya ke masjid berdekatan.

Salah satu hal yang dipertanyakan kepada saya adalah “Bagaimana kamu boleh dengan mudah sahaja bercampur dan bersolat bersama orang Arab dan Pakistan yang kamu tak kenal?”

Maka saya jawab “Hakikatnya semua orang mahu mencari persamaan dengan orang lain. Apabila bertemu dengan orang lain yang sama-sama sukakan game Pokemon atau kelab bola, senang kita nak buat kawan. Macam tu jugak apabila kita berjumpa dengan rakan senegara, semangat nasionalisme itu buatkan kita secara automatik ada ikatan dengan mereka”.

“Tapi hobi kita boleh saja berubah. Maka kawan yang lama pun kita lupakan. Mungkin kelab bola kita kalah teruk musim tu, maka kita pun menukar minat ke kelab lain. Begitu juga, garisan arbitrari yang membentuk sebuah negara itu juga boleh berubah dan diubah sebagaimana perjanjian sykes-picot membahagi tanah Arab kepada negara-negara baru”

“Ikatan yang terbina atas kepercayaan pada Tuhan yang satu bagaimanapun kekal dan utuh, merentas masa dan tempat, melangkau warna kulit dan status. Itulah titik temu manusia yang paling teguh sekali”. Sambung saya.

Rakan saya itu pun mengangguk tanda bersetuju. Moga Allah memberikannya hidayah.

races in islam

Tiada konsep perkauman assobiyah dalam Islam

Islam Penyelamat Dunia

Kita sekarang berada dalam situasi dunia yang aneh. Bermacam-macam fahaman, agama dan ideologi baru mula timbul dalam pelbagai bentuk. Feminisme, Ateisme, Liberalisme, pejuang lgbt, humanisme, kapitalisme dan pelbagai lagi jenis isme yang lain. Setiap daripada mereka memecahkan diri mereka kepada sub-pecahan yang lain lantaran tiadanya sumber rujukan tetap sebagai sandaran.

isme isma

pelbagai isme-isme


Tetapi tidak Islam. Islam menawarkan kitab rujukan langsung dari Tuhan yang terpelihara beribu-ribu tahun. Islam menawarkan disiplin metodologi yang ketat memelihara hadis dari rasul. Islam menawarkan persaudaraan manusia dari konsep ummah dan ketaqwaan. Yang paling penting, Islam menawarkan kebenaran hakikat ketuhanan yang murni.

Saya percaya Islamlah solusi masalah dunia masa ini.

Saya amat bersyukur kerana diteguhkan Allah untuk kekal menganut agama yang menakjubkan ini.

Ajaibnya Islam.

Related Posts with Thumbnails

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Check Also

photo6030491859110963118

JUMP 2017 : Puncak Tertinggi Wales Ditawan, Bukti Kesungguhan Ahli

Snowdonia, Wales, 14 April- Jalinan Ukhuwah Musim Panas(JUMP) anjuran ISMA UK-Eire telah berjaya menghimpun ahli …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *