Baitul Muslim – Dia atau Aku?

Setiap manusia telah ditetapkan jodohnya masing-masing oleh Allah swt. Persoalannya kini ialah bagaimana kita akan bertemu dengan pasangan kita itu nanti.

Ada manusia yang memilih untuk berkawan rapat dan bercinta terlebih dahulu sebelum melangsungkan perkahwinan kerana ingin mengenali terlebih dahulu hati budi masing-masing sebelum mengikat perkahwinan. Ada juga pasangan yang berkahwin kerana pilihan keluarga. Mereka mungkin telah saling mengenali satu sama lain ataupun mungkin juga tidak pernah mengenali langsung pasangan itu. Ada juga yang memilih pasangan yang sudah dikenali hati budinya melalui tingkah laku dan peribadinya yang diperhatikan setiap hari kerana menuntut pengajian atau bekerja di tempat yang sama. Ada juga yang berkenalan ketika manaiki bas tambang sekali dan bermacam-macam lagi kisah yang ada.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai kisah dan cara bagaimana sesuatu pasangan itu bertemu sebelum mereka berkahwin. Kepada mereka yang berada di dalam tarbiyah, mungkin istilah Baitul Muslim itu bukanlah sesuatu yang asing bagi mereka. Secara mudahnya, baitul muslim ini adalah sebuah biro ‘mencari jodoh’ bagi muslimin dan muslimat yang berhajat mendirikan rumah tangga.

Ada dua kaedah bagaimana biro baitul muslim ini berfungsi. Antaranya ialah ikhwah/akhawat itu sendiri boleh mengajukan nama calon yang dirasakan berkenan di hati dan pihak baitul muslim akan menjadi orang tengah untuk merisik bagi pihaknya. Sekiranya positif, langkah seterusnya akan diatur sehinggalah kedua-dua keluarga yang terlibat akan meneruskan langkah-langkah seterusnya dari segi peminangan dan walimatul urus. Semuanya itu diuruskan dengan baik untuk menghindari sebarang maksiat sebelum sahnya ikatan perkahwinan itu nanti.

Ada juga di kalangan ikhwah/akhawat yang masih belum mempunyai siapa-siapa di hati tetapi berhajat untuk ‘mendirikan masjid’. Jadi, pilihan yang ada ialah dengan mengisi borang baitul muslim dengan memberikan gambaran jelas tentang ciri-ciri calon pilihan. Dengan berbekal kan borang ini dan juga pengamatan sifat dan akhlak ikhwah/akhawat ini tadi oleh para naqib/naqibah masing-masing, pihak baitul muslim akan bermesyuarat untuk mencarikan calon yang dirasakan paling sesuai untuk mereka. Setelah itu, calon ini akan dicadangkan kepada ikhwah/akhawat ini tadi.

Di sinilah ruang untuk ikhwah/akhawat berfikir, berbincang dengan keluarga dan memohon petunjuk daripada Allah swt dalam membuat pilihan. Di sini juga adalah ruang untuk ikhwah/akhawat menginsafi dan menilai diri sendiri samada sekufu ataupun tidak dengan pasangan itu nanti. Sekiranya kedua-dua pihak bersetuju, maka langkah seterusnya ialah untuk bertaaruf dengan lebih lanjut sesama mereka dengan dipantau oleh pihak baitul muslim sendiri. Sekiranya telah merasakan serasi, maka langkah seterusnya akan diambli sehinggalah akhirnya ikatan perkahwinan terbina.

Pada pandangan saya, baitul muslim ini tidak banyak bezanya dengan kaedah cari menantu oleh ibu bapa sendiri. Jika suatu masa dahulu ibu bapa yang akan mencadangkan calon isteri/suami untuk anak masing-masing, kini tugas yang sama telah diambil alih oleh pihak baitul muslim. Jika asas pemilihan calon oleh ibu bapa dilakukan kerana mereka benar-benar mengenali peribadi calon itu, perkara yang sama juga telah dijalankan oleh pihak baitul muslim. Naqib dan naqibah yang telah lama mengenali anak usrah masing-masing akan memberikan laporan yang ikhlas tentang peribadi anak usrahnya kepada pihak baitul muslim. Jadi, usaha untuk mencari calon yang sekufu itu menjadi lebih mudah dan praktikal.

Cuma soalnya sekarang ialah, kita berani atau tidak untuk memilih jalan baitul muslim ini?

Ye lah, macam manalah kita nak berkahwin dengan calon yang langsung tidak pernah dikenali sebelum ini. Seolah-olah kisah-kisah klasik datuk nenek kita itu akan berlaku semula pada diri kita. Bahkan yang lebih sukar untuk diterima ialah, ketika zaman dahulu, berkahwin dengan calon yang tidak dikenali itu adalah sesuatu yang normal dan diterima baik oleh masyarakat, sedangkan kita sekarang ini hidup di zaman moden yang rata-rata masyarakat berkahwin kerana telah berkenalan lama dengan pasangan masing-masing. Apa pula pandangan masyarakat yang melihat kita ingin berkahwin dengan orang yang kita baru sahaja kenal?

Macam mana kenal? Dah berapa lama kenal?
Baru kenal dah nak kahwin? Biar betul? At least kawan la setahun dua dulu. Baru boleh kenal perangai sebenar dia.

Hmmm…apa pula pandangan kita sendiri?

Kadang-kala kita bertanya pada diri sendiri, ish…macam mana dia boleh terima aku sedangkan dia tak pernah kenal aku pun sebelum ni? Atau kita mungkin berkata, macam mana aku boleh nekad pulak nak terima dia sedangkan aku pun baru sahaja kenal dengan dia? Persoalan-persoalan sebegini mungkin kerap kali menghantui ikhwah/akhawat ketika ingin memilih baitul muslim sebagai jalan untuk mendirikan rumahtangga lantas ada daripada ikhwah/akhawat memilih cara ‘normal’ masyarakat kini iaitu berkenalan dulu, bercinta sikit-sikit dan akhirnya baru berkahwin.

Bagi saya, itu bukan persoalan yang harus ditanya. Tetapi soalannya yang seharusnya kita tanyakan pada diri sendiri ialah, sejauh mana kita boleh pastikan yang calon itu tidak akan menyesal sekiranya dia memilih kita? Sejauh mana dia akan bersyukur kerana telah memilih kita sebagai pasangannya? Sekiranya ini yang kita fikirkan, maka kita tidak akan main-main bila kita membuat keputusan untuk mengisi borang baitul muslim. Kita akan serius menyediakan diri dengan kualiti yang paling baik supaya kita tidak menzalimi calon kita itu nanti dengan pembohongan yang ada atas borang kita. Kita akan berusaha menjadi calon yang paling baik untuk pasangan kita itu nanti. Yang paling penting ialah ikhlas.

Jadi, yang lebih penting di sini bukanlah sejauh mana si dia bersedia, namun sejauh mana kita yang bersedia untuk si dia. Jika inilah yang difikirkan oleh setiap ikhwah/akhawat yang ingin menggunakan kaedah baitul muslim ini, insyaallah kita tidak akan ragu-ragu lagi dengan bakal pasangan kita itu nanti. Kita mampu untuk berasa yakin dengan nilai akhlak dan peribadi yang ada pada calon pasangan kita itu nanti. Jadi, sudah bersediakah kita? Tepuk dada tanyalah iman.

Firdaus A Bakar
Cardiff University
Pengerusi ISMA Eropah
Blog: Diari Dakwah

Related Posts with Thumbnails

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Add Comment Register



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>