Bibit Ramadhan Terakhirku di Bumi Ratu

Sungguh, tidak terasa. Tiga tahunku bermukim di sebuah pulau barat laut Eropah seperti baru sahaja dua tiga minggu lepas sahaja di benakku. Entah mengapa. Tika menelaah jurnal-jurnal yang berat dan sukar difahami, diriku merasa masa itu terlalu perlahan geraknya, mengalahkan perlahannya kura-kura gergasi Galapagos yang tidak pernah kisah akan terbangnya masa. Namun begitu, perbezaan yang terlalu ketara, menyebabkan aku bisa melakukan analisa dan kontra antara dua rumahku; Malaysia dan bumi ratu.

Tiga tahun yang berlalu, tiga tahun juga aku merasakan Ramadhan di bumi ratu. Puasa 18-19 jam sehari, berbuka puasa berseorangan, bersahurkan makanan iftar pada jam ~9:30 malam, dan tidak merasakan biah Ramadhan seperti di tanah air sendiri merupakan perkara biasa di sini. Betapa aku merindukan suasana puasa di Malaysia dan juga merindukan Ramadhan bersama gerombolan ikhwah sepanjangnya. Bukan aku menafikan bahawa di bumi ratu ini tiada ikhwah yang mampu melahirkan biah seperti di Malaysia, namun kami dipisahkan oleh geografi yang merata. Tidak lupa juga dengan kesibukan kajian Phd mereka, dan sahabat-sahabat lain yang pulang kembali ke pangkuan keluarga. Ah! Teringinnya pulang ke Malaysia. Kadang kala, rasa sesal mengambil jurusan bidang geologi yang memaksaku untuk melakukan field trip atau studi lapangan di tempat-tempat yang jauh dan terpencil dan memakan masa dua hingga enam minggu. Tetapi, bagiku, ini ialah dugaan Allah telah berikan padaku, untuk membukakan mataku, mengalami sendiri bagaimana rasanya, bagaimana pedihnya untuk berpuasa jauh daripada negara Islam.

Assynt
Tahun pertamaku menyaksikan Ramadhanku yang lompong, atas alasan kerja yang berat studi lapangan di bahagian paling utara United Kingdom, mengkaji kesan-kesan perlanggaran plet tektonik antara benua (Kaledonia). Aku sendiri tidak mampu untuk menafikan bahawa pengalaman dan ilmu yang ditimba olehku di Assynt, Scotland merupakan pengalaman yang amat sukar untuk diperoleh oleh orang Asia Tenggara, mahupun orang British sendiri, namun hal ini terpaksaku bayar dengan Ramadhan yang compang-camping.
Persiapan mental telah ku lakukan agar Ramadhan yang aku lalui selama separuh daripada studi lapangan bertempoh dua minggu itu dapat ku tempuhi dengan sebaiknya. Aku bertanyakan pendapat para imam dari rata-rata masjid di Leeds dan juga pendapat sahabat tempatan yang diam di London. Jawapan yang paling aku rasa amat menyedihkan ialah “if only the muslims in the UK are united enough to create a universal fatwa” ketika aku meminta fatwa tentang berpuasa ketika bermusafir. Andainya muslim di UK cukup bersatu untuk bersetuju atas sesuatu fatwa. Aku kira, di Malaysia, kita amat beruntung kerana mempunyai badan Islam yang bukan sahaja dikelola oleh kerajaan, tetapi mampu juga bersepakat atas permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat setempat.

Walaupun dengan persediaan awal telah ku lakukan, namun, cuaca di Utara Scotland yang terlalu kering dan sejuk (~5 darjah celsius setelah hujan), di samping kerja keras mendaki bukit daripada 9 pagi hingga 5 petang ternyata terlalu mencabar bagi anak Melayu yang ingin mengaut keuntungan berpuasa di bulan Ramadhan. Masalah dehidrasi sering ku temukan ketika bekerja lantas memaksaku untuk meneguk air kecemasan dalam beg galas, membatalkan puasa yang sepatutnya dijalankan selama 20 jam. Alangkah ruginya diriku tidak mampu berpuasa, walaupun diberikan rukhsah. Alangkah ruginya.

Assynt: Bekerja bersama-sama rakan yang berasal daripada serata dunia, melihat geologi bertaraf dunia dan kaki yang penat berjalan seharian tanpa henti.

Grassington
Ramadhan keduaku di bumi ratu dijalani rumah sahabatku di Leeds. Aku terkandas untuk berpuasa di sini atas sebab studi lapangan akhir tahun (dissertation) yang berlangsung selama 6 minggu. Namun begitu, aku amat bernasib baik kerana aku cuma perlu berpuasa selama 3 hari sahaja di atas perbukitan Yorkshire Dales. Alhamdulillah, tiada penghalang yang berat kecuali sinaran matahari musim panas yang tajam menusuk kulitku dan kerja berat daripada pukul 11 pagi hingga 4 petang, mendaki bukit batu kapur yang dahulunya terbenam oleh lautan dan kininya dihiasi dengan bebiri yang gemuk-gemuk belaka. Namun begitu, aku begitu ingin sekali sekiranya 3 hari terakhir Ramadhanku supaya dijalankan bersama ikhwah. Ramadhan itu ku akhiri berseorangan, dan bulan Syawal ku mulakan dengan takbir, solat raya dan rendang tok juga berseorangan.

Grassington: Dissertation yang memberi peluang tuk melihat dunia dengan kaca mata yang baru.
Leeds: Sambutan hari raya bersama komuniti di Leeds ketika “off-day” dissertation.

Leeds
Tahun ini pula tahun terakhir ku di bumi ratu dan aku menghabiskan Ramadhanku hampir semuanya di rumah sahaja. Ada juga sekali dua melawat ikhwah di Sheffield dan Bradford, namun begitu, suasananya tidaklah seperti di Malaysia.
Tiada bazar Ramadhan yang memberikan senyuman lebar pada anak yang dahagakan makanan “rare” dan hanya ada pada bulan Ramadhan. Yang ada cumalah kedai-kedai kebab yang telah menjadi makanan ruji tika musim peperiksaan. Yang mengubat rindu ini hanyalah santai Ramadhan yang dianjurkan oleh kelab MSCL dan Lumsoc di Leeds, mengedarkan kami juadah tempatan sekali seminggu. Tidakpun, juadah yang disediakan oleh ikhwah ketika diziarahi.
Terawih pula dilaksanakan pada pukul 11 malam dan waktu itu juga kebanyakan daripada kami telah terlalu penat dan sukar untuk memberikan tumpuan yang optimal pada solat. Tapi apa boleh buat? Isyak masuk pukul 11. Alahai, musim panas.
Ingat lagi tika aku masih menuntut di Kolej MARA Banting, di mana Ramadhanku diisi dengan qiam, dan masjid hopping di Banting dan Putrajaya bersama jemaah. Di sini, iktikaf di masjid hanya dibenarkan pada 10 malam terakhir dan bergantung kepada masjid, sahur yang berat tidak disediakan.

Aku rindu akan menyambut Ramadhan di Malaysia, tersangat rindu. Rindu akan biahnya, suasananya, orangnya dan negaranya. Tapi sebagai seorang manusia, aku tahu, kelak aku akan rindu jua Ramadhan di UK kerana tidak semua pengalaman yang aku lalui di England dan Scotland teruk belaka dan komuniti Melayu Islam di sini mencuba sedaya upaya membina suasana Ramadhan untuk semua yang tidak pulang ke tanah air. Apa-apa pun aku berharap agar kita semua mampu menjalankan ibadah puasa kita dengan sebaik-baiknya dan semoga Allah menerima amalan kita. Amin ya rabb.

 

Azri May, pemburu Lailatul Qadr

 

 

Related Posts with Thumbnails

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Check Also

Kekuatan Organisasi Kunci Kelangsungan Amal Dakwah di Sheffield

Sheffield, 14 Nov- ISMA Sheffield hari ini kembali semula menyusun strategi dan mengukuhkan organisasi persatuan …