Cardiff : Sesi Ramah Mesra bersama Presiden PEMBINA
22 Jun 2010 : Cardiff sebagai ibu negeri Wales bertuah apabila menerima kunjungan Presiden PEMBINA, Akhi Zaizul Azizi Azman yang sedang dalam rangka ziarah sanak saudara di UK dan Ireland. Sesi ramah mesra dan makan tengah hari telah diadakan di 15, Bedford Street, Cardiff.
Sesi ta’aruf bersama ikhwah Cardiff
Majlis yang bermula sekitar 3.00 petang telah dihadiri 15 orang pelajar lelaki yang masih berada di bumi Wales, di saat kebanyakan pelajar lain sudah menikmati keindahan kampung halaman di Malaysia. Namun, kesempatan cuti musim panas yang panjang ini diisi sebaik mungkin dengan pengisian ringkas dan membina daripada Akhi Zaizul Azizi Azman, graduan University of Melbourne.
Hadirin yang hadir khusyuk mendengar pengisian
Selepas berkenalan secara ringkas dengan hadirin yang hadir, Akhi Zaizul berkongsi pengalaman manis sewaktu terlibat dalam bidang dakwah di Universiti. Beliau menceritakan saat – saat indah apabila seorang pelajar non – muslim yang mengikuti usrah di rumahnya, tertarik dan akhirnya memeluk Islam. Presiden Pembina banyak menekankan tentang betapa pentingnya menghayati nilai – nilai dalam ibadah berbanding hanya banyak mengetahui serba – serbi sesuatu perbuatan. Selain itu, usrah juga perlu diterjemahkan ke dalam masyarakat dan berkemampuan untuk membuka mata non – muslim terhadap Islam jika ahli – ahlinya menonjolkan akhlak terpuji serta berhikmah dalam gerak kerja.
Akhi Zaizul menyampaikan pengisian
Pesanan terakhir Akhi Zaizul kepada adik – adik yang masih di tahun pertama hingga tiga adalah supaya menggunakan masa lapang pada waktu cuti dengan sebaik mungkin. Beliau menceritakan bagaimana cara – cara syaitan menghasut manusia menurut Ibn Qayyim. Cara yang pertama adalah mengajak manusia ke arah syirik, kemudian jika tidak berjaya, membawa manusia ke arah kufar. Jika iman manusia masih lagi di tahap yg kukuh, syaitan akan membisikan supaya terus melakukan dosa besar. Namun, jika manusia masih menahan hawa nafsu, syaitan akan terus mengajak ke arah melakukan dosa kecil atau kerap melakukan perkara harus seperti selalu tidur. Walau bagaimanapun, jika manusia masih lagi tidak tumpas, syaitan akan mengajak manusia supaya mencampur adukkan antara ibadah yang perlukan keutamaan dengan yg menjadi sampingan. Akhir sekali, syaitan akan membisikan pada hati manusia supaya tidak ikhlas dalam beribadah.
Perjumpaan yang ringkas ini sangat bermakna sebagai motivasi kepada ikhwah menjelang cuti yang panjang. Pertemuan diakhiri dengan jamuan tengahari yang disediakan oleh beberapa ikhwah tahun pertama Cardiff University.








Tweet This
Share on Facebook
Digg This
Save to delicious
Stumble it
RSS Feed






Comments
Powered by Facebook Comments