Cikgu Azizan, Moga Hatimu Terus Cekal Mendidik Anak Bangsa!

ISMA UK-EIRE melahirkan rasa syukur atas penarikan semula kes Cikgu Azizan pada hari ini. Sesungguhnya Allah akan sentiasa bersama pihak yang menegakkan kebenaran. Dalam kesempatan ini, marilah sama-sama kita sedarkan diri mengenai pendidikan generasi muda pada hari ini dan ilmu keibubapaan.  Perlu diingatkan, institusi pendidikan negara merupakan tunjang kepada pembangunan individu dan masyarakat yang seimbang dari sudut sahsiah, rohani dan jasmani. Melihat kepada isu yang berlaku khususnya kes yang berlaku terhadap cikgu Azizan, saya melihat sudah tiba masanya untuk ibu bapa mula muhasabah peranan masing-masing dalam pendidikan anak-anak.

Dari sudut perubatan, hubungan antara ibu bapa dan anak-anak tersangatlah ditekankan. Sebagai contoh, penyusuan susu ibu dan sentuhan kulit ke kulit selepas lahir selalu dipraktikkan di hospital-hospital seluruh dunia bagi menunjukkan pentingnya hubungan yang erat antara ibu bapa dan anak-anak. Kajian saintifik juga menunjukkan perkembangan anak-anak di usia awal sangat bergantung kepada pendedahan yang diberikan oleh ibu bapa. Sekiranya ibu bapa gemar menyanyi dan berkaraoke, maka anak-anak akan mempunyai kecenderungan untuk meminati hobi yang sama. Sebaliknya jika anak-anak dididik dengan asuhan akhlak, Al-Quran dan ilmu lain, maka mereka akan lebih cenderung ke arah itu ketika dewasa.

Sabda  Rasulullah SAW, maksudnya: “Setiap bayi yang dilahirkan adalah suci fitrahnya. Ibu bapalah yang menjadikan mereka Yahudi, Nasrani mahupun Majusi.” (HR Bukhari dan Muslim)

Sampai di usia sekolah, anak-anak akan mula didedahkan dengan pendidikan formal bersama guru-guru bermula dari tadika hinggalah ke sekolah menengah. Berdasarkan pemerhatian saya, kebanyakan ibu bapa menganggap pendidikan hanya berlaku di sekolah sahaja. Ketika di rumah, ibu bapa seolah-olah tidak sedar bahawa sikap dan amalan mereka di rumah turut menjadi penyebab utama perubahan sikap anak-anak. Lebih menyedihkan lagi, kebanyakan ibu bapa mula menyalahkan institusi sekolah atas keburukan sikap anak-anak mereka tanpa menyedari bahawa punca tersebut bermula dari rumah lagi! Atas tekanan ibu bapa inilah kita lihat pelbagai perubahan dan penambahbaikan dalam institusi pendidikan tetapi hal yang sama masih menjadi barah disebabkan kurangkan kesedaran dalam ibu bapa.

Oleh yang demikian, suka untuk saya menyeru ibu bapa di luar sana untuk mula memikirkan bersama adakah didikan yang diberikan kepada anak-anak mereka adalah didikan terbaik. Saya melihat sikap kebanyakan ibu bapa pada hari ini berbangga dengan kebolehan anak-anak mereka mampu menghafal lagu-lagu di corong radio yang terbaru, sentiasa “up to date” dengan berita-berita gossip artis di facebook dan sebagainya. Ini adalah pemula segala masalah di masa akan datang. Cukuplah kita meletakkan beban mendidik anak-anak sepenuhnya kepada sekolah tetapi ibu bapa tidak mampu mendidik diri sendiri untuk menjadi contoh yang baik buat anak-anak. Tambahan pula, sikap generasi muda hari ini yang berkahwin tanpa pengetahuan rumah tangga yang sempurna turut menambahkan lagi kerisauan buat generasi akan datang. Anak yang ramai bukanlah ukuran kebahagiaan sebuah keluarga tetapi sepatutnya sikap baik anak-anak yang menjadi kayu ukur kebahagian keluarga tersebut.

Namun begitu, tidak lupa untuk menyatakan rasa penuh bangga terhadap ibu bapa yang berjaya mendidik anak-anak mereka dengan sahsiah dan ilmu yang sempurna. Saya berasa bangga melihat anak-anak di usia belasan tahun yang cukup matang pemikirannya. Dalam cabaran hidup pada masa kini, tidak dinafikan terlalu sukar buat mereka untuk mengimbangkan perkembangan pemikiran anak-anak dalam kehidupan. Ditambahkan lagi dengan situasi persekitaran yang sangat mudah untuk mempengaruhi sikap mereka. Syabas buat ibu bapa! Buat warga pendidik pula, teruskan semangat perjuangan untuk mewujudkan generasi yang hebat dari sudut sahsiah dan ilmu. Tidak dinafikan dalam situasi masa kini, ketahanan emosi sangat diperlukan untuk membentuk anak-anak muda. Semoga terus diberikan kekuatan dan kemudahan diiringi niat yang ikhlas.

Sebagai konklusi, pendidikan bermula di rumah bukannya di sekolah sahaja. Keseimbangan aspek sahsiah, rohani dan ilmu perlu ditekankan untuk memastikan anak-anak membesar dengan sempurna. Perubahan sikap ibu bapa adalah tunjang perubahan sikap anak-anak kearah yang lebih baik. Sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia berhenti bergantung sepenuhnya kepada pendidikan formal disekolah untuk membentuk anak-anak mereka. Berhenti menyalahkan guru atas kepincangan anak-anak mereka. Berhenti mengkritik tindakan guru dalam mendidik anak-anak mereka. Anak adalah tanggungjawab dan amanah ke atas anda!

“Kamu sekalian adalah pemimpin, dan kamu sekalian bertanggung jawab atas orang yang dipimpinnya. Seorang Amir (raja) adalah pemimpin, seorang suami pun pemimpin atas keluarganya, dan isteri juga pemimpin bagi rumah suaminya dan anak-anaknya. Kamu sekalian adalah pemimpin dan kamu sekalian akan diminta pertanggungjawabannya atas kepemimpinannya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Muhammad Hazreen Ismail
Pelajar tahun akhir Perubatan
University College Cork
Ireland

Related Posts with Thumbnails

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Check Also

Kunjungan NYDP ISMA Kota Kinabalu Suntik Semangat Ahli ISMA Eropah

Cardiff, 20 Jan- Seluruh ahli ISMA Eropah mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada Naib …