Cukuplah Allah Bagiku

Cukuplah bagiku Allah yang menolong dan memeliharaku, tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, kepadanya aku berserah diri dan Dialah yang mempunyai Arasy yang besar.” [9:129]

Cukuplah Allah menjadi penolong dan pelindung kami yang paling baik.” [3:173]

“ Dan bertawakallah kepada Allah. Cukuplah Allah sebagai Pemelihara.” [ 33:3]

“ Dan cukuplah Allah sahaja menjadi pelindung kamu. Dan cukuplah Allah menjadi penolong kamu” [4:45]

Ayat-ayat di atas begitu menyentuh hatiku yang semakin tandus ekoran sibuk mencari kejayaan sementara dunia. Tiba-tiba muncul satu persoalan di hati ini. Di manakah sebenarnya aku meletakkan Dia di hatiku? Di kala senang mahupun di kala sibuk, di manakah Dia di hatiku? Persoalan pertama tidak lagi terjawab, soalan kedua membuat hatiku bergetar. Mereka kata, semakin kita susah, semakin kita akan meletakkan Allah sebagai pergantungan tertinggi di hati. Namun, bagaimana pula ketika di saat sibuk? Adakah sibuk ditakrifkan sebagai “susah”? Dan adakah kita hanya mengingati Dia di saat kita dilanda masalah? ~ sesi refleksi diri.

Pernahkah anda berasa kadangkala hati anda semakin jauh dengan Dia? Jika selalunya kita mampu mengalirkan air mata setiap kali berdoa selepas solat, namun tiba-tiba datang satu ketika, anda tidak mampu menitiskan air mata itu. Di samping itu, anda mendapati diri semakin payah untuk bangun melakukan solat tengah malam. Bukan itu sahaja, malah ayat hafazan juga semakin sukar untuk melekat di hati. Apabila surah hafazan cuba dibacakan dalan solat, banyak yang tersangkut-sangkut tidak lancar. Yang lebih menggusarkan hati apabila anda mula terlupa rakaat dalam solat, dan kadang-kala tersasul doa harian yang sememangnya biasa dibacakan. Hati ini mula risau, benar-benar risau. Penyakit hati.

Ubat hati ada 5 perkara:

  1. Baca Quran dan maknanya
  2. Solat malam dirikanlah
  3. Berkumpullah dengan orang soleh
  4. Berbanyakklah berpuasa
  5. Zikir malam berpanjangan

Analisa bagaimana penyakit hati boleh muncul:

Membaca al-quran tetapi tidak memahami apa yang dibacakan, tafsir dibaca namun pembacaan sekadar di lidah, bukan di hati. Kesannya, apabila tidak memahami maka tiada penghayatan, apabila tiada penghayatan maka tiada kekhusyukan. Ini yang mendorong kita keliru dalam rakaat solat, terlupa ayat hafazan dan tidak mampu menangis ketika berdoa.

Solat malam adalah rahsia kejayaan orang-orang hebat, itu yang Ana yakini selama ini. Yakinkan semula hati, pujuk semula diri dan imbau kembali saat-saat manis berdua-duaan dengan Dia di tengah malam yang sunyi. MasyaAllah, alangkah indahnya andai saat-saat manis itu dapat diulangi semula.

Berkumpullah dengan orang-orang soleh bermaksud bergaullah dengan rakan-rakan yang sentiasa mengingatkan kita kepada Allah. Mereka ini tidak akan membiarkan kita hanyut dalam perbuatan sia-sia. Nasihat dan kata-kata penyubur jiwa akan sentiasa diberikan. Inilah ukhuwwah fillah. Menjalinkan ikatan persahabatan dan kasih berlandaskan iman.

Selain itu, berpuasa juga mampu mendidik nafsu diri. Nafsu makan, tidur, berhibur dengan dunia, membuang masa dengan youtube, melayani komen-komen di facebook dan sebagainya. Nafsu ini seperti anak-anak kecil, yang sentiasa merengek selagi tidak mendapat sesuatu yang diingini, dan anak kecil ini akan terus merengek untuk mendapatkannya lagi. Jika dilayan, akan melarat dan memudaratkan. Nafsu yang tidak dididik akan mendewasa menjadi penguasa diri.

Zikir malam berpanjangan.

“ …dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka keampunan dan pahala yang besar.” [ Al-Ahzab : 35]

“ Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya, dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang.” [ Al- Ahzab: 41-42]

“ Bahawa seorang lelaki berkata, Wahai Rasulullah syariat Islam terlalu banyak untukku. Silalah beritahuku suatu perkara yang boleh aku tumpukan. Baginda bersabda, Hendaklah lidahmu sentiasa basah kerana berzikir kepada Allah.” [ Riwayat at-Tarmizi]

Ketahuilah bahawa zikir bukan hanya ucapan lisan, sebaliknya taubat adalah zikir, menuntut ilmu adalah zikir dan berfikir adalah zikir yang paling tinggi. Mencari rezeki jika disertakan dengan niat yang baik adalah zikir. Oleh itu, orang yang faham pasti akan berzikir dalam setiap keadaan. Dan semanis-manis zikir adalah zikir yang memberi kesan di hati.

Sahabat sekalian, dengan mengingati Allah semua perkara baik yang lain akan mengekori setiap langkah kita. Sentiasalah ingat “ Cukuplah Allah bagiku” dalam segala urusan.

~ Ana yang masih mengejar cinta Ilahi.

Related Posts with Thumbnails

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Add Comment Register



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>