Easter Rising: Pengajaran Buat Malaysia

Masih tidak lewat kiranya saya mengucapkan salam kemerdekaan yang ke 60 buat warga Malaysia di serata dunia. Sememangnya pengorbanan para parajurit dan kebijaksanaan pemimpin kita yang terdahulu telah memungkinkan kita untuk merasa kebahagiaan dan kenikmatan untuk bebas membentuk dan menentukan nasib negara kita sendiri.

Namun tahun ini sosial media kelihatan hangat berdiskusi mengenai isu meraikan parajurit British yang dikatakan berjuang ketika konfrontasi pasca merdeka antara Indonesia dan Malaysia. Ya, tidak dinafikan NGO-NGO seperti ISMA khususnya lantang mempertikaikan tindakan kerajaan ini. Tapi sekiranya kita tenangkan minda sejenak dan sama-sama berfikir mengenai kedaulatan bangsa dan negara kita di masa hadapan ada rasionalnya kenapa ISMA prihatin mengenai isu tersebut.

Hampir 4 tahun saya di Ireland, sukanya saya untuk melafazkan nikmat penuh kesyukuran kerana dapat menimba segenap ilmu baik ilmu perubatan, agama mahupun perbezaan budaya di sini. Atas minat peribadi terhadap sejarah dan ketamadunan, masa yang terluang digunakan sebaiknya untuk menelusuri sejarah bumi Shamrock ini sendiri. Namun yang paling menyentuh jiwa saya adalah kemerdekaan Ireland ini sendiri.

Buat pengetahuan, Ireland antara negara terawal yang merasa penjajahan colonial British. Akibat penjajahan tersebut, negara Ireland hampir kehilangan khazanahnya seperti istana-istana pemerintah, gereja-gereja katolik (British bermazhab Protestant) dan tidak kurang juga bahasa asal warga Ireland iaitu Gaelic.  Penjajahan ini telah menyebabkan berjuta-juta kematian rakyat peribumi seperti Rathlin Islands Massacre, 1575  (600+ kematian), Rock Of Cashel Massacre, 1647 (1000+ kematian), Drogheda Massacre, 1649 (3500+ kematian). Pembantaian nyawa ini adalah diakibatkan oleh perbezaan mazhab Kristian antara British dan Ireland. Tidak kurang juga undang-undang pemulauan (Penal Law) yang dikenakan ke atas penganut Katolik ketika penjajahan mereka hingga menafikan hak belajar, berkahwin, berjual beli dan banyak lagi!

 

Namun yang paling menyayatkan hati saya adalah peristiwa The Great Famine (1845-1852) yang hampir menghapuskan populasi peribumi Ireland dalam masa yang cukup singkat. Kenapa hal ini boleh terjadi? Tanam paksa! Sistem tanam paksa yang telah memenuhkan perut-perut warga Britain! Ketika penjajahan, Kolonial British telah mengarahkan tanah-tanah yang subur di Ireland ditanam dengan benih-benih jagung, gandum dan banyak lagi. Hasil-hasil ini dibawa pulang ke Britain dan disimpan di gedung-gedung besar dengan kawalan yang ketat. Warga peribumi pula hanya dibenarkan menanam ubi kentang yang akhirnya menjadi makanan ruji warga Ireland. Bagaimana kebuluran boleh berlaku? Satu penyakit yang dinamakan potato blight telah menyerang ubi kentang ini dan menyebabkan hasil tanaman mereka rosak. Walaupun Ireland kaya dengan hasil tanaman, namun akibat penjajahan dan dasar penyisihan British mereka akhirnya terpaksa bergantung dengan memakan rumput dan ranting!

 

Begitulah ringkasan peristiwa yang menjuruskan kepada pemberontakan warga pribumi Ireland pada tahun 1916. Pemberontakan berdarah yang lebih dikenali sebagai Easter Rising di seluruh Ireland ini telah menyebabkan ramai golongan intelektual Ireland dihukum  oleh pihak British. Namun akhirnya, pihak British terpaksa akur atas desakan warga peribumi yang muak dengan tindakan British menghukum pejuang-pejuang Ireland yang terlibat dalam pemberontakan tersebut. Republic Of Ireland akhirnya mendapat kemerdekaan beberapa tahun selepas peristiwa itu atas darah dan mayat pejuang-pejuang pribumi Ireland. Menarik bukan? Pada tahun lepas, Ireland telah meraikan 100 tahun perjuangan Easter Rising  (1916-2016). Banyak poster-poster pejuang mereka ditampal di tempat-tempat awam bersama kisah-kisah mereka malahan di atas bas awam sekalipun!.

 

Antara tempat signifikan dalam perjuangan Ireland menentang British ini ialan Royal College Of Surgeon (RCSI), Dublin Post Office dan banyak lagi. Sekiranya berkunjung ke Ireland. Jangan lupa membaca kisah-kisah mereka. Hanya dengan menghayati perjuangan mereka sahaja baru kita faham betapa ceteknya pemikiran kita dalam menghayati erti perjuangan pahlawan-pahlawan kita di zaman dahulu. Tidaklah satu yang menghairankan kiranya kami di ISMA kecewa dengan sikap masyarakat dan pimpinan kita dalam menghargai perjuangan pahlawan-pahlawan ini.

 

Merdeka bukanlah hanya dengan mengibarkan bendera, konsert dan bunga api sahaja. Saya berasa iri hati dengan perarakan bendera-bendera perjuangan Ireland, lakon semula peperangan Ireland menentang British dan banyak lagi yang saban tahun diraikan di sini. Ayuh bersama kita buka minda kita dalam menelaah sejarah anak watan. Moga generasi hadapan lebih menghargai pejuang-pejuang pribumi yang gugur demi memastikan anak cucu mereka mampu hidup aman makmur seperti hari ini. Banyak lagi cerita-cerita menarik perjuangan warga Ireland yang boleh kita ambil iktibar, maaf tak mampu saya luahkan semua di sini.

 

Salam kemerdekaan, daripada mahasiswa perubatan yang cinta sejarah.

 

Muhammad Hazreen Ismail,
Ketua Biro Dakwah ISMA UK-Eire,
Tahun akhir, University College Cork,
Republic Of Ireland

Related Posts with Thumbnails

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Check Also

Pengalaman Aktivis ISMA Eropah di Tanah Suci: Menjejak ‘Wahyu’

Hari ini mengambil kesempatan untuk menziarahi gua hira’. Kedudukannya terletak 5.7km dari hotel tempat saya …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *