Hari Valentine : Antara Sejarah, Hukum dan Nilai Komersialnya.

Alhamdulillah sejak kebelakangan ini saya tidak lagi melihat di media sosial saya tentang ajakan orang ramai terhadap menyambut Hari Valentine ataupun melihat tentangan orang ramai terhadap pengharaman Hari Valentine. Mungkin kerana ramai orang telah sedar akan keharamannya, ataupun mungkin orang yang saya ikuti di media sosial saya tidak menyambutnya langsung, ataupun penyambutnya sudah lari ke medium yang tidak saya menyusuri (baca : WeChat, Snapchat, Tinder). Saya teringat kembali akan beberapa tahun yang lepas, bahawa penuhnya usaha para pendakwah di media sosial dalam usahanya untuk menghalang para pemuda untuk menjauhi Hari Valentine ini. Tetapi gerakannya sudah berkurangan.

Buktinya anda boleh lihat di laman internet anda. Tuliskan sahaja “Hukum Hari Valentine” dan sewaktu dengannya pada papan kekunci anda di enjin pencarian anda, maka anda akan lihat penuh dengan laman sesawang yang mengajak anda untuk menghindari dari perbuatan tersebut. Saya tersenyum kerana kebanyakan laman sesawang tersebut sudah berumur lebih dari beberapa tahun, di tulis oleh penulis blog amatur seperti saya. Mesejnya juga mempunyai mesej & isi kandungan yang lebih kurang.

Adakah Hari Valentine tidak lagi menular?

Bagi anda yang masih tidak mengetahui hukum dan sejarah Hari Valentine ini, izinkan saya menerangkannya serba-sedikit.

Sejarah sambutan Hari Valentine:

Menariknya tentang Hari Valentine ini, terdapat beberapa teori yang mengadakan peristiwa Hari Valentine ini.

Ada yang mengatakan sambutan Valentine ini bermula dari sambutan Lupercalia, sambutan orang pagan (menganut agama selain dari agama yang ada di arus perdana) zaman Rom lama, pada 15 Febuari. Tujuan sambutan acara ini adalah untuk mengekalkan kesuburan dan membasmi kejahatan. Cara mereka menyambutnya adalah dengan menyuruh dua orang lelaki muda yang memakai kulit kambing pada hari tersebut untuk memukul orang dengan kulit kambing. Kambing merupakan simbol kesuburan bagi mereka. Pope Gelasius I yang menukarnya kepada 14 Febuari 496M.

Kebanyakannya merujuk kepada teori ini; teori yang meletakkan Saint Valentine sebagai pencetus sambutan ini. Yang anehnya terdapat tiga paderi yang bernama Saint Valentine pada zaman tersebut; satu di Rom, satu di Terni, (kedua-duanya di Itali) dan satu yang tidak diketahui sangat tetapi dia mati di Afrika. Tetapi dikatakan mereka semua mati pada 14 Febuari.

Saint Valentine yang dikhabarkan mencetuskan idea ini menarik perhatian Maharaja Rom, Kaisar yang bernama Claudius II pada sekitar 270M. Dikatakan Claudius tidak suka perkahwinan kerana lelaki yang bujang dipercayainya sebagai ahli tentera yang kuat. Saint Valentine tetap adakan perkahwinan secara senyap kerana kepercayaan dia bahawa Kaisar tersebut tidak maksud akal, sehingga diketahuinya dan dihukum bunuh. Dikatakan sebelum dihukum bunuh, ketika dia dimasukkan dalam penjara, dia sempat lagi bercinta dengan anak perempuan penjaga penjara tersebut dan sempat lagi memberikan kepadanya surat terakhirnya, yang diakhiri dengan perkataan “Dari Valentinemu”.

Hukum sambutan Hari Valentine:

Hukumnya adalah Haram seperti yang difatwakan sewaktu Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71, yang telah bersidang pada 20-22 Syawal 1426 Hijriah bersamaan 22-24 November 2005, di Kuching, Sarawak.

Antara hujah yang diberikan dalam fatwa tersebut:

Sejarah Valentine’s Day tidak ada di dalam Islam. Amalan budaya dan hasrat perayaan ini mempunyai unsur-unsur Kristian yang bercanggah dengan Islam.Di dalam Islam tidak ada hari tertentu bagi meraikan kekasih atau kasih sayang. Islam sangat menitikberatkan soal kasih sayang dan setiap hari di dalam Islam adalah hari kasih sayang.

Islam menolak konsep kasih sayang yang terkandung dalam Valentine’s Day kerana unsur-unsur ritual keagamaan yang diamalkannya boleh menggugat aqidah Islam.

Sekiranya seseorang Islam itu berhasrat untuk memberi hadiah kepada seseorang pada 14 Februari bersempena dengan Valentine, perbuatan tersebut adalah tidak betul kerana ia seolah-olah meraikan konsep yang dibawa oleh Valentine’s Day.

Hadith Sabda Rasulullah S.A.W yang digunakan untuk menghalang orang Islam dari mengikut hadith luar:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُم

“Barangsiapa yang meniru-niru sesuatu kaum, dia akan termasuk kaum (agama) tersebut..”
(Hadis riwayat Abu Daud)

Saya tidak ingin mengulas panjang terhadap akidah orang Islam yang tergugat jika mereka menyambut hari tersebut. Sudah tentu saya akan berkata bahawa mencegah kemungkaran itu wajib bagi setiap orang. Sudah namanya hari yang menyambut kekasih dan cinta, sudah tentu ada yang akan salahgunakan hari ini dan menghalalkan mereka membuat maksiat, berzina dan bergaul secara bebas antara lelaki dan wanita. Fatwa sudah pun mengharamkannya setelah sekian lama. Sesiapa yang beruntung dalam menyambutnya pasti akan mempertahannya, sama ada dia beruntung dapat melempiaskan nafsu syahwatnya tanpa ikatan yang sah, ataupun alasannya untuk menggembirakan isterinya hanya pada hari itu sahaja dan bukan setiap hari. Tetapi saya tidak mahu fokus atas perkara ini.

Nilai komersial Hari Valentine?

Apa yang menarik fokus saya ialah bagaimana orang yang menyambutnya tidak kira kafir ataupun Muslim telah membantu pihak peniaga yang mengeksploitasi keadaan ini untuk meraih keuntungan yang berlipat ganda.

Bayangkan jika semua orang keluar ketika ini membeli bunga, kek dan coklat untuk menyambutnya, memang sudah tentu peniaga barang tersebut akan untung dan mahu mengekalkan hari ini.

Puisi cinta mengenai Hari Valentine tertua pula wujud pada tahun 1415 oleh Charles, Duke of Orleans untuk isterinya ketika dia ditawan.

Sambutan ini mula dieksploitasikan oleh seorang insan yang bernama Esther A. Howland pada tahun 1850 yang mula mencetak kad sambutan Hari Valentine secara lambakan.

Yang lebih menarik ialah statistik yang wujud akibat sambutan Hari Valentine ini. Pada tahun 2016 sahaja, £1.3 billion telah dihabiskan pada hari itu sahaja di UK, dan £1.574 billion bakal dijangkakan dihabiskan; £557 juta dijangkakan ke makan malam, £461 juta dijangkakan ke hadiah, £221 juta dijangkakan ke bunga, £173 juta ke minuman, £115 juta ke coklat & £57 juta ke kad Hari Valentine.

Suatu sisi lain yang perlu diperhatikan mengenai sambutan ini ialah apabila melihatkan paparan di media utama penuh dengan penggalakan penyambutan hari tersebut. Walaupun galakan tersebut tidaklah secara terang-terangan (menggalakkan zina ataupun berlaku maksiat), tetapi galakan tersebut wujud dengan cara promosi harga barang tertentu. Taktik pemasaran agresif ini banyak dilakukan oleh penjual barang yang laku pada hari tersebut.

Contohnya, harga penjualan makanan dengan harga promosi dalam lingkungan tarikh Hari Valentine tersebut. Walaupun sesetengah orang boleh mempertahankan idea tersebut dengan mengatakan ianya promosi yang tidak berkaitan, kenapa perlu dilakukan pada tarikh tersebut? Kenapa perlu makan dua orang untuk mendapat harga murah tersebut?

Maka, tidak mengejutkan jika para peniaga tersebut mahu mengekalkan hari keuntungan mereka. Tetapi setakat yang diketahui, tiada lagi cara yang kasar ditunjukkan oleh pihak korporat mereka untuk mengekalkan hari tersebut, seperti berbunuhan untuk mengekalkan hari tersebut.

Apa yang diketahui adalah usaha yang dilakukan adalah secara terperinci. Kita boleh lihat sendiri pada pertunjukan hari yang ‘indah’ tersebut pada banyak cerita di wayang yang ditayangkan. Bukan sekadar cerita di pawagam, cerita di kaca televisyen, kalau dia dibuat di Negara Barat (termasuk Korea) , kebanyakan drama akan diselitkan dengan satu episod yang akan berkisarkan tentang Hari Valentine. Dan sejujurnya, banyak pemuda zaman sekarang yang tidak menonton drama Melayu, kerana kebanyakkan mereka akan muak dengan plot cerita yang tidak lekang jauh dari formula yang menguntungkan pihak penerbit.

Mungkin orang akan mengatakan ianya tidak berkaitan, tetapi apabila penulis skrip itu berorientasikan barat, sudah tentu idea untuk jalan penceritaan drama itu akan mencetak budaya barat, lantas mereka akan meletakkan sambutan perayaan Barat juga. Berapa banyakkah perayaan yang mereka terapkan? Berapa banyakkah pemuda zaman kini yang mengetahui Hari Halloween, Hari Natal, Hari Kesyukuran walaupun mereka tidak menyambutnya? Ini adalah akibat pengaruh media yang sekian lama menular. Tetapi saya juga tidak mahu mendalami isu ini.

Jadi, apakah solusinya?

Satu cara untuk menghalang Hari Valentine ini dari menular ialah pembuangan promosi diskaun sempena Hari Valentine. Apabila tiada lagi inisiatif untuk rakyat menyambut Hari Valentine, maka tiada lagi alasan mereka untuk menyambut Hari Valentine. Ya, mereka akan tetap menyambut juga hari tersebut jika mereka berdegil, tetapi mereka tidak akan melakukannya secara terbuka.

Satu lagi cara untuk membuang budaya Barat yang menular ini ialah menggantikannya dengan budaya Melayu & Islam kita. Ia perlukan pembuatan skrip drama yang baik, usaha promosi yang hebat, tetapi ia dapat menangkis kerosakan akidah yang makin menjadi-jadi. Jangan hanya melihat pada media sosial tetapi kepada masyarakat sekeliling.

Jika ada teman sehidup-semati yang halal, maka kita perlulah kita meraikannya selalu, bukan hanya satu hari. Itu gaya barat; memperingati bapa pada Hari Bapa, memperingati ibu pada Hari Ibu, memperingati guru pada Hari Guru. Kita mengingati mereka selalu, dan sentiasa mendoakan kebaikan mereka. Ya, ia akan memanjangkan doa kita, tetapi itulah pembalasan jasa kita kepada mereka.

“Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan di antara kamu suami isteri perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” (Surah al-Rum, ayat 21)
Sudah jauh kita dari realiti Islam yang sebenar. Semoga kesedaran ini mampu mengejutkan para penyambut dari lena yang panjang.

Isma Aiman Ismayatim

Biro Dakwah

Isma Eropah

valenitne

Related Posts with Thumbnails

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Check Also

Pengalaman Aktivis ISMA Eropah di Tanah Suci: Menjejak ‘Wahyu’

Hari ini mengambil kesempatan untuk menziarahi gua hira’. Kedudukannya terletak 5.7km dari hotel tempat saya …