Intifadah – Merintis Generasi Solahuddin (Siri 1)

Muqaddimah

Palestin adalah negara yang paling malang di dunia kerana Palestin dilupakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), negara-negara Arab dan juga umat Islam sendiri. Ketika Zionis erat bekerjasama dengan Amerika, British dan PBB demi mencapai cita-cita mereka, Liga Negara-negara Arab dan Pertubuhan Negara-negara Islam pula gagal untuk membantu perjuangan rakyat Palestin bagi mempertahankan hak-hak asasi mereka dalam mempertahankan kedaulatan negara Palestin yang telah mereka diami sejak 4500 tahun lamanya. Sejarah dunia menyaksikan bagaimana regim Zionis telah berjaya mengumumkan negara ‘Israel’ pada 14hb Mei 1948 dan telah mengisytiharkan negara ‘Israel yang merdeka’ secara rasminya pada 15hb Mei 1948 di dalam peristiwa yang dikenali sebagai Nakbah.

Kini 62 tahun telah berlalunya Nakbah Palestin, namun rakyat dan negara Palestin terus diganyang rejim Zionis sehinggakan lebih daripada 90% daripada tanah Palestin dikuasai Zionis, Masjid al-Aqsa yang diberkati terus dicabul kesuciannya, ribuan rakyat Palestin yang tak berdosa merengkok di dalam penjara Israel, ekonomi dan bekalan asasi mereka disekat, jutaan di kalangan mereka menjadi pelarian dan tragedi demi tragedi dilakukan dengan penuh kekejaman terhadap rakyat Palestin.

Suasana Umat Islam Hari Ini

Penindasan, penodaan dan kekejaman yang dilakukan oleh rejim Zionis ini terhadap rakyat dan negara Palestin telah berlarutan dalam tempoh yang amat panjang. Sudah tentulah ianya tidak harus dibiarkan begitu sahaja. Namun umat kini masih tercari-cari jawapan terhadap isu Palestin. Secara umumnya, umat Islam yang berjumlah 1.6 billion dan merupakan satu perempat dari penduduk dunia yang berjumlah 6.5 billion boleh dibahagikan kepada beberapa golongan:

Golongan majoriti yang tidak tahu langsung atau hampir tidak tahu mengenai isu Palestin.

Golongan yang telah putus asa dan tidak memberi harapan kepada Palestin.

Golongan yang meletakkan harapan kepada kuasa-kuasa besar dunia.

Golongan yang mengharapkan keajaiban tanpa usaha seperti menantikan kedatangan penyelamat seperti Imam Mahdi dan Nabi Isa dan yang lain-lainnya.

Golongan yang meyakini bahawa kemenangan akan dimiliki semula dengan mencontohi kepada perjuangan generasi sebelumnya.

Intifadah Palestin

Intifadah bermaksud kebangkitan atau ‘uprising’. Manakala Intifadah Palestin merujuk kepada kebangkitan semula rakyat Palestin dalam rangka menentang penindasan dan penjajahan yang dilakukan oleh rejim ganas Yahudi Zionis ke atas rakyat Palestin. Di antara kesan utama Intifadah ialah hilangnya rasa selamat di kalangan orang-orang Israel yang telah mengakibatkan berkurangnya penghijrahan orang Yahudi ke Palestin, kemerosoton ekonomi mereka, peningkatan jumlah orang Israel yang keluar dari Palestin, berlakunya pengislahan dan penstrukturan semula rakyat Palestin serta meningkatkan keyakinan mereka untuk terus berjuang menentang penjajahan dan kezaliman Zionis.

Kenapa Generasi Sohahuddin?

Umat kini berada di dalam kemelut pencarian terhadap jawapan kepada permasalahan perdana umat kini iaitu permasalahan Palestin. Kita meyakini bahawa kebangkitan semula umat adalah jawapan kepada permasalahan yang berlaku di Palestin dan juga kepada umat Islam di negara-negara yang lain di dunia ini. Kemenangan semula ke atas Palestin ini memerlukan kepada pembinaan semula generasi manusia terutamanya di kalangan pemuda seperti mana yang telah ditunjukkan oleh Solahuddin dan generasinya.

Pembukaan Awal Palestin

Palestin adalah bumi panas yang sentiasa menjadi rebutan di antara tamadun dunia. Ia berada di bawah kekuasaan Kristian Romawi sejak tahun 65SM sehingga 638M (tahun 15 Hijrah). Termasuklah ketika berlakunya peristiwa Isra’ dan Mi’raj, Rasulullah s.a.w dibawa ke Baitul Madis sebelum dimi’rajkan Baginda ke Sidratul Muntaha.
Rasulullah s.a.w sendiri adalah perintis yang telah membina generasi sahabat yang hebat, iaitu generasi awal yang telah memulakan perjuangan untuk membuka Palestin. Di antaranya ialah Baginda telah menghantar para sahabat ke peperangan Mu’tah 630M/8H dan kemudiannya ke Tabuk 631M/9H sebelum menghantar Usamah Bin Zaid ke medan pertempuran di Ubna, berdekatan Palestin. Walaupun Baginda wafat sebelum melihat pembukaan Palestin, namun perjuangan Baginda telah diteruskan oleh Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab.

Palestin akhirnya berjaya dibuka oleh Umar al-Khattab r.a pada tahun ke 15H/638M, di bawah pimpinan Panglima Abu Ubaidah al-Jarrah. Bermula daripada peristiwa tersebut, negara dan rakyat Palestin telah berada di bawah pemerintahan Islam yang adil dan aman untuk tempoh yang sangat panjang seperti yang tercatat di ribuan lembaran sejarah.

Tragedi 1099 M dan Kejatuhan Palestin Oleh Tentera Salib

Tentera Salib (Crusades) ialah kempen ketenteraan yang dilakukan oleh gabungan negara-negara Eropah selama dua abad ke atas umat Islam. Objektif utamanya ialah untuk menguasai Palestin dan negara-negara di sekitarnya daripada umat Islam dan menghalang perkembangan umat Islam daripada terus menguasai dunia antarabangsa.

Sebab-sebab utama serangan Salib ialah:

Pihak Salib sangat membenci Islam dan umatnya yang telah menguasai Baitul Maqdis (Jerusalem) dan kawasan-kawasan jajahan Kristian di Asia, Afrika dan Eropah.
Konstantinopal berada dalam ancaman penguasaan umat Islam yang semakin hampir untuk menguasainya. Alexius Cornmenus, Maharaja Byzantine yang menguasai Konstantinopal telah memohon bantuan negara-negara Eropah untuk bantuan peperangan menentang umat Islam.
Semangat beragama dan keinginan Salib untuk menawan semula Baitul Maqdis daripada umat Islam dengan janji penebusan dosa bagi tentera Salib yang terlibat. Motivasi ini telah ditanam dan disebarkan di gereja-gereja di seluruh Eropah.

Kerajaan Fatimiah (berfahaman Syiah) di Mesir mempunyai kecenderungan untuk bekerjasama dengan kerajaan Byzantine, yang telah membantu mereka daripada terus duduk di bawah kerajaan Abbasiyah.

Ketumbukan gabungan tentera Salib ini telah membuat serangan secara berterusan untuk menguasai Baitul Maqdis dan Palestin. Akhirnya mereka berjaya berbuat demikian pada tahun 1099M/492H daripada kerajaan Abbasiyah. Kejayaan mereka diikuti dengan banjir darah umat Islam sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibnu Khaldun:

Tentera salib yang ganas dan kejam itu telah mengganas di Baitul Maqdis selama seminggu. Mereka melakukan rompakan, permerkosaan dan membakar rumah-rumah penduduk. Apabila dihitung jumlah mayat di sekitar masjid, di dalam rumah dan di sepanjang jalan, jumlahnya tidak kurang daripada 70 ribu orang.

Di antara petikan kata-kata para paderi dan rahib Kristian pada ketika itu:

“Ibuku, sempurnakanlah sembahyangmu… Janganlah menangis… Aku akan korbankan darahku dalam usaha menghancurkan umat yang dilaknat, aku akan memerangi agama Islam… Aku akan berperang dengan sepenuh kekuatanku untuk menghapuskan Al-Quran.”

“Sesungguhnya tentera Salib adalah khadam Tuhan, mereka memuliakan Tuhan dengan menyembelih hidup-hidup 70,000 orang Islam… Mereka telah memecahkan kepala kanak-kanak Islam dengan menghentakkannya ke dinding, mencampakkan bayi daripada tembok dan bangunan, mereka telah membakar golongan lelaki Islam dengann api dan melapah perut ibu yang mengandung….”

Suasana Umat Pada Ketika itu

Umat sedang berpecah belah kerana fanatisme mazhab dan cubaan untuk menjatuhkan kerajaan Abbasiyah.
Berlaku perpecahan dan penyimpangan Sufisme di kalangan umat Islam.

Meluasnya pengaruh golongan Syiah yang menyeleweng dan mereka menduduki jawatan-jawatan penting pemerintahan.
Lemahnya semangat jihad dan umat Islam tenggelam dengan kemewahan dunia.

Prof. Madya Dr. Zainur Rashid Bin Zainuddin,
Naib YDP ISMA Cawangan Seremban.
* Beliau juga adalah merupakan Perunding Aman Palestin.

Related Posts with Thumbnails

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Check Also

Video Perdana Menteri UAE Bersahaja Menaiki Tiub London Jadi Viral

London – Perdana Menteri Emiriyah Arab Bersatu dan Amir Dubai Sheikh Mohammed bin Rashid Al …