Intifadah – Merintis Generasi Solahuddin (Siri 2)
Usaha Pembebasan Semula
Usaha pembebasan semula negara-negara umat Islam termasuk Palestin telah dimulakan oleh Imanuddin Zanki, pemerintah wilayah Islam yang merangkumi Mosul di Iraq sehingga Allepo (Kurdistan) dan Syria. Beliau adalah seorang panglima perang yang berpegang kuat dengan ajaran Islam. Beliau juga adalah pengikut kuat kepada gerakan pembaharuan yang didokongi oleh Imam al-Ghazali. Beliau menggesa umat Islam kepada kesatuan wilayah Islam serta membangkitkan seruan jihad menentang tentera Salib.
Beliau dan tenteranya telah menentang tentera Salib di dalam beberapa siri peperangan terutamanya pada 539H dan berjaya menawan kota Ar-Roha (di Turki) dan sekitarnya. Imanuddin bergerak ke Palestin bersama tenteranya pada 541H tetapi beliau kemudiannya telah dibunuh oleh golongan pengkhianat.
Solahuddin al-Ayyubi
Peranan seterusnya dimainkan oleh pengganti beliau iaitu puteranya yang bernama Nuruddin Mahmoud Zanki (544H). Nuruddin Zanki telah meneruskan perjuangan Imaduddin dan berjaya mengambil Damsyik dari musuhnya pada 549H. Perjuangannya semakin berkembang dengan kejayaannya menguasai Mesir, kemudiannya Yaman dan Hijaz di bawah pimpinan Panglima Solahuddin al-Ayyubi. Solahuddin kemudiannya telah mengambil alih tampuk pemerintahan dan telah menyempurnakan perjuangan yang telah diasaskan oleh Imanuddin Zanki dan kemudiannya dikembangkan oleh Nuruddin Zanki.
Solahuddin al-Ayyubi Sebagai Contoh Yang Hidup
Solahuddin adalah tokoh yang telah berjaya berhadapan dengan pelbagai tipu daya musuh dengan penuh bijaksana. Beliau begitu mengimani kebenaran dan bangkit berjuang dengan manhaj perjuangan kebangkitan yang sebenar.
Namanya sebenarnya Solahuddin Yusuf Bin Ayyub, yang telah dilahirkan di di Istana Gabenor Takrit di Iraq pada 1137M/532H. Beliau berasal dari kabilah Rawadiyah, salah satu kabilah orang Kurdish. Solahuddin telah dibesarkan di Mosul bersama bapanya yang rapat dengan Imanuddin Zanki. Beliau adalah seorang yang sangat berpendidikan apabila sejak kecil telah menghafal al-Quran dan menguasai ilmu feqh serta amat meminati syair.
Solahuddin telah didedahkan dengan permasalahan politik dan urusan pemerintahan sejak muda lagi terutamanya setelah dilantik menjadi menteri kerajaan di Mesir ketika berumur 32 tahun. Beliau telah dididik untuk menguasai ilmu peperangan dan kemahiran berkuda sejak kecil lagi oleh bapa saudaranya Asaduddin Shirkukh yang merupakan seorang panglima perang. Tiada seorang pun yang menyangka suatu hari nanti dia akan membebaskan kembali Masjid al-Aqsa dan Palestin dari tentera Salib. Walau bagaimanapun Allah telah mentakdirkannya untuk menjadi pemimpin besar pada zamannya dan Allah telah menyediakan dan memudahkan jalan-jalannya ke arah itu. Beliau telah meninggal dunia pada 589H/1193M ketika berumur 56 tahun.
Di antara kehebatan keperibadiannya ialah:
- Ketaqwaan dan Ibadatnya
- Keadilan dan Rahmatnya
- Keberanian dan Kesabarannya
- Al-Hilm dan Pemaafnya
- Zuhud dan Pemurahnya
- Pergerakan dan mengambil berat permasalahan Jihad
Rahsia Kemenangan Yang Telah Ditunjukkan Oleh Generasi Solahuddin.
1 – Membina generasi yang bertaqwa kepada Allah dan memelihara diri daripada maksiat.
Taqwa dan iman kepada Allah serta menjauhkan diri daripada maksiat adalah kunci pertama kepada kemenangan dan petanda kepada berita-berita yang baik. Dengan kekuatan iman yang kuat meresap di dalam hati setiap tenteranya, maka faktor ini akan menambahkan lagi semangat mereka untuk berjuang menentang musuh-musuh Islam. Iman ini juga yang akan menghilangkan rasa gentar mereka ketika menghadapi sebarang kemungkinan.
Ketika menjadi menteri di Mesir, beliau telah menghapuskan maksiat dan kemungkaran yang telah melata di kalangan pegawai-pegawai kerajaan dan rakyat jelata. Beliau juga sentiasa mengarahkan gabenor-gabenor dan pegawai-pegawai yang dilantik supaya berlaku benar, sentasa meningkatkan taqwa dan berlaku taat kepada Allah. Beliau juga adalah pendokong kuat kepada ajaran tauhid dan tegas dalam membenteras gerakan bid’ah di wilayah yang dikuasainya.
Solahuddin adalah seorang yang wara’ dan sentiasa melakukan solat berjemaah. Bahkan ketika sakitnya pun dia memaksa dirinya berdiri di belakang imam. Beliau tidak pernah meninggalkan solat berjamaah melainkan beberapa hari ketika sakit sebelum kematiannya. Solahuddin juga sentiasa mengerjakan sembahyang tahajjud. Beliau sangat murah hati dan akan menyedekahkan apa yang ada padanya kepada fakir miskin dan kepada yang memerlukan sehinggakan ketika wafatnya dia tidak meninggalkan harta-benda.
Dia sangat gemar mendengar bacaan Quran. Di medan peperangan dia kerap kali duduk mendengar bacaan al-Quran oleh tentera-tentera yang dilawatinya sehingga 3 atau 4 juzuk semalam. Dia mendengar dengan sepenuh hati sehingga berlinangan air mata yang membasahi dagu dan janggutnya.
Solahuddin sangat yakin dan percaya kepada pertolongan Allah swt. Dia sentiasa meletakkan segala harapannya kepada Allah terutama ketika dalam kesusahan. Pada satu ketika dia berada di Baitul Maqdis di dalam keadaan yang sangat sukar dan seolah-olah tidak dapat bertahan lagi daripada kepungan tentera bersekutu Kristian. Walaupun keadaan sangat terdesak, beliau enggan untuk meninggalkan kota suci itu. Di sepanjang malam, beliau bersolat sambil menangis sehinggakan air matanya membasahi janggutnya dan menitik ke tempat sembahyang. Tidak lama kemudian, perbalahan sesama sendiri berlaku di kalangan tentera-tentera musuh yang menghasilkan berita yang baik bagi tentera Solahuddin beberapa hari selepasnya. Akhirnya tentera salib membuka khemah-khemah mereka dan berangkat keluar dari bandar suci tersebut.
2 – Persediaan yang sempurna dan amat mengambil berat isu pembebasan Al-Aqsa.
Para sejarawan bersepakat bahawa Solahuddin amat mengambil berat terhadap isu pembebasan Baitul Maqdis. Beliau menjalani hidup dengan penuh berdisiplin. Solahuddin mengenepikan corak hidup senang dan memilih corak hidup sederhana yang menjadi contoh kepada tenteranya. Dia menumpukan seluruh tenaganya untuk membina kekuatan Islam bagi menawan semula Baitul Maqdis kerana beliau telah menjadikan isu ini sebagai agenda hidupnya. Pernah beliau ditanya akan kenapa beliau sentiasa kelihatan serius dan tidak pernah ketawa. Beliau menjawab, “Bagaimana mungkin untuk aku ketawa sedangkan Masjid al-Aqsa masih berada di bawah cengkaman musuh”.
Sehubungan dengan itu Solahuddin telah menyerahkan dirinya untuk jalan jihad. Pemikirannya sentiasa tertumpu kepada perjuangan di jalan Allah. Semangat beliau yang sentiasa berkobar-kobar untuk berjihad menentang tentera Salib telah menyebabkan jihad menjadi tajuk perbincangan yang paling digemarinya. Dia sentiasa meluangkan seluruh tenaganya untuk memperkuat pasukan tenteranya, mencari mujahid-mujahid dan senjata untuk tujuan berjihad. Jika ada sesiapa yang bercakap kepadanya berkenaan jihad dia akan memberikan sepenuh perhatian. Dia lebih banyak di dalam khemah perang daripada duduk di istana bersama sanak keluarga. Siapa sahaja yang menggalakkannya berjihad akan mendapat kepercayaannya.
Kubu Solahuddin di Laut Merah.
Dalam medan peperangan dia begitu tangkas bergerak bagaikan seorang ibu yang kehilangan anak. Dia akan bergerak pantas dari satu penjuru ke penjuru yang lain dalam usaha menaikkan semangat tenteranya supaya benar-benar berjihad di jalan Allah. Dia sanggup pergi ke pelosok tanah air dengan mata yang berlinang mengajak umat Islam supaya bangkit membela Islam. Dia lebih gemar berpuasa sekalipun di medan peperangan.
Beliau sentiasa mempastikan bahawa di dalam setiap aspek ketenteraan, tenteranya terus berada di dalam keadaan bersiap sedia untuk berhadapan musuh seperti membuat senjata, membuat kapal armada perang, mencipta bahan letupan dan lain-lain lagi. Setelah membuat persiapan yang lengkap dengan penuh teliti, Solahuddin bersama tenteranya menyerang pihak musuh dengan penuh keimanan dan kesungguhan. Ini adalah sebahagian dari sebab kemenangan mereka yang akhirnya berjaya mengembalikan maruah umat serta kemuliaan Islam.
3 – Menyatukan kekuatan umat di bawah pemerintahan yang satu.
Solahuddin menjadi pemimpin Mesir selepas wafatnya Khalifah Fatimiyah pada 567H. Beliau memperluaskan wilayahnya dengan menguasai Yaman dan Hijaz. Kawasan Laut Merah dan di sekitarnya juga jatuh ke bawah pemerintahannya. Setelah pemerintah Syria yang bernama Nuruddin Mahmoud Zanki meninggal dunia, maka Solahuddin terus mengambil-alih Damsyik, Aleppo dan bandar-bandar lain daripada kerajaannya. Akhirnya Solahuddin berjaya menyatukan wilayah-wilayah Islam di bawah satu kesatuan pemerintahan termasuk utara Iraq, Kurdistan, Syam, Yaman, Mesir, Barqah dan lain-lain lagi.
Kesatuan ini pastinya memberikan kekuatan asasi yang memainkan peranan penting di dalam usaha pembebasan Baitul Maqdis dari tangan Salib yang telah memerintahnya selama 88 tahun. Apabila negara-negara umat Islam ini bersatu di atas dasar Islam dan diketuai oleh seorang pemimpin yang beriman lagi amat dipercayai, seorang panglima yang berani lagi berpengalaman, maka kemenangan boleh dicapai dan bendera Islam akan kembali berkibar di wilayah-wilayah Islam.
Akhirnya, Solahuddin bersama generasi tenteranya berjaya membebaskan Masjid al-Aqsa yang merupakan qiblat pertama umat, masjid yang ketiga suci di sisi Allah, bumi para Nabi dan juga destinasi peristiwa Isra’ Rasulullah s.a.w sebelum Baginda dimi’rajkan ke langit yang ketujuh.
4 – Matlamat perjuangan adalah untuk menegakkan kalimah Allah.
Solahuddin telah mendidik tenteranya agar berjuang dengan penuh keikhlasan bagi mempastikan perjuangan ini akan mendapat keredhaan Allah s.w.t. Seorang pejuang mesti membersihkan hatinya daripada niat yang selain daripada mencari keredhaan Allah s.w.t.
Beliau juga telah mendidik tenteranya agar berjuang dan menjadikan mati syahid sebagai satu kemuliaan. Beliau juga menjadikan kemenangan di dalam jihad sebagai satu wasilah untuk menyebarkan dakwah Islam itu sendiri.
Di antara bukti lain bahawa perjuangannya adalah untuk menaikkan kalimah Allah ialah sikapnya yang berbudi bahasa dan perlakuan adil terhadap musuhnya sendiri. Semua sejarawan samada dari Barat dan Timur, Orientalis dan Muslim telah mencatatkan sikap dan perbuatan Solahuddin terhadap musuhnya. Di antaranya termasuklah tindakan beliau membahagikan duit dan binatang tunggangan kepada orang-orang tua, para pesakit dan orang-orang miskin dari kalangan pihak Salib. Seorang penulis yang bernama Hatti pernah berkata,”Perbezaan di antara layanan tentera Islam Solahuddin kepada orang awam Salib dan layanan tentera Salib kepada orang awam Muslim pada 88 tahun sebelumnya ternyata amat besar perbezaannya.”
5 – Isu pembebasan Al-Quds adalah isu Islam dan Muslimin.
Menurut syariat Islam, sekiranya wilayah Islam dijajah musuh, maka menjadi kewajipan kepada semua umat Islam untuk membebaskan wilayah ini. Bedasarkan kepada prinsip inilah, maka Solahuddin telah mengumpulkan umat Islam yang berbagai bangsa, warna kulit dan bahasa di bawah panji Islam.
Solahuddin telah menanamkan kesedaran bahawa setiap inci dari tanah yang pernah diperintah oleh umat ini wajib dipelihara kedaulatannya. Beliau juga telah menanam dan menyuburkan ukhuwwah di kalangan umat ini kerana ukhuwwah adalah sangat berkait rapat dengan iman.
Setiap orang daripada kalangan tentera yang dipimpinnya meletakkan harapan untuk syahid di jalan Allah. Ini adalah kerana mereka memahami bahawa isu pembebasan Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa adalah isu dan tanggungjawab ke atas setiap umat Islam dan bukan sekadar isu bangsa Palestin atau isu bangsa Arab semata-mata.

Prof. Madya Dr. Zainur Rashid Bin Zainuddin,
Naib YDP ISMA Cawangan Seremban.
* Beliau juga adalah merupakan Perunding Aman Palestin.







Tweet This
Share on Facebook
Digg This
Save to delicious
Stumble it
RSS Feed






Comments
Powered by Facebook Comments