ISMA perlu berusaha ke arah miliki tahap keinstitusian yang tinggi
Petaling Jaya, 24 April – “Kita perlu menjadikan ISMA sebagai satu badan yang memiliki tahap keinstitusian yang tinggi,” seru Ustaz Abdullah Zaik bin Abdul Rahman semasa berucap kepada ahli-ahli ISMA di Mesyuarat Khas Perwakilan ISMA di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa dengan menginstitusikan ISMA sebagai organisasi dakwah, segala keputusan, dasar dan halatuju bukan ditentukan oleh mana-mana individu di dalamnya, sebaliknya lebih bergantung kepada perancangan dan strategi yang telah dipersetujui bersama.
“Kita mahu kadar kebergantungan kepada individu rendah. Jika tidak, kesinambungan kerja akan terhenti apabila individu tersebut tiada. Kita juga tidak mahu amal terganggu sekiranya pimpinan lemah,” tambah Presiden ISMA itu.
Beliau mengemukakan contoh negara-negara dunia ketiga, yang mana meskipun mereka memiliki sistem dan peraturan tertentu, tetapi pengaruh individu yang tinggi menyebabkan kadar ketelusan dan integriti rendah.
“Pengalaman ISMA sebagai organisasi masih di peringkat awal tetapi kita sentiasa berusaha ke arah menyempurnakan binaannya dengan meningkatkan mutu tarbiyyah dan tsaqafah serta mematangkan ahli-ahli dari segi fikrah, pengalaman berorganisasi, amal dengan masyarakat dan pelbagai aspek lagi.”
Menurut Ustaz Abdullah Zaik lagi, apa yang ingin dituju oleh ISMA jelas dan kita sedang mengorak langkah secara berfasa untuk mematangkan dan menyempurnakan binaan organisasi. Penubuhan Majlis Syura ISMA yang dicadangkan dalam mesyuarat ini merupakan usaha untuk mencapai matlamat tersebut.
“Perkembangan yang dilihat pada hari ini bukan gambaran terakhir, tetapi satu fasa untuk memenuhi keperluan sekarang. Selepas ini mungkin kita akan melakukan perubahan-perubahan yang lain pula.”
Beliau menyimpulkan ucapannya dengan menyeru ahli-ahli ISMA supaya mengubah minda dan mengambil inisiatif untuk meneroka medan amal dakwah, bukannya menyerahkan tanggungjawab kepada individu-individu lain di dalam organisasi ini.





Tweet This
Share on Facebook
Digg This
Save to delicious
Stumble it
RSS Feed






Comments
Powered by Facebook Comments