Jalinan Ukhuwah Terakhir

    Malam itu Faiz tidak mampu melelapkan matanya. Dilihatnya jam di telefonnya menunjukkkan pukul 5 pagi. Dia berbolak balik di katilnya sambil cuba untuk tidur. “Argh, serabut!” bentak hati kecilnya. Angin musim dingin menerobos lubang-lubang kecil di ruang jendela biliknya, kadang-kadang berbunyi ranting-ranting pokok yang turut terkesan dengan bayu dingin di Scotland ini. Dari semalam hatinya tidak senang. Entah apa yang dirisaukan.  Dia bangun dari katil, lantas membuka suis lampu bilik tidurnya itu. “Mak pernah pesan, kalau serabut try solat sunat, mana tahu hati tenang nanti. Lagipun aku dah berbulan-bulan tak tahajud, solat subuh pun mostly subuh gajah. Last sekali time dekat-dekat exam dulu”. Dicapainya sejadah yang dilipat molek berhampiran meja belajarnya. Dimalapkan lampu untuk menyesuaikan suasana.

Dan disudut kamar itu Faiz berteleku di tikar sejadahnya, selesai solat 2 rakaat di cuba untuk duduk dan memaksa dirinya menangis. Dia telah lama meninggalkan program Qiamullail bersama rakan-rakannya dahulu. Kesibukan tahun akhir sebagai pelajar perubatan di University Of Edinburgh memerlukan komitmen yang penuh darinya. Usrah pun tak join, awal-awal dulu saja. Dia cuba untuk mengenangkan dosa-dosa yang dilakukan, banyak! Tak terkira! Besar, kecil…

      Mulutnya terkumat kamit membaca istighfar dan zikir-zikir yang dia masih ingat. Saat itu dadanya berasa lemas, lemas kerana telah lama menahan tangis jiwanya yang meronta-ronta inginkan keampunan. Terasa seperti kerak-kerak dosa yang meliputi hatinya mula menggelupas, mengalir keluar dengan air hangat yang mula menerobos keluar dari matanya. Allah! Kenapa tiba-tiba aku sedar aku telah banyak berdosa? Adakah ini punca jiwa aku tidak tenang kebelakangan ini? Titis-titis air jernih mula membasahi sejadahnya yang sekian lama kering, kering dari tangis seorang hamba pada yang mencipta. Dadanya yang berombak-ombak itu terus mengeluarkan esak tangis yang maha kuat. Segala kesalahan, kealpaan dirinya selama ini seolah-olah terbentang kembali dihadapan fikirannya.  Dosa, dosa, dosa!

Dia teresak-esak memecah kesunyian malam yang cukup dingin itu,sedu sedannya seolah disahut oleh bayu dingin di luar, yang turut membawa titis-titis air singgah ke jendela biliknya. Suhu di luar mencecah 0°c beserta hujan renyai, maklumlah bulan Disember,  permulaan bagi musim sejuk yang panjang. Puas, hatinya kini berasa puas mengadu pada Allah, biarlah apa dosanya dengan Allah itu menjadi rahsia. Biarlah nanti dia sendiri yang akan menjawab di depan Rabnya ketika hari pembalasan.

“Tok, tok, tok” 3 ketukan pintu tiba-tiba menyedarkan Faiz dari lamunan hibanya, disekanya air mata yang mengalir cepat-cepat dengan lengan bajunya. “Faiz, subuh dah, bangun,bangun!” terdengar suara sahabatnya Khuzairi yang tidak pernah jemu mengejutnya untuk subuh bersama. “Masuklah oi, aku dah bangun” jawab Faiz dengan nada ceria, cuba menyembunyikan perasaan hibanya tadi. Pintu bilik dibuka dan lampu utama bilik dibuka Khuzairi. “Eh, awal kau bangun harini, ada exam ke?” soal Khuzairi penuh hairan. Faiz setahunya tak pernah bangun awal subuh, kecuali dekat-dekat peperiksaan kerana dia stay up sampai pagi. Tapi Khuzairi tak pernah jemu berusaha mengejutkan rakannya itu untuk solat berjemaah sekali. Kebiasaanya berakhir dengan Khuzairi terpaksa kembali untuk solat subuh sendiri di biliknya, hampa. Namun hari ini cukup ajaib!

“aku tak leh tido ah! Minum kopi kuat sangat kot semalam, semalam kawan aku ajak main DOTA sekali, tidur lewat” jawab Faiz selamba sambil menghamparkan kembali sejadah yang dilipatnya tadi tergesa-gesa sebelum Khuzairi masuk. “Jom, solat sekali, kau imam”. Dia menolak KHUZAIRI kehadapan.

Dalam solat itu Faiz berdoa moga Allah membimbingnya kembali ke jalan kebenaran. Jalan yang dia rindukan. Jalan yang dilalui oleh sahabat-sahabat Rasulullah dahulu yang membawa mereka ke syurga.  Jalan melawan hawa nafsu, jalan melawan arus dunia yang makin mencengkam dirinya. Faiz cuba menahan lagi esak tangis hatinya ketika solat itu. Ketika Khuzairi membacakan Al-Fatihah dengan tenang.

“ihdinas sirotol mustaqim (Tunjukilah kami jalan yang lurus)”
Dan air jernih yang menakung dari tadi kembali menitis dari mata Faiz.

“Khuzairi, tahun ni kau gi JUMS lagi ke?” tanya Faiz selesai solat. Matanya digosok-gosok seperti orang yang baru bangun dari tidur. Cuba menyembunyikan lagi.
“Haah, aku tahun ni jadi AJK pendaftaran. Kau tanya kenapa? Tak pernah pun amik tahu sebelum ni?” Khuzairi tersengeh menjawab.
“nak joinlah, tahun last aku kat sini kan”
“eh, biar betul, kau bukan selalu dah plan travel ke?”
“Tak, tahun ni aku tak plan apa-apa, saja nak tengok apa best winter camp ni. 5 tahun duk sini tak pernah rasa nak join”
“serius?”
“duh, takkan tipu pulak. Ada kosong lagi ke untuk orang ‘jahil’ macam aku ni?”
“sedangkan Allah mengampunkan hambanya yang berbuat dosa besar, takkan aku sebagai hamba nak menghalang kau buat perkara baik”
“ouh, so kau nak cakap aku jahat la ni?”
“eh, tak Faiz. Maksud aku  mustahil la nak haling kau join JUMS, program baik kot. Tapi aku pelik kau tiba-tiba.haha”

Ya, program baik. Bentak hati Khuzairi. 5 tahun dia di perantauan tak pernah dia terlepas untuk bersama dengan program Winter Camp anjuran ISMA UK-Eire. Di situlah dia kenal erti Islam yang sebenar, di situlah dia tahu mengenai realiti umat Islam di  Malaysia, di situlah dia kenal rakan-rakan, rakan-rakan yang akhirnya membimbingnya kearah kebaikan.

Dan bagi Khuzairi pula, hanya orang yang pernah pergi  dan mengambil pengajaran sahaja akan faham kepentingan kem itu. Sebab itulah dia juga tidak pernah jemu mempelawa sahabatnya  untuk ikut bersama. Termasuklah Faiz. Pernah dia sanggup untuk menawarkan Faiz untuk membayar yuran dan kos pengangkutannya sekali, tapi masih ditolak kerana sudah ada plan winter trip. Kadang-kadang ditolak atas alasan nak study dan buat assignment, macam-macam. Tapi begitulah jiwa Khuzairi, dia tak pernah penat mengajak. Kerana dia faham kenapa.

“Nah ambil link ni daftar” Khuzairi menaip link tersebut dan dihantar ke aplikasi Whatapps Faiz.
“Tapi aku tak dapat nak ikut kau sekali pergi awal sebab aku ada kerja malam tu, lepas aku kerja aku gerak naik bas” jawab Khuzairi. Dia tahu kebiasaanya AJK akan datang lebih awal.
“ouh takpe-takpe, daftar je dulu. Kau  nak aku bayarkan yuran dan tiket bas tu ke?” pelawa Khuzairi. Di lubuk hatinya, dia mula ragu-ragu. Gurauankah?
“tak yah, tahun ni aku tak travel. Duit berkepok MARA bagi” Faiz tersengeh.
“betul dah tu, baguslah akhirnya doa aku dimakbulkan jugak nak tengok kau pergi”
“haha, tengoklah, kalau sampai, sampailah tu, insyaALLAH”

‘InsyaALLAH’. Beribu kali Khuzairi mendengar perkataan sama daripada teman-temannya yang lain. Tapi pengakhirannya kadang-kadang berbeza. Itulah hakikat, manusia cuba berdolak dalih dalam menolak tapi menggunakan kata-kata sandaran pada Allah yang Esa, seolah-olah Allah pula dipersalahkan apabila tidak tercapai. Harapnya kali ini sahabat baiknya Faiz bermaksud yang sebenarnya, hanya takdir dan ketentuan Allah yang akan memisahkan nasib hambaNya itu.

Selang beberapa hari, Khuzairi mula mengemas barangnya untuk berangkat ke tapak JUMS. Tahun 2015 menyaksikan JUMS di Castleton. Kesitulah destinasinya menaiki bas National Express. Sebelum berangkat sempat dia menjenguk Faiz di bilik untuk memperingatkannya untuk datang ke JUMS esoknya. Memang namanya sudah masuk ke list pendaftaran tapi Khuzairi seperti pengalaman sebelum ini, dia masih ragu-ragu.

“Faiz, jangan lupa ye? Haha. Jumpa kat JUMS!” gelak Khuzairi mesra.
“OK, InsyaAllah, jumpa sana. Sambut aku dengan karpet merah” gelak Faiz
“baiklah, untuk tuan YB semua boleh”

Khuzairi pun melangkah keluar dari rumah. Perjalanan 4 jam menaiki bas ditempuhnya dengan bermacam-macam perasaan. Sekejap dia ragu-ragu dengan sikap Faiz, sekejap dia yakin. Takkan sahabatnya mahu bergurau lagi kali ini. Dia terbayang-bayang sekiranya Faiz akan datang ke JUMS. Perbincangan, idea bernas, telatah Faiz, pasti memeriahkan kem  musim sejuk tahun ini. Lagilah Faiz pernah menjadi pendebat terbaik ketika di sekolah dahulu. Pasti JUMS sangat sesuai untuk dia mengutarakan pendapat dan cadangan.

    Aktiviti luar di sana juga apa kurangnya. Lagi-lagi bila berada di tempat indah seperti Castleton, bandar kecil dikelilingi gunung-gunung. Rakan-rakan yang mesra, makanan enak. Ouh ya salji! mungkin salji pun akan turun! Senyum Khuzairi memikirkan harapan-harapan tersebut yang mekar di hatinya. Untuk melihat sahabatnya itu kembali berubah. Menjadi mahasiswa yang beragenda!

Hari yang dinantikan pun tiba, 21 Disember 2015, pintu YHA Castleton dibuka seluasnya buat tetamu yang datang. Khuzairi menunggu dengan sabar di meja pendaftaran, bersedia untuk menanda setiap kedatangan dan membuat kutipan yuran. Berkali-kali dilihat nama sahabatnya Muhammad Faiz Bin Arsyad, University Of Edinburgh lantas matanya beralih ke pintu hadapan dengan harapan sahabatnya itu akhirnya muncul dihadapannya, tersenyum dengan jaket ‘trenchcoat’ Zara kegemarannya. Yang selalu dipakai bila tiba saja musim sejuk.  Ah, aku terlalu berharap, bentak hati Khuzairi.

           Tiba-tiba, telefonnya berdering. Dicapainya cepat-cepat. Faizkah? Fikirnya. Nombor yang tertera ialah nombor sahabatnya, Kamil, pelajar PHD di universiti yang sama. Ouh, Kamil nak join sekali! Tempik hatinya gembira. Tidak dia sangka Faiz turut mengajak Kamil untuk turut serta dalam JUMS kali ini. Moga Allah redha dengan tindakan Faiz itu, yang kiranya akan menjadi aseit dihadapan Allah nanti diakhirat. Alhamdulillah, fikirnya. Telinganya menanti-nanti khabar gembira dari Kamil.

“Assalamualaikum, Khuzairi” Kamil memulakan bicara.
“Waalaikumussalam, Kamil!” jawab Khuzairi, dia cukup teruja menantikan jawapan.
“Macam ni Khuzairi, Faiz pinjam kereta aku nak ke JUMS. Dia try nak beli tiket bas tapi sayang dah habis. Dia nak drive ke Castleton dari Edinburgh”
“Ouh, bersemangatnye dia nak datang! Sape lagi ikut korang?” jawab Khuzairi, dia positif Kamil ikut serta.
“Gini, aku gitau ni kau sabar tau!”
“Ye la, jangan la buat aku nervous macam ni, haha”
“Faiz drive  pukul 3 pagi tadi, dia baru balik kerja part time dia, jadi dia datang pinjam kereta aku nak drive ke Castleton. Katanya tak nak bagi kau kecik hati lagi dengan dia, dah ajak berkali pergi JUMS, selalu tolak, tahun ni dia kata at least dia nak kenal apa itu JUMS?”
“Kau dalam kereta sekali ke ni?” Tanya Khuzairi.
“Gini, sabar tau. Pagi tadi  polis ada call aku cakap kereta yang daftar bawah nama aku tu kemalangan dekat dengan Lancaster, jalan berkabus dan dia drive sorang-sorang, terbabas dekat selekoh, mengantuk agaknya.” Jelas Kamil.

Saat itu tangan Khuzairi mula terketar –ketar. Dia terdiam seketika. Apakah ini? Mulutnya hanya mampu mengeluarkan “Allah!” kalimah suci yang dia sentiasa pegang dalam apa jua keadaan.

“Khuzairi….. Faiz dah takde, kepala dia teruk sebab laju sangat. Pendarahan dalam otak. Jenazah dia ada kat hospital Lancaster sekarang”

Sunyi….

“Khuzairi…Khuzairi…boleh tak skip JUMS kejap? Aku pun on the way ke hospital” sambung Kamil

Khuzairi tidak percaya. Sungguh dia tidak percaya. Harapan untuk melihat sahabatnya di JUMS hancur. Hancur untuk melihat sahabatnya itu merasai indahnya peluang membina diri kearah kebaikan. Dia gagahkan diri untuk menjawab. Sabar! Inilah takdir! Inilah maksud insyaALLAH yang Faiz beritahu dulu. Dia nak datang, tapi takdir Allah telah menghalang! Dia tak bergurau kali ini! INNALILLAHIWAINNAILAIHIRAJIUN.

“Kamil, kau…. Kau pergi dulu. Aku nak inform pengarah sekejap.  Kau dah call pegawai MARA?” jawab Khuzairi terketar-ketar.
“Dah Ri, aku dah buat semua”

Khuzairi gagahkan dirinya untuk melangkah berjumpa pengarah JUMS bagi tahun itu. Dia akan datang segera ke JUMS selepas selesai menguruskan urusannya itu. Itulah Khuzairi. Menghadapi segalanya dengan tenang. Pelbagai tanggungjawab kini terpaksa dipikulnya. Bertambah lagi dengan bebas dugaan sebegini. Berkat jiwa ditarbiah dan didikan dakwah yang diterima, dia lebih gagah menghadapi.

    Selepas mendapat pelepasan, beserta kata-kata semangat dan kesabaran dari rakan-rakan seperjuangan yang lain, Khuzairi  menuju ke hospital dengan kereta yang dipinjamkan oleh naqibnya. Naqibnya sendiri akan membawanya ke hospital Lancaster. Khuzairi terbayang akan menatap wajah sahabat baiknya buat kali terakhir. Sebelum mereka berpisah selamanya. Dalam hatinya tidak berhenti berdoa, moga Allah ampunkan dosa sahabatnya itu dan meletakkan dia dalam kalangan orang yang berjuang di jalan Allah, orang yang berjuang melawan hawa nafsu dan tipu daya dunia. Faiz sanggup drive seorang diri ke JUMS, meskipun dia penat dengan kerja. Moga Allah terima pengorbanan itu! Semoga Faiz akan bangkit suatu hari nanti bersama syuhada dan pejuang yang menegakkan agama Allah. Moga Allah lebih mengetahui hati hambaNya itu.

Saat itu juga, bas yang membawa peserta JUMS 2015 tiba. Khuzairi melihat wajah-wajah peserta yang penuh dengan harapan itu. Mereka pasti akan membawa “pulang” sesuatu dari JUMS. Sesuatu yang akan merubah diri mereka.  Jauh di sudut hatinya dia tersenyum. Bertuahlah kalian! Dan Khuzairi pasti, sekiranya Faiz hadir pada hari ini. Dia pasti akan mendapatkan perkara yang sama. Faiz akan berdiri di hadapannya  sambil berkata:

“Alangkah eloknya sekiranya aku antara yang paling awal datang menyertai  kem sehebat ini!”

p/s: JUMS merupakan singkatan bagi Jalinan Ukhuwwah Musim Sejuk, program tahunan yang dianjurkan oleh ISMA UK-EIRE. JUMS 2016 akan bertempat di Morfa Bay, Wales, United Kingdom. Cerita ini merupakan ciptaan semata-mata, tiada kaitan dengan yang masih hidup atau telah meninggal dunia.

Muhammad Hazreen Ismail,
4th year Medicine,
University College Cork, Ireland

Related Posts with Thumbnails

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Check Also

Thalhah

PELAJAR LUAR NEGARA, JANGAN KITA HANYA JADI MAHASISWA BIASA – BIASA

Polisi menghantar mahasiswa ke luar negara telah lama diamalkan oleh kerajaan Malaysia dan kebelakangan ini …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *