Perutusan Hari Raya Aidilfitri 1438H

Bismillahirrahmanirrahim

 

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah dengan limpah izin dan kurniaNya, dapat kita menyambut sekali lagi kedatangan bulan Syawal yang mulia. Kedatangan Aidilfitri adalah detik kegembiraan yang ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam. Ia disambut dengan penuh keceriaan dan kesyukuran sebagai meraikan kemenangan.

 

Kemenangan ini cukup bererti lebih-lebih lagi selepas kita berjaya mengawal keinginan hawa nafsu selama sebulan, melatih diri dengan sifat sabar dan melaksanakan pelbagai amal ibadah di luar kebiasaan sepanjang bulan Ramadan. Jika matlamat puasa ialah menanam taqwa dalam diri manusia, maka Aidilfitri ibarat menuai hasilnya.

 

Namun begitu, pastikan kita menjadi seorang hamba yang Rabbani, bukan sekadar hamba Ramadhani. Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi menyatakan,

 

“Kun rabbaniyyan wala takun ramadhaniyyan”

 

yang membawa maksud jadilah kamu hamba-hamba Allah dan jangan kamu sekadar menjadi hamba Ramadhan. Moga Allah permudahkan kita untuk terus istiqamah selepas berakhirnya Ramadhan.

 

Seperti yang kebanyakan daripada kita maklum, baru-baru ini umat Islam dikejutkan dengan kes buli Zulfarhan, majlis iftar gay yang terbesar di Malaysia, kempen puasa untuk Malaysia dan banyak lagi isu-isu yang melanda negara kita kebelakangan ini yang mengelirukan dan melanggar fitrah kejadian manusia.

 

Namun, Allah mengurniakan kepada umat Islam suatu hari yang mana kita kembali kepada fitrah manusia. Hari dimana umat Islam tidak malu untuk keluar berpakaian sebagai seorang Muslim, bermaafan dan meninggalkan sengketa lama tanpa mengira perbezaan bangsa, warna kulit dan politik, bergema tanpa segan silu melaungkan tasbih, tahmid dan takbir mengesakan Allah. Hari tersebut adalah hari raya Aidilfitiri.

 

Aidilfitri bermaksud hari kembali kepada fitrah. Ia menggambarkan bahawa pada hari ini umat Islam kembali kepada asal semula jadi (fitrah) insan yang sifatnya suci lagi bersih. Tidak dikotorkan dengan hawa nafsu. Tidak dicemari dengan dosa.

 

Semoga dengan semangat kemenangan Syawal ini, menjadi medan untuk umat Islam membina semula kesatuan dan kekuatan. Rayakan Aidilfitri dengan menghayati nilai persaudaraan, kasih sayang dan kesyukuran sebagai lambang meraikan sebuah kemenangan.

 

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.

 

Dr Muhammad Azizi Bin Rosli

Pengerusi Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan UK-Eire

Related Posts with Thumbnails

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Check Also

Air Mata Seorang Pejuang Dakwah

  “Nanti bila dah sampai dekat KL baru buka ya,” ujar Naqibku sambil menyerahkan sepucuk …