Kalam Ramadhan Pengerusi ISMA UK-Eire

 

Bulan yang mulia, bulan Ramadhan dengan izin Allah akan kembali menyelinap dalam diari diri seorang muslim bagi tahun ini. Bulan yang penuh rahmat ini telah menyaksikan nikmat besar yang telah diturunkan Allah kepada hambaNya. Bulan ini bukan sahaja berkisar mengenai ibadah berpuasa malah bulan ini juga diturunkan Al-Quran oleh Allah S.W.T kepada umat akhir zaman menjadikan kitab suci ini sebagai mukjizat terbesar Nabi Muhammad S.A.W. Perintah berpuasa telah dinyatakan jelas oleh Allah S.W.T. di dalam surah Al-Baqarah ayat 183. Di penghujung ayat ini Allah menyatakan dengan jelas tujuan utama perintah berpuasa ini agar kita menjadi insan yang bertakwa. Maka ruang lingkup pemikiran seorang muslim yang berpuasa mestilah berpandukan kepada konsep ketakwaan dan bukanlah kerana tujuan lain seperti terikut-ikut keadaan sekeliling, diet pemakanan dan sebagainya. Sekiranya kita memahami konsep ketakwaan ini maka sudah tentu kita akan menyedari hakikat bahawa bulan ini merupakan bulan supaya kita melatih diri untuk mengabdikan diri secara total kepada Allah dengan ibadah seperti bangun malam untuk solat sunat, tadarus dan tadabur Al-Quran, bersedekah dan mengelakkan diri dari segala perbuatan yang sia-sia.

Pelajar muslim di UK terutamanya perlu menggunakan bulan Ramadhan ini sebagai mekanisme untuk menyebarkan intipati keamanan dan kesejahteraan yang dianjurkan oleh Islam kepada masyarakat bukan Islam di sini. kadang kala berlaku kecelaruaan masyarakat tempatan terhadap perintah berpuasa yang dianjurkan oleh Islam sehingga ada yang mendakwa agama ini seakan akan mendera penganutnya daripada makan dan minum sepanjang hari. Maka kita perlu mempersiapkan diri kita dengan dalil daripada Al-Quran dan hadis-hadis akan keindahan sebenar berpuasa serta kajian-kajian sains yang meluas tentang kebaikan orang yang berpuasa dari sudut kesihatan. Semoga bulan ini juga dapat kita jadikan sebagai medan agenda dakwah Islam dengan mempromosikan ibadah yang mulia ini kepada masyarakat setempat.

Untuk tahun ini, muslim di UK secara amnya akan berpuasa sekitar 18-19 jam. Durasi siang yang panjang ini sudah semestinya akan menguji sedikit ketahanan fizikal dan mental untuk berpuasa dan mengerjakan amal ibadah yang lain. Namun sekiranya hal ini dilihat dari sudut yang sedikit berbeza, kita akan mendapati durasi malam yang pendek iaitu sekitar 4-5 jam ini membantu umat Islam di sini untuk terus memperuntukkan masa yang singkat ini dengan amalan solat di tengah malam sebelum masuk waktu subuh. Sudah tentu perkara ini sangat membantu sekiranya kita dapat konsisten dengan amalan ini sehingga ke sepuluh malam terakhir dalam memburu malam lailatul qadar. Maka saya menyeru diri saya dan seluruh pelajar Malaysia di UK secara khususnya untuk menggunakan peluang keemasan ini dengan sebaiknya dan menjadikan bulan Ramadhan kali ini sebagai proses tarbiyah kepada hati dan nurani agar kita meninggalkan bulan ini nanti sebagai muslim dan mukmin yang lebih baik. Akhir kalam, saya mewakili seluruh warga ISMA UK-Eire ingin mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan dan selamat beramal kepada seluruh rakyat Malaysia di UK dan nun jauh di tanah air.

 

Muhd Azizi Bin Rosli

Pengerusi ISMA UK-Eire

 

Related Posts with Thumbnails

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Check Also

Pengiktirafan Baitul Maqdis Sebagai Ibu Negara Israel Bukti Pengkhianatan Amerika Syarikat

Donald Trump hari ini akhirnya membuat satu pengumuman yang mengejutkan jutaan umat Islam apabila secara …