Kemanisan Ukhwah dan Tarbiyah di Bulan Ramadhan

Rasa seperti baru semalam saya dan rakan-rakan serumah bergilir-gilir mengimamkan solat terawih berjemaah di rumah kami yang kami panggil ‘Hurun Ain’, padahal sudah setahun berlalu sejak Ramadhan yang lepas. Memang sangat seronok waktu itu. Walaupun terikat dengan jadual sebagai pelajar perubatan, kami cuba juga memeriahkan suasana bulan Ramadhan di perantauan. Waktu siang kami berempat masing-masing menyiapkan tugasan akademik- baik di klinik, hospital, makmal mahupun di rumah. Waktu petangnya kami menyediakan juadah berbuka bersama-sama. Selesai berbuka puasa, kami solat maghrib, isyak dan terawih berjemaah di rumah. Waktu lapang yang ada di antara waktu-waktu solat kadang-kadang diisi dengan semakan bacaan juzu’ 30 yang kami semua cuba hafal sedikit demi sedikit sejak tahun kedua kami di Cardiff.

Begitulah rutin harian kami sebagai rakan serumah saban hari di bulan Ramadhan. Sangat meriah dan jiwa sentiasa rasa terisi. Melihat rakan-rakan serumah yang bersungguh-sungguh memanfaatkan bulan mulia Ramadhan, saya juga ikut termotivasi sama.

 

Tahun ini suasana Ramadhan saya sedikit berbeza. Rutin harian kebanyakannya masih lagi sama, cuma bezanya tahun ini hanya bersama suami. Bersahur berdua, berbuka berdua, tadarus al-quran berdua, solat berjemaah juga hanya berdua. Memang terasa sunyi sedikit dengan tiadanya lagi ‘pergaduhan’ dengan rakan serumah tentang siapa yang mahu mengimamkan solat, atau siapa yang paling layak untuk menghabiskan makanan, atau mengemas dapur.

Ada juga sedikit rasa takut sewaktu menunggu ketibaan Ramadhan tahun ini. Takut kalau-kalau saya seorang diri tidak mampu menghadirkan biah solehah di rumah seperti di ‘Hurun Ain’. Rupa-rupanya Allah sudah pun menghadiahkan seorang rakan serumah baru yang sama hebatnya juga dengan rakan-rakan serumah dahulu, yang sentiasa berusaha sama untuk menghidupkan roh Ramadhan di rumah kami. Dan alhamdulillah, rupa-rupanya ianya tidak lah sesusah yang saya sangka. Kata orang, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Lagipun, teringat kata-kata seorang ustaz dalam ceramah yang pernah saya dengar tidak lama dahulu, “Allah kurniakan dalam bulan Ramadhan, kemudahan untuk melakukan kebaikan. Allah dorongkan hati kepada perkara-perkara kebaikan, dan Allah kurniakan kekuatan untuk kita melakukannya. Begitulah istimewanya bulan Ramadhan”. Alhamdulillah wa astaghfirullah.

Ayuh kita sama-sama menghidupkan roh Ramadhan di rumah kita. Apa pun peranan kita- suami, isteri, anak, ibu, ayah, ataupun rakan serumah- masing-masing boleh menyumbang dengan kapasiti yang ada. Biar sedikit, asalkan ada usaha. Biar sedikit, asalkan berterusan. Semoga pada akhir bulan yang mulia ini, Allah hadiahkan taqwa buat kita semua.

#KisahRamadhan
#IndahnyaRamadhan

Related Posts with Thumbnails

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Check Also

Aktivis ISMA Eropah Santuni Masyarakat di Pedalaman Sarawak

Bintulu, Julai 2017- Seramai hampir 30 orang aktivis ISMA Eropah yang pulang bercuti musim panas …