Kesyahduan Ramadhan di Helaian Al-Quran yang Mulia

 

Semestinya bulan Ramadhan merupakan bulan yang sangat istimewa untuk seluruh umat Islam di seantero dunia. Bulan yang menjanjikan ganjaran dan keampunan yang melimpahruah ini menyaksikan umat Islam berpusu-pusu untuk hadir ke masjid dan bersedekah demi merebut peluang keemasan yang diberikan Allah S.W.T kepada umat akhir zaman ini. Sudah menjadi kebiasaan untuk kita mensinonimkan bulan ini dengan ibadah berpuasa. Sehingga ramai di antara kita memanggil bulan ini sebagai bulan puasa. Namun begitu, kita perlu sedar bahawa di bulan Ramadhan ini Allah menyatakan dengan jelas di dalam surah Al-Baqarah ayat 185 bahawa Al-Quran juga diturunkan pada bulan ini. Al-Quran yang merupakan mukjizat terbesar Nabi Muhammad merupakan petunjuk jelas yang mana padanya Rasulullah di dalam khutbah terakhirnya menyatakan bahawa umat ini tidak akan tersesat sekiranya berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah.

 

Bulan Ramadhan seharusnya diambil oleh umat Islam sebagai medan untuk memperkasakan amal kita dengan Al-Quran. Kesucian Al-Quran diangkat sehingga membacanya tanpa faham sekali pon akan diberikan ganjaran oleh Allah. Namun alangkah ruginya umat ini sekiranya panduan hidup yang diseru Rasuliullah ini tidak dihayati dan bertambah malang lagi sekiranya tiada usaha daripada setiap individu untuk memahaminya. Allah juga menyatakan dengan jelas di dalam ayat 183 surah Al-Baqarah bahawa objektif utama setiap muslim di dalam bulan Ramadhan ini adalah menjadi hamba yang bertakwa. Sekiranya takwa tidak hadir di dalam diri kita sehingga ke penghujung bulan ini maka wujud keperluan untu kita bermuhasabah akan amal yang kita kerjakan di bulan ini. Sumber utama ketakwaan untuk setiap muslim adalah Al-Quran yang mana di dalamnya banyak ayat diakhiri dengan seruan agar kita menjadi insan dan hamba yang bertakwa.

 

Mengambil pengajaran daripada ayat 185 surah Al-Baqarah juga kita dapat melihat bahawa panduan untuk membezakan yang hak dan batil dalah melalui Al-Quran. Di dalam ayat tersebut Allah berfirman “bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan antara yang benar dan yang salah….”. Ayat ini jelas menyatakan bahawa ‘moral compass’ yang perlu diambil oleh umat Islam dalam menaklik sesuatu amalan dan perbuatan hanyalah Al-Quran. Seringkali kita mendengar akan istilah ‘humanity’ atau ‘modernity’ yang mengangkat akal manusia semata-mata dalam mengeluarkan hujah dan menetapkan sesuatu hokum. Ini sangat bercanggah dengan seruan Al-Quran di dalam surah Al-Furqan “Dan demi sesungguhnya! Kami berulang-ulang kali menyebarkan hujah-hujah di antara manusia melalui Al-Quran supaya mereka berfikir dalam pada itu kebanyakan manusia tidak mahu melainkan berlaku kufur.” Ayat ini juga jelas menegaskan keperluan umat Islam untuk berfikir berlandaskan dengan tuntutan syara’ seperti yang telah ditetapkan di dalam Al-Quran. Mengambil ideology manusia yang bertentangan dengannya hanya akan menyebabkan kita tergolong dalam golongan orang yang kufur.

 

Semoga tarbiyyah bulan yang mulia ini semakin mendekatkan kita dengan Al-Quran dan semakin menambah ilmu kita untuk mengenal sang Pencipta yang satu dan Maha Agung.

 

Team #indahnyaramadhaneropah

 

Related Posts with Thumbnails

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Check Also

Pengiktirafan Baitul Maqdis Sebagai Ibu Negara Israel Bukti Pengkhianatan Amerika Syarikat

Donald Trump hari ini akhirnya membuat satu pengumuman yang mengejutkan jutaan umat Islam apabila secara …