Kisah Adam dan Iblis Mengajar Manusia untuk Memahami Konsep Tanggungjawab

Suatu masa dahulu, kedudukan iblis pernah jauh lebih tinggi dari malaikat (sebelum penciptaan Adam AS) kerana kesungguhan iblis mengabdikan diri kepada Allah taala sepanjang hayatnya. Ibarat seorang kerani yang bermula dari bawah dalam sebuah syarikat, akhirnya selepas 30  tahun berkhidmat dia berjaya memiliki jawatan Timbalan Pengarah.

Namun satu hari, datang seorang anak muda yang berusia dalam lingkungan 15 tahun dan dimaklumkan kepada timbalan pengarah tadi, anak muda itu adalah Timbalan Pengarah yang baru bagi syarikat tersebut. Tidak cukup dengan itu, Tuan Pengarah meminta beliau (Timbalan Pengarah lama) membancuh secawan kopi untuk anak muda itu.

Timbalan Pengarah syarikat yang sudah lama berkhidmat itu  berasa sangat marah, kecewa dengan sikap Tuan Pengarah yang dilihat seolah-olah langsung tidak menghargai khidmat dan pengorbanan yang telah dicurahkan kepada syarikat selama berpuluh-puluh tahun. Masakan tidak, anak muda berusia 15 tahun yang bukan setakat ijazah, hatta pendidikan di peringkat sekolah pun tidak habis lagi. Logik akal kita jelas akan mengatakan hal yang berlaku ini tidak adil.

“Mana mungkin aku yang dibuat dari api, yang telah lama beribadat kepadaMu, tunduk kepada budak baru ini”.

Hari demi hari berlalu. Kerana kebijaksanaan, kejujuran, kecekapan anak muda itu dalam mengendalikan syarikat, maka Tuan Pengarah syarikat merancang untuk menghantar anak muda itu ke Sri Lanka untuk memajukan cawangan syarikat di sana. Kesemua kakitangan pejabat tahu akan hal tersebut kecuali anak muda itu. Dan perancangan ini, amat menggembirakan hati bekas Timbalan Pengarah syarikat yang  sudah lama berdendam dengan anak muda tersebut. Maka dirancangnya satu muslihat. Satu hari dipanggilnya anak muda tersebut masuk ke dalam biliknya. Dan beliau pun mengkhabarkan perancangan Tuan Pengarah syarikat tersebut yang ingin menghantarnya ke Sri lanka. Terkejutlah akan anak muda tersebut dan tertanya-tanya atas sebab apakah beliau perlu di hantar ke sana? Dan perbincangan antara mereka berlanjutan hingga menyebabkan anak muda tadi terlewat 5 minit memasuki pejabatnya. Menyedari hal itu, Tuan Pengarah menggunakan kesempatan tersebut menyampaikan berita pemindahan anak muda itu ke Sri Lanka.

“Ini tidak adil. Perancangan ini di luar pengetahuan saya. Saya hanya terlewat 5 minit sahaja” jawab anak muda.

“Lewat tetap satu kesalahan,walau apa pun alasan yang kamu berikan. Oleh itu kamu tetap akan dipindahkan ke Sri Lanka” balas Tuan Pengarah.

Jika diamati, kedua-dua makhluk Allah SWT ini memiliki hujah yang sama atas perlakuan tidak adil pada diri mereka. Adam AS merasakan tidak adilnya Allah pada ketika itu adalah kerana dia merasakan,hukuman yang diberikan bukanlah sepenuhnya disebabkan kesalahannya. Memakan buah khuldi tersebut, bukanlah sepenuhnya atas keinginannya tetapi kerana mengikut saranan iblis yang menjanjikan bahawa mereka akan terus berada di syurga jika memakan buah tersebut. Manakala iblis pula merasakan tidak adilnya Allah kerana menghukumnya keluar dari syurga dengan langsung tidak melihat kepada kononnya pengorbanan dan ketaatan tidak berbelah bahagi yang diberikannya sebelum ini. Walhal iblis lupa, andai ikhlas memenuhi piala hatinya apa sahaja arahan Tuannya, akan diturutinya.

Namun yang membezakan mereka adalah pengakuan kepada kesalahan yang telah dilakukan dan rasa bertanggungjawab kepada kesalahan yang telah  dilakukan mereka. Iblis tidak mahu bertanggungjawab atas kesalahan keegoan dirinya kepada perintah Allah SWT. Malah merancang lagi usaha-usaha buruk untuk membinasakan Adam AS dan manusia seluruhnya. Tetapi tidak pada Adam AS. Adam AS akhirnya mengaku kerana kezaliman dari tangannya sendiri lah yang menyebabkan dia diturunkan ke dunia.

Kesan bertanggungjawab kepada kesilapan yang dilakukan, pada amanah yang diberi, sangat memberi banyak manfaat kepada kehidupan di dunia ini  jika seseorang muslim itu menghayati dan mengamalkannya dalam setiap aspek kehidupan.

Kepelbagaian masalah yang berlaku hari ini adalah berpunca apabila kebanyakan individu muslim tidak memahami dan mengamalkan prinsip tanggungjawab ini. Dan apa yang lebih buruk lagi, sedar tidak sedar masalah itu bermula dari tiadanya rasa tanggungjawab pada diri sendiri.

Berapa ramai yang sedar dan faham mengerjakan solat perlu diawal waktu atau berjemaah bagi yang lelaki. Berapa ramai yang permulaan harinya dimulakan dengan Subuh yang awal dan di masjid. Ini baru sekitar perkara asas bagi seorang muslim. Solat!

Jika perkara asas sudah bermasalah dalam aspek tanggungjawab ini, apatah lagi pada aspek kehidupan yang lain. Soal keluarga, rumahtangga, kerja, ekonomi, politik dan lain-lain lagi. Jadilah umat islam itu yang hanya suka menyalahkan tapi bila diri sendiri melakukan kesalahan tidak ditudingkan jari pada dirinya sendiri (dengan erti kata lain tidak mahu bertanggungjawab pada kesalahan yang telah dilakukan).

Oleh itu, sedarlah wahai umat islam, semboyan kemenangan yang kita harap-harapkan, laung-laungkan tidak akan terealisasi kalau ingin menolak selimut menunaikan Subuh di awal waktu pun masih menguji, jika skrin2 TV, telefon bimbit, lagi banyak mengisi masa2 yang ada dari membaca mushaf quran dan zikir hati.

Jadilah seperti baginda SAW. Jujur dan amanahnya selama 40 tahun sebelum kerasulan, menyebabkan baginda SAW disayangi walaupun belum mengeluarkan kata-kata kebaikan. Berkahnya dakwah baginda SAW adalah kerana jujur dan amanahnya yang menyebabkan baginda SAW mudah didekati dan didengari. Kerana apa? Kerana baginda mulakan prinsip tanggungjawab bermula dengan dirinya sendiri.

Jika kita sedar bahawa setiap kata-kata yang keluar, setiap topik perbincangan, setiap saat-saat yang berlalu, setiap langkah kaki kita Allah hitung insya Allah tiada lagi kata-kata yang ‘membahan’ kawan selepas ini, tiada lagi topik-topik tidak berfaedah seperti apa akan jadi pada episod akan datang ‘Tundukkan Playboy Itu’, tiada lagi masa-masa yang berlalu dengan mencari-cari filem apa yang ingin ditonton malam ini.

Moga kita menjadi umat yang sedar tangunggjawab agar kelak kita mampu jawab di hadapan Allah taala tika ditanya seperti yang disabdakan Nabi saw:

 

“Tidak akan beranjak kaki anak Adam pada Hari Kiamat dari sisi Rabbnya sampai dia ditanya tentang 5 (perkara) : Tentang umurnya dimana dia habiskan, tentang masa mudanya dimana dia usangkan, tentang hartanya dari mana dia mendapatkannya dan kemana dia keluarkan dan tentang apa yang telah dia amalkan dari ilmunya”. (HR. At-Tirmizi).

AL-QURAN

Anis Nirhana binti Hasni
Penolong Ketua Biro Tarbiyah

 

Related Posts with Thumbnails

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Check Also

MANUSIA LEMAH

AL-QURAN ITU ADALAH MUKJIZAT TERAGUNG, di mana di dalamnya terkandung kalimah-kalimah suci daripada Allah yang …