MAJLIS KHATAM QURAN KOMUNITI MALAYSIA CARDIFF

 

Cardiff, 26 June- Komuniti Malaysia di Cardiff telah berjaya mengkhatamkan 30 juz Al-Quran pada hari Jumaat, 28 Ramadhan 1438H. Bacaan Al-Quran yang dilakukan sebanyak sejuzuk sehari telah dimulakan seawal 1 Ramadhan dan disertai oleh komuniti Cardiff yang terdiri daripada para pelajar serta ahli keluarga yang menetap disini.

Ramadhan yang cukup sinonim sebagai bulan Al-Quran menyaksikan masyarakat muslim yang masing-masing berebut untuk melakukan amal dan apa jua bentuk kebaikan bagi meraih keberkatan di bulan yang cukup mulia ini. Di antara amal ibadah yang paling ditekankan untuk diperbanyakkan pada bulan Ramadhan adalah membaca Al-Quran.

 

Allah swt telah berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 185;

“bulan Ramadhan, bulan yang didalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu, dan perbezaan (antara yang haq dan batil)”

 

Tadarus Al-Quran merupakan salah satu aktiviti yang biasanya akan dilakukan di seluruh masjid atau madrasah di Malaysia. Meskipun berada di bumi yang bukan majoriti penduduknya adalah muslim, Isma Eropah UK-Eire mengambil inisiatif ini untuk berkolaborasi dengan persatuan komuniti Malaysia di Cardiff (MCC-Malaysian Cardiff Community) pada tahun ini untuk sama-sama menghidupkan roh Ramadhan di kawasan ini. Aktiviti ini bukanlah sesuatu yang ganjil bagi komuniti melayu disini yang telah pun menjadikan tadarus Al-Quran sebagai aktiviti harian wajib di bulan Ramadhan.

 

Majlis khatam Quran yang diadakan secara sederhana ini ditutup dengan bacaan doa khatam dan pembahagiaan pulut kuning sepertimana yang menjadi kebiasaan masyarakat kita di Malaysia.

 

Semoga Allah s.w.t menerima amal kita dan semoga kitab suci ini sentiasa menjadi pendamping kita, bukan sahaja di bulan Ramadhan, bahkan menjadi rutin harian kita sepanjang hidup dan seterusnya menjadi syafaat untuk kita di akhirat nanti.

 

Disediakan oleh:

Suhailah Sukri

 

Related Posts with Thumbnails

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Check Also

Pengalaman Aktivis ISMA Eropah di Tanah Suci: Menjejak ‘Wahyu’

Hari ini mengambil kesempatan untuk menziarahi gua hira’. Kedudukannya terletak 5.7km dari hotel tempat saya …