MANUSIA LEMAH

AL-QURAN ITU ADALAH MUKJIZAT TERAGUNG, di mana di dalamnya terkandung kalimah-kalimah suci daripada Allah yang Maha Kuasa, Maha Pemurah, Maha Pencinta dan Maha Mengetahui segala isi hati hamba-Nya. Dan aku yakin kitab suci ini diturunkan bukan sahaja untuk dibaca, malah perlu dibedah isi dalamya sebisa yang mungkin, agar intipatinya meresap hingga ke dalam pembuluh darah jiwa hambanya. Sungguh, Al-quran itu bukan sahaja sekadar kalam Yang Esa, malah jauh sekali daripada apa yang digembar-gemburkan oleh al-kafiruun sebagai dogengan Muhammad, sedangkan di dalamnya terkandung bukan sahaja apa yang diperintah dan apa yang ditegah, bukan sahaja cerita tentang jannah dan jahannam yang kita pasti ada, tapi juga tersingkap kisah-kisah insan yang dipilih oleh Dia, dan setiap kisah itu pula bukan sahaja cerita rekaan Muhammad, tetapi didatangkan sebagai petunjuk dan hidayah buat pedoman umat.

Maka aku tertarik dengan kisah Adam yang tewas dengan pujuk perdaya syaitan, hingga dipaksa keluar dari hidupnya yang indah memang kerana ianya adalah syurga, lalu dihukum turun ke bumi yang diciptakan-Nya untuk diletakkan di dalamnya seorang khalifah. Sesungguhnya, andai nabi Adam sahaja tewas dengan pujuk perdaya makhluk yang licik memperdaya umat, apatah lagi aku, insan yang lemah, mentah dalam bertatih di bumi yang penuh pancaroba ini. Tapi, sudah dibilang berulang-ulang kali bahawa Al-quran itu adalah petunjuk dan hidayah buat pedoman umat, maka diteruskan kesinambungan kisah Adam yang diampunkan dosanya kerana TAUBAT. Bukti bahawa Yang Esa itu memang Perkasa, Maha Pengasih dan Maha Menerima taubat hamba-Nya.

quranmuhammad

Siti Aisyah namaku, persis nama suri hati Muhammad yang menemani Baginda dalam meniti lembaran hari demi hari sepanjang hayat baginda. Sollu ‘alan nabi. Itulah yang sering kali umat harus ungkapkan apabila kita bercerita tentang seorang insan yang diberi nama Muhammad, yang suci malah terpelihara dari dosa. Adapun namaku Aisyah, namun aku tidaklah semulia mahupun sehebat Saidatina Aisyah, apatah lagi darjat antara aku dan dia sungguh barangkali bagai langit dengan bumi. Namun, aku serahkan soal hati dan takwa hanya pada Ilahi, kerana Dia yang Maha Adil dalam meneliti dan menghakimi hati-hati umat. Hidup ini aku anggap sebagai peluang terakhir yang diberikan-Nya, kerana Dia amatlah pemurah untuk sekali lagi mengurniakan aku nikmat bernafas apabila terjaga dari tidur. Namun, saat terjaga dari tidur itu pula bukan sekadar permulaan hidup setelah lena atau lebih dekat dengan jiwa apabila digelar sebagai kematian yang kecil, kerana sungguh kematian yang sebenar itu amatlah pedih. Aku anggap jalan kehidupan ini sebagai jalan dakwah, kerana saat aku menelusuri jalan ini untuk tiba ke penghujung jalan, aku kenal apa itu tarbiyah dan apa itu jerih payah. Kerana jalan dakwah ini bukanlah jalan yang mudah, tetapi duri dan api bersilih ganti menggarit luka ketika melangkah. Tetapi, apa ertinya hidup bagi aku andai melangkah dengan mudah tetapi bukan jannah di penghujungnya, kerana kesenangan ketika kehidupan yang abadi nanti yang harus aku dambakan. Sungguh, aku impikan Jannah, agar dapat satu hari nanti aku bertemu dengan insan yang selama ini aku kenal melalui sirah. Amin ya Allah.

Hendak dikata aku seorang pendakwah, atau lebih biasa diomong umat dengan istilah dai’e, aku yakin itu bukan aku. Sudah aku bilang di awal cerita bahawa aku hanyalah insan yang lemah, dan masih mentah untuk melangkaui jambatan kehidupun yang bagaikan lapisan ais yang sangat tipis incinya. Kalau tidak waspada, padah! Dan hidup ini bukanlah sekadar menjadi manusia tanpa batas, tanpa ada tujuan. Buat umat yang lupa, aku ingin berpesan, pesan seorang yang lemah dan mentah, kita tidaklah diciptakan melainkan untuk menyembah Dia dan menjadi khalifah. Aku juga leka suatu masa dahulu, kerana hanyut dalam dangkapan dunia palsu yang tidak menjanjikan apa-apa. Kerana apa aku bisa hanyut, lemas? Kerana aku lupa apa tujuan aku.

terdampar_by_pistonbroke

………………………………………………………………………………………………………………………………….

“Isyhhh, apasal sikit je yang like gambar instagram aku ni?” rungut aku dalam hati. Mulalah aku mencarut di dalam hati. “Ye lah, orang yang aku follow tu semua dapat beribu-ribu like, aku pulak cuma 20 likers je.” Tambah aku. Akhirnya, aku menghabiskan masaku dengan berjam-jam lamanya masa menatap gambar-gambar orang-orang yang aku follow di laman sosial instagram. Saat itu aku pasti, keinginan nafsuku dicucuk-cucuk dengan bisiskan halus daripada makhluk yang licik memperdaya umat. Mulalah aku dengan beraninya menghabiskan duit biasiswaku dengan membeli barang barangan menconteng muka. Kerana aku lihat orang yang ‘famous’ di instagram itu adalah mereka-mereka yang bijak menghias diri dengan contengan-contengan yang berbagai rupa. Sehingga jelitawan ini menerima pujian dan sanjungan yang melambung-lambung daripada kalangan ‘followers’ terutamanya daripada golongan jejaka. “Ah, aku pun mahu menjadi seperti mereka!” Saat itu aku pasti, nafsuku meronta-ronta untuk dipandang lelaki, enggan diaggap kolot dan hodoh pabila ditatap golongan ajnabi. Malah, ingin sekali aku dipuji dengan pujian yang melambung-lambung tingginya daripada ‘followers’ku. Ya, aku jadikan laman sosial ini sebagai medan untuk aku pertontokan wajahku yang aku anggap sebagai sumber kejelitaanku. Saban hari aku semakin menyukai kehidupan yang sebegini, dipuji, disanjung umat. Sehingga akhirnya syaitan itu bijak memperdaya dengan helah yang lebih dahsyat. Sungguh aku tersadung.

shopping-bags-monbiot-008

“Isyh, pakai tudung macam ni takde fashion. Pendekkan sikitlah. Barulah cantik macam perempuan-perempuan dekat instagram tu.” Sekali lagi aku menturuti kehendak nafsuku. Andai syaitan itu dapat dilihat dengan mata kasar, sudah tentu makhluk yang bijak memperdaya umat ini tersenyum lebar melihat aku terpedaya dengan pujuk rayunya. Sungguh aku tidak sangka aku sangat berani mentaati perintah-Nya secara sambil lewa, sedangkan suruhan itu sudah termaktub lamanya di dalam lembaran kalam-Nya beribu tahun dahulu. Barangkali kerana aku kabur dengan keindahan dunia. Aku semakin liar di dalam kancah duniawi yang aku anggap sebagai dunia ‘hijabista’. Semakin lama semakin singkat kerudung yang menutupi diri ini. Aku juga pelik! Tidakkah aku berasa malu mempertotonkan apa yang saharusnya aku pelihara daripada ajnabi. Ke mana hilangnya rasa malu dan hormat pada diriku sendiri? Sungguh aku berani mencabar tuhan dalam melaksanakan perintah-Nya. Betapa ceteknya ilmu dan imanku saat ini. Astagfirullah!

“Ahh, rimaslah dengan tudung ni. Free hair lagi best! Lagi nampak lawa! ” Kali ini aku benar-benar tersungkur. Imanku diulit noda sehingga tiada lagi rasa gentar dan takut pada tuhan, seakan akan tidak mengenali apa itu Allah kerana aku sudah tewas dan lemas di dalam lautan kedurjanaan. Kali ini aku rasakan syaitan bertepuk girang melihat kejayaannya memperdayakan aku yang lemah dan mentah ini. Aku dengan galaknya mencabut apa yang biasa aku gunakan untuk menutup diriku kerana begitu taksub dengan kepuasan menerima pujian dan sanjungan umat. Sungguh, aku tewas pada dunia sehingga pada suatu hari aku diuji dengan ujian yang amat hebat Bagaikan ditampar sehingga tersungkur ke penjuru. Gambar yang selama ini aku pertontonkan pada golongan umat manusia telah disalahgunakan oleh golongan yang tidak takut akan hukuman tuhan. Kejelitaanku yang selama ini aku bangga-banggakan diguna pakai untuk menghiasi laman sesawang lucah sehingga akhirnya aku dicemuh, dikeji, dihina dan dikutuk oleh umat yang selama ini galak memuji dan menyanjungi kejelitaanku. Ke mana hilangnya pujian dan sanjungan umat yang aku dambakan sebelum ini dek gara-gara fitnah yang tidak dikaji kesahihannya? Cemuhan, kejian, makian menjadi makananku saban hari sehinggalah aku hampir sahaja sekali lagi termakan dengan hasutan makhluk yang licik memperdaya manusia ini untuk melakukan tindakan yang paling dimurkai oleh Allah. Ya, aku hampir sahaja terjun dari bangunan sebelum aku diselamatkan oleh insan yang tidak akan bisa aku lupakan sama sekali sepanjang hayatku. Kerana dialah yang dipilih oleh Dia untuk mengajar aku erti iman dan Islam, erti tuhan dan kehidupan.

………………………………………………………………………………………………………………………………….

“Aisyah, kenal tak siapa nabi kita?” Aku tidak akan sama sekali lupa akan pertanyaan Kak Khadijah kepadaku sewaktu mula-mula aku tinggal bersamanya. Mungkin aku pernah belajar pasal baginda sewaktu zaman sekolah rendah dahulu, namun aku lupa semua itu kerana aku menganggap ilmu itu tiada gunanya untuk aku genggam kemas di dalam lipatan mindaku. Aku malu saat itu kerana aku tidak kenal akan manusia yang telah bersusah payah menyebarkan ajaran Islam demi mengajak umat manusia ke arah kebenaran. Aku malu kerana aku lupa akan perjuangan insan yang bernama Muhammad ini semata-mata ingin melihat Islam tertegak di bumi yang fana’ ini. Sungguh aku malu sehingga berderai air mataku laju membasahi pipiku. Mengapalah aku begitu sombong dalam mengenali utusan Allah ini? Mengapalah aku begitu angkuh dalam mengenali peribadi mulia insan yang terpelihara dirinya daripada dosa sedangkan keperibadiannya diumpamakan seperti al-quran? Sejak itu aku bertekad untuk menelusuri jalan dakwah. Kerana aku mahu menyelematkan umat yang tidak mengerti sepertimana kejahilanku sebelum ini. Ya, ini tanggungjawabku!

Namun, sepertimana sudah ku bilang di awal ceritera, jalan dakwah ini bukan mudah. Payah! Sungguh sering kali kaki ini terluka pabila melangkah. Kadang-kala aku tersadung, terjatuh, tersungkur ke tanah kerana payah. Tidak terhitung dugaan demi dugaan yang aku hadapi kerana kekhilafan zaman silamku. Aku cuba untuk berdakwah, tetapi dakwahku ditolak mentah-mentah golongan umat kerana mereka kata aku tidak layak! Seorang pendosa tidak layak berdakwah! Sungguh aku terkesan dan jiwaku bagai dihiris-hiris dengan pisau tajam. Kejahilanku memakan diriku akhirnya. Dakwahku enggan diterima kerana mereka bilang aku seorang pendosa. Pendosa ynag tidak layak membawa agama Allah. Sekali lagi aku mengalirkan air mata yang mengalir deras membasahi pipi. Derasnya hanya tuhan sahaja yang tahu betapa pilunya hati ini bagaikan ada selumbar yang tidak pernah hilang daripada melukai kalbuku ini. Aku ingin berubah dan aku memilih jalan dakwah kerana aku ingin berubah. Aku memilih jalan dakwah kerana aku tidak mahu kembali ke zaman kejahilanku semula. Aku memilih jalan dakwah kerana aku mahu mencontohi perjuangan baginda. Dan yang pasti aku memilih jalan dakwah kerana Allah dan aku tahu bahawa ini tanggungjawabku. Mengapa jalan ini sungguh payah untuk ditempuh? Semangatku hampir sahaja patah namun tiba-tiba pintu bilikku diketuk oleh kak khadijah.

“Aisyah, kenapa menangis ni? Habis basah telekung!’

“Kak, Aisyah rasa sedih sangat kerana ramai yang tidak suka apabila aisyah cuba mendekati mereka. Aisyah dicemuh kak! Aisyah tak sanggup nak hadapi makian dan kejian orang kepada Aisyah. Kenapa susah sangat kita nak sebarkan dakwah kak? Apa dosa AIsyah kak sampai mereka kata Aisyah tak layak nak menyebarkan dakwah kerana Aisyah seorang pendosa, bekas model lucah!”

“Aisyah, Aisyah dah habis baca buku sirah Rasulullah S.A.W?”

“Dah? Tapi apa kaitannya buku sirah tu dengan masalah Aisyah kak?”

1534907_422798011156399_1501505729_o

“Aisyah, kalau Aisyah rasa Aisyah sudah menerima ujian yang sangat hebat dalam menyebarkan dakwah ni, cuba Aisyah imbas kembali sirah Baginda. Berapa lama masa yang diambil oleh Baginda untuk meyakinkan penduduk mekah untuk menerima ajaran Islam? Aisyah ingat tak peristiwa Rasulullah SAW dibaling dengan najis oleh golongan musyrikin? Dan Aisyah ingat tak peristiwa dimana Rasulullah cuba ditangkap dan dibunuh oleh golongan musyrikin? Ujian siapa yang lagi besar, ujian Aisyah ke Rasulullah? Satu je akak nak pesan pada Aisyah. Ingatlah, dalam kita berusah untuk menyebarkan syi’ar Islam, ingatlah Allah itu ada untuk sentiasa bersama kita, menemani kita dalam setiap langkah yang kita ambil. Dan ingatlah juga bahawa di penghujung jalan nanti, ada seseorang yang akan menyambut kita dengan seyuman yang manis. Cuba Aisyah teka siapa dia?”

“Rasulullah SAW!”

“Sebentar ya Aisyah! Ada orang call akak. Nanti kita sembang lagi ya Aisyah!”

Sekali lagi Allah hadirkan Kak Khadijah sebagai utusanNya untuk menguatkan kembali semangatku untuk hidup, dan terus hidup pada jalan baru yang aku ambil ini. Sungguh, Allah itu Maha Pengasih kerana dia telah pertemukan aku dengan Kak Khadijah yang senantiasa ada untuk aku terus kuat, sebagaimana dia telah datangkan Kak Khadijah untuk menyelematkan aku daripada mati secara sia-sia suatu masa dahulu. Hatiku bagaikan disentap oleh satu kuasa yang hebat pabila Kak Khadijah mengingatkan kembali sirah perjuangan utusan Allah yang tidak terungkap keperitannya. Jerih perih susah payah yang dilalui Rasullullah itu sungguh jauh lebih hebat daripada apa yang sedang aku tempuhi saat ini. Aku terharu mengenangkan bahawa setiap kali aku menapak di dalam jalan dakwah ini, aku yakin bahawa aku tidak melakukannya keseorangan. Biarpun segala onak dan duri bakal menghimpit aku agar aku tidak bisa berjalan lagi, akan aku cuba sehabis mungkin untuk merangkak dan kembali menapak dalam menyambung perjuangan insan yang aku harap dapat bertemunya di penghujung jalan ini. Aku menghela nafasku dengan satu semangat yang baru, untuk aku terus melangkah hingga ke penghujung jalan agar pada apabila tiba hari itu, Baginda tersenyum ketika melihatku.

Sollu ‘alan nabi. Moga Allah redha.

Fatin Norsahida binti Giman

Pelajar tahun 1

Biomedical Science

The University of Sheffield

 

Memenangi hadiah utama pertandingan menulis

Sempena SMSA Week of Islamic Nurturing Competitions

Related Posts with Thumbnails

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Check Also

Air Mata Seorang Pejuang Dakwah

  “Nanti bila dah sampai dekat KL baru buka ya,” ujar Naqibku sambil menyerahkan sepucuk …