Pengalaman Aktivis ISMA Eropah di Tanah Suci: Menjejak ‘Wahyu’

Hari ini mengambil kesempatan untuk menziarahi gua hira’. Kedudukannya terletak 5.7km dari hotel tempat saya menginap . Menziarahi tempat ini tiada sebarang fadhilat dari sudut syara. Namun bagi mereka yang ingin menghayati sirah, menjiwai pengorbanan, serta mengikat kembali rantaian perjuangan Islam ini, maka tempat tersebut mempunyai nilaian tertentu.Saya ke sana hanya berjalan kaki sambil menikmati pemandangan kota Tanah Haram ini. Tempoh perjalanan lebih kurang satu jam sebelum tiba di kaki bukit. Dari kaki bukit ke puncak lebih kurang 800m dan mengambil masa 45minit. Tidak sangka pula ia begitu curam. 100m pertama adalah jalan bertar yang curam. Seterusnya adalah menaiki tangga batu hingga ke puncak. Ibarat panjat tangga bangunan 30-40 tingkat, mungkin lebih.

Jarang jumpa orang Melayu. Kebanyakan dari hindi, china, indonesia, turkey dan afrika. Ada yang gagahkan diri walaupun bertongkat.

Tiba di puncak dalam keadaan begitu mengah, berehat seketika sambil menikmati bekalan makanan yang dibawa. Duduk sebelah seorang jemaah haji bernama Abu Bakar dari Cote D’ivoire (Ivory Coast), bersembang dan bertukar makanan. Menariknya dia mempunyai cara fikir yang sama seperti saya.

“Come here, nothing. Not to pray. Some people pray here. No point. Come here just to feel how the Prophet did it. His sacrifice”

Setelah melaluinya sendiri, hati ini berasa begitu kagum memikirkan bagaimana Baginda Rasul datang ke sini seorang diri, menaiki bukit yang begitu tinggi dan curam, hanya semata-mata untuk beruzlah dari masyarakat jahiliyah, sambil beribadah kepada Allah serta mencari ilham. Beruzlah dalam keadaan gelap gelita, sunyi sepi, terpencil dan jauh dari hiruk pikuk hiburan kota dan jauh dari keselesaan duniawi.

Baginda ketika itu sudahpun berumur 40 tahun. Lebih kagum lagi apabila memikirkan bagaimana Siti Khadijah datang secara berkala untuk menghantar bekalan makanan. Mujahadah tidak mengenal usia dan jantina

Nilai Tarbawi
1) Beruzlah mempunyai nilaiannya tersendiri. Beruzlah sehingga mengasingkan diri dari masyarakat dan kehidupan dunia adalah satu bentuk penyimpangan. Uzlah yang dimaksudkan adalah mendidik jiwa ‘memisahkan keterikatan dan kecintaan’ kepada dunia walaupun secara jasadi kita bergaul dengan hal ehwal keduniaan. Itulah Uzlah Syu’uriyyah (pengasingan jiwa).

Al-Syahid Sayyid Qutb berkata:
“Sesungguhnya menjadi satu kemestian supaya wujud satu barisan hadapan yang berazam mencapai cita-cita ini, terus mara di jalan ini, mara terus dalam menghancurkan jahiliyyah yang bermaharajalela di serata pelusuk bumi, mara terus dalam usaha mengasingkan jiwa dari satu sudut di samping mengadakan hubungan (jasadiyah) dengan jahiliyyah di sudut yang lain.”

2) Uzlah yang kita amalkan untuk mendidik jiwa adalah saat dua pertiga malam. Tika gelap gelita dan sunyi sepi, orang lain sedang nyenyak tidur dan berhibur dengan buaian mimpi. Kita berusaha untuk berqiamulail, beribadah, merintih keampunan, memohon petunjuk agar dapat memikul amanah dakwah yang telah diberikan. Suasana seperti itu adakalanya perlu bagi mendidik jiwa. Bertafakkur, mengenangkan dosa-dosa, ‘merancang’ untuk kehidupan akhirat dan menilai semula hubungan kita dengan Allah. Di siang hari kita bercampur dan bergaul dengan masyarakat, hasil dari bekalan uzlah tadi, kita menyeru kepada yang ma’aruf dan menegah yang mungkar. Samada gagal atau berjaya, esoknya kita tetap berusaha untuk bangun semula, masuk ke ‘kamar sunyi’, beruzlah lagi bagi mendapat bekalan kekuatan yang berterusan.

3) Semestinya untuk bangun awal pagi seorang diri adalah satu cabaran yang besar. Inilah hakikat nafsu yang kita sedar, nafsu yang sentiasa mendambakan katil yang empuk serta kehidupan yang selesa. Oleh itu secara berkala kita mengadakan MABIT (Malam Bina Iman dan Taqwa), iaitu qiamulail secara berjemaah. Inilah tarbiyah ISMA yang saya dapat dan fahami. Bukan semata-mata menghadirkan jasad beramai-ramai, bersembang santai sepanjang malam atas alasan ‘merapatkan ukhuwah’. Namun kita meletakkan ‘mindset’ agar MABIT ini menjadi titik tolak kekuatan dan keazaman,

agar kita dapat kekal tsabat dan istiqamah di jalan pengabdian, dan jalan juang walaupun jika ditakdirkan kita terpaksa memikul beban dakwah ini seorang diri. Saat ini kita mendidik ahli, para aktivis dakwah, meninggalkan keluarga, mengasingkan diri dari hiruk pikuk keduniaan agar jiwa ini terdidik menyerah diri kepada Allah dalam satu bentuk hubungan yang langsung, mesra dan intim.

4) Inilah wasail (qiam) yang telah Allah susunkan buat mereka yang ingin mendidik jiwa. 365 hari boleh dilaksanakan. Secara bulanan pula Allah telah mengurniakan rahmat bulan Ramadhan sebagai ‘uzlah bulanan’. Suasana masyarakat yang berlumba-lumba mengerjakan amal kebajikan dapat membina ‘mood’ yang positif untuk sama-sama beramal. Mereka yang ‘menyembah’ Ramadhan akan berbalik kepada sifat asalnya seusai takbir Aidif Fitri. Namun mereka yang menyembah Allah dan ingin mendidik jiwa akan berusaha untuk kekal istiqamah beribadah sehingga ke tahun-tahun seterusnya. Allah juga mensyariatkan ibadah Haji sebagai ‘uzlah sekali seumur hidup’. Semua datang dari penjuru dunia bagi menghimpun bekalan agar saki baki kehidupan dapat diteruskan dengan penuh keimanan dan pengabdian. Semua ‘wasilah’ ini Allah susunkan agar hamba-hambaNya mendidik jiwa, menyerah diri dalam keadaan sujud tersungkur bagi memperoleh TAQWA dan SYURGA (haji mabrur)
———–

Saya tidak masuk ke Gua Hira’. Suasana ketika itu terlalu ramai orang. Jalan bertangga agak sempit dan membahayakan. Yang menyedihkan terdapat juga amalan-amalan khurafat segelintir manusia yang meraba-raba dinding gua, malah ada yang cuba solat di dalam gua.

Cukuplah saya dapat melihat gua kecil itu dan merasai perjalanan uzlah Rasullullah s.a.w. Wahyu sudah terputus, Rasul terakhir sudahpun wafat. Yang saya dapat hanyalah ilham. Menjejak ILHAM, itu lebih tepat, hasil dari perjalanan beruzlah. Agar perjalanan yang jauh ini memberi sumber inspirasi untuk pulang dengan kefahaman yang jelas dan keazaman yang padu. Supaya dapat terus kekal beramal di jalan dakwah ini hanya demi ‘Membina Generasi Harapan’ dan ‘Membangun Umat Beragenda’.

“(Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya). Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya. (Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya; Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadaNya dengan sebulat-bulat tumpuan.” Al- Muzammil 5-8

Dr Muhamad Yazid bin Yahya
Ketua Biro Tarbiyah ISMA UK-Eire
7 September 2017 – Jabal Nur; Gua Hira’

Related Posts with Thumbnails

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Check Also

Ini Negara Perjuangan

“Jika cita-cita perjuangan kita merupakan suatu bangunan, maka kita semua adalah merupakan batu-bata yang disusun …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *