Menteri Israel hina Duta Turki dalam satu pertemuan
Rejim Zionis balas dendam tindakan Erdogan di Forum Ekonomi Dunia
BAITULMAQDIS: Duta Turki ke Israel, Ahmet Celikkol, dihina oleh menteri Israel ketika rejim Zionis itu menyuarakan kemarahannya terhadap sebuah siri televisyen Ankara yang menunjukkan ejen Mossad sebagai penculik bayi.
FOTO menunjukkan Ayalon (kiri) dan pegawai Kementerian Luar Israel dalam pertemuan yang dianggap sebagai menghina duta Turki, Ahmet Celikkol. |
Media negara Yahudi menyokong tindakan membuli duta Turki yang duduk di sofa rendah sedangkan Timbalan Menteri Luar Israel, Danny Ayalon duduk di kerusi tinggi bersama pegawai lain.
Selain itu, Ayalon tidak menemui Celikkol di kementeriannya mengikut protokol biasa sebaliknya di pejabatnya di Parlimen. Malah, menteri Israel itu membiarkan Celikkol menunggu di luar bilik untuk beberapa lama selain mengarahkan kakitangannya membawa keluar bendera Turki serta minuman yang sudah ada di meja.
“Apa yang penting ialah kita nampak beliau (Celikkol) duduk lebih rendah dan hanya ada satu bendera,” kata Ayalon yang dipetik sebagai berkata kepada media tempatan.
Akhbar Israel menyiarkan berita bergambar di muka depan dengan Maariv memberi tajuk ‘Duta kena buli’ dengan foto di atasnya menunjukkan Celikkol dalam keadaan tidak selesa di depan Ayalon.
Oktober lalu, Israel menyuarakan bantahan atas satu lagi siri televisyen Turki menunjukkan tenteranya menembak mati kanak-kanak Palestin.
Kelmarin, Kementerian Luar membantah penyiaran siri televisyen baru berjudul Valley of the Wolves yang menyifatkan ‘Israel dan orang Yahudi sebagai penculik bayi dan penjenayah perang.’ Reaksi penerbit rancangan itu, Pana, menaikkan lagi kemarahan Israel.
“Mengapa pentadbiran Israel yang tidak teragak-agak mengebom kanak-kanak yang berlindung dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) rasa gelisah dengan fakta dalam Valley of the Wolves?”
Maariv menganggap tindakan kerajaan itu sebagai sepatutnya sudah lama dilakukan.
“Tindakan membuli oleh Timbalan Menteri Luar langkah betul tetapi tidak pada masa tepat. Kita patut melakukannya beberapa bulan lalu.”
Turki dianggap sekutu utama Israel sejak 1998 apabila kedua-dua negara itu menandatangani perjanjian kerjasama tentera.
Hubungan kemudian tegang selepas Turki menyuarakan kemarahan atas serangan Israel di Gaza disaksikan di Forum Ekonomi Dunia apabila Presiden Recep Erdogan keluar daripada perbahasan dan memberitahu Presiden Israel, Shimon Peres di sebelahnya ‘kamu memang mahir membunuh orang’.
Turki kemudian mengecualikan Israel daripada latihan tentera bersama dengan menegaskan hubungan akan terus terjejas kecuali Tel Aviv menamatkan tragedi kemanusiaan di Gaza. �AFP





Tweet This
Share on Facebook
Digg This
Save to delicious
Stumble it
RSS Feed






Comments
Powered by Facebook Comments