Multaqa Asatizah ISMA tekad bersama MUIS
Putrajaya, 6 Mac – Bertempat di Dewan Auditorium 1, Kompleks Kejiranan Presinct 16, Multaqa Asatizah membuktikan kesungguhan ISMA untuk membangunkan nilai Islam dalam masyarakat dengan suatu usaha yang tersusun, berobjektif dan berterusan. Multaqa yang julung kali diadakan ini berjaya mengumpulkan seramai 130 asatizah dari seluruh negara. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman.
Tujuan utama multaqa ini diadakan ialah untuk perkongsian pengalaman dan pengisytiharan rasmi Majlis Ulama’ ISMA (MUIS) yang berperanan untuk memastikan perjalanan ISMA menepati kehendak syarak dan menggarap usaha untuk melahirkan masyarakat contoh seperti yang dikehendaki oleh Islam.
Ustaz Abdullah Zaik dalam ucapan perasmiannya menyentuh kepentingan golongan ulama’ di dalam masyarakat yang diibaratkan sebagai obor penyuluh kegelapan. Justeru ketika zaman yang begitu pantas berubah seharusnya ulama’ dan asatizah turut berubah seiring dengan peredaran zaman. Kegagalan ulama’ dan asatizah untuk bergerak seiring dengan zamannya akan menjerumuskan masyarakat kepada kegelapan jahiliyyah.
Beliau juga mengingatkan ahli-ahli ISMA yang hadir tentang keperluan masyarakat kepada golongan ulama’ pada hari ini yang sangat mendesak. Situasi ini memberi peluang untuk ISMA muncul dan memainkan peranan yang lebih besar dalam masyarakat memandangkan ISMA adalah antara NGO yang memiliki paling ramai ustaz dan ustazah. Justeru itu potensi ini perlu diketengahkan dan dibangunkan di dalam pelbagai bidang.
Ustaz Abdullah Zaik seterusnya memuji usaha yang dilakukan ini dan menyatakan bahawa pertemuan ini sebagai penanda aras pencapaian ISMA dalam gerak kerja dakwah Islamiah.
Selain itu sempena pertemuan ini pihak MUIS telah melancarkan laman sesawang MUIS yang boleh dilawati di alamat http://muis.ismaweb.net. Pelancaran laman ini diharapkan dapat menyemarakkan lagi aktiviti-aktiviti MUIS yang telah dirancang selain menjadi medan bertukar pandangan dan maklumat khususnya bersama masyarakat.
Oleh: Mohd Azizuddin Sahiddin
Wartawan/Jurufoto
Media ISMA




























