PELAJAR LUAR NEGARA, JANGAN KITA HANYA JADI MAHASISWA BIASA – BIASA

Polisi menghantar mahasiswa ke luar negara telah lama diamalkan oleh kerajaan Malaysia dan kebelakangan ini turut menjadi trend yang diikuti oleh syarikat-syarikat gergasi dan agensi kerajaan yang lain seperti Maybank, Khazanah Nasional, PNB dan banyak lagi. Dasar ini juga tidak kurangnya mendapat tentangan hebat oleh sesetengah pihak yang memandang langkah ini merupakan satu bentuk pembaziran dan ketirisan wang rakyat.

Dalam apa jua pandangan yang melihat kegagalan dasar ini, kita perlu bersetuju dasar kerajaan ini dalam pada masa yang sama turut melahirkan ramai tokoh yang menyumbang di dalam pembangunan negara dalam sektor koprat, awam dan juga ahli politik. Namun penulisan ini bukanlah bertujuan untuk membuat timbangan baik dan buruk polisi kerajaan kerana perbincangan seumpama ini telah sarat di dalam banyak ruangan perbincangan di peringkat nasional mahupun media sosial.

Pengakhiran tulisan ini ingin mengajak kita semua untuk melihat sejenak helaian kisah lalu untuk dijadikan pengajaran dan nasihat untuk pelajar luar negara.

Perjuangan Pelajar Luar Negara Memerdekakan Negara

Sekiranya kita melihat kepada usaha perjuangan kemerdekaan negara, era Kaum Muda merupakan titik penting kepada usaha kebangkitan Orang Melayu untuk menentang penjajah. Antara tokoh-tokoh Kaum Muda ialah seperti Syeikh Tahir Jalaluddin, Syed Syeikh al-Hadi dan Hj. Abbas Mohd Taha yang mana majoriti mereka adalah lulusan Al-Azhar di Kaherah. Pelajar lulusan universiti ini merupakan pelopor kepada gerakan untuk memberi kesedaran kepada Orang Melayu menentang penjajah asing. Risalah-risalah mereka telah tersebar luas ke semenanjung Tanah Melayu untuk mengejut Orang Melayu ketika itu lena dalam buaian penjajah.

Idea kebangkitan ini bukanlah berbentuk keganasan dan totalitarian tetapi lebih kepada gesaan kepada orang Melayu untuk menguasai ilmu-ilmu fardhu kifayah seperti ilmu sains dan matematik. Syeikh Tahir Jalaluddin sendiri merupakan pakar dalam bidang falak yang menerbitkan karya seperti Natijatul’Umur yang bercerita soal Taqwim Hijrah dan persamaannya dengan kalendar Masihi, hala kiblat, dan waktu solat sepanjang zaman. Ini merupakan contoh yang menarik kerana ilmu sains yang dimiliki beliau dapat digunakan untuk kemaslahatan ummat dengan memudahkan orang Islam beribadat dan banyak lagi contoh-contoh lain.

Konsep kebangkitan yang dibawa oleh kaum Muda ini sebenarnya sangat menarik untuk kita teliti bersama. Idea kebangkitan berdasarkan kepada penguasaan ilmu fardhu kifayah sepatutnya disemat ke dalam jiwa setiap mahasiswa luar negara. Sekiranya kita melihat konsep idea fardhu kifayah yang dibawa, Kaum Muda cuba menyedarkan Orang Malayu akan kepentingan untuk menimba ilmu dan menyalurkan penguasaan ilmu tersebut untuk kebaikan masyarakat.

Cukupkah Sekadar Sijil?

Sekiranya mahasiswa hari ini hanya ingin mendapatkan lulusan ijazah dari universiti terkemuka di luar negara dan kemudian mendapat pekerjaan yang bergaji tinggi tanpa memikirkan kemaslahatan ummat, ini bermakna kita gagal menghayati konsep fardhu kifayah yang cuba dibawa oleh Kaum Muda dan jelas sekali diri kita berada dalam perangkap kapitalis yang mana setiap entiti di dalam sistem itu ‘sellfish’ dan hanya memaksimumkan kepentingan peribadi berbanding kepentingan ummat.

Masyarakat yang terperangkap di dalam agenda kapitalis ini hanya ditakdirkan untuk hidup ‘biasa-biasa’ dan mati ‘biasa-biasa’. Alangkah ruginya kita sebagai orang Islam yang diangkat sebagai khalifah di muka bumi namun pengakhirannya ‘biasa-biasa’. Rugi juga pelaburan yang dilakukan oleh kerajaan terhadap diri kita sekiranya kita hanya ingin menjadi mahasiswa ‘biasa-biasa’.

Mahasiswa yang beragama Islam sangat bertuah kerana kita sering diingatkan akan tokoh-tokoh pemuda yang berkeperibadian tinggi seperti Imam Syafie. Jelas melalui riwayat hidup Imam Syafie beliau menggunakan usia muda untuk menguasai pelbagai bidang ilmu terutamanya Bahasa Arab dan ilmu hadis. Ketokohan Imam Syafie yang ditonjolkan di dalam karya-karyanya menunjukkan beliau sentiasa mengisi ruang waktunya untuk menimba ilmu dan menulis.

Rasulullah merupakan qudwah yang terbaik untuk setiap pemuda dalam aspek pengurusan masa. Rasulullah membahagikan masa beliau agar setiap tanggungjawab sebagai seorang bapa, suami, pemimpin, pendakwah dan rasul dapat dilunaskan dengan baik. Hasil pengurusan masa Rasulullah menjadikan beliau seorang role model yang sempurna untuk setiap lapisan masyarakat dan peranan.

Musuh-musuh Islam

Di dalam dunia hari ini kita perlu sedar bahawa ummat Islam sedang dicengkam dan digasak oleh musuh-musuh Islam. Sekiranya kita meneliti beberapa kisah hidup musuh Islam ini, kita akan mula sedar bahawa mereka juga menggunakan zaman mahasiswa sebagai batu loncatan dalam setiap perjuangan.

Kita ambil Perdana Menteri Israel, Benjamin Nentanyahu sebagai contoh. Beliau dilahirkan di Tel Aviv (Occupied Palestine) dan kemudiannya melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat. Kecemerlangan beliau di dalam akademik telah melayakkannya untuk melanjutkan pelajaran di MIT. Sepanjang di MIT beliau merupakan pejuang Zionist yang mendokong penubuhan Jewish State secara total di bumi palestin (one-state solution). Semasa pengajian di MIT beliau turut terlibat di dalam beberapa siri peperangan seperti Battle of Yom Kippur dan pulang ke Amerika Syarikat selepas peperangan tamat untuk menyambung pengajian di MIT dan kemudiannya di Harvard. Ini merupakan ringkasan pendek usia mudanya yang digunakan untuk menuntut ilmu dan berjuang di medan perang.

Maka tidak hairanlah ummat Islam masih di dalam dilema dan Palestin masih di bawah penguasaan Israel. Solehuddin Al-Ayubi yang kedua tidak akan muncul di era ini sekiranya tiada pemuda Islam yang mampu menandingi kegemilangan usia muda pengganas Zionist ini. Bukanlah niat untuk berbangga dengan pemimpin pengganas ini namun kita perlu belajar dan lakukan perbandingan untuk mengetahui tahap manakah nasib agama dan bangsa ini.

Jadi Apa Peranan Pelajar Luar Negara?

Kesimpulannya, ada dua perkara penting yang perlu dilakukan mahasiswa luar negara hari ini. Yang pertama ialah penghayatan konsep fardhu kifayah yang cuba diketengahkan semasa era pembebasan Tanah Melayu.

Yang kedua ialah masa sebagai seorang mahasiswa perlu di isi dengan agenda perjuangan dan kemaslahatan masyarakat. Sekiranya kita masih mempertahankan perkara-perkara remeh seperti masa untuk bermain Dota dan melancong tanpa mendapat sebarang pengajaran, tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa masa dan wang yang dilaburkan selama ini hanyalah satu bentuk pembaziran. Sama-samalah kita menyumbang dalam apa jua sudut untuk kepentingan ummat Islam di Malaysia khususnya.

Peringatan ini buat mahasiswa luar negara dan dan diri ini yang tidak lekang dengan kesalahan.

Related Posts with Thumbnails

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Check Also

photo6030491859110963118

JUMP 2017 : Puncak Tertinggi Wales Ditawan, Bukti Kesungguhan Ahli

Snowdonia, Wales, 14 April- Jalinan Ukhuwah Musim Panas(JUMP) anjuran ISMA UK-Eire telah berjaya menghimpun ahli …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *