Pilihanraya umum UK: Melihat daripada kaca mata pengundi muslim

Pendahuluan

Tanggal 8 Jun yang lepas, suatu proses demokrasi yang jarang-jarang berlaku telah diadakan di seluruh UK. Perdana Menteri, Theresa May telah memanggil seluruh negara untuk mengadakan pilihanraya umum awal dengan alasan bagi mendapat mandapat yang lebih besar dalam menghadapi proses rundingan rumit dengan Kesatuan Eropah.

Hasil daripada Referendum Brexit yang lepas pada musim panas 2016, rakyat UK telah menyampaikan mesej kepada persada politik untuk keluar daripada Kesatuan Eropah. Pada Mac yang lalu, Theresa May telah meratifikasi Artikel 50 Lisbon Treaty bagi memulakan proses rundingan penceraian UK daripada Kesatuan terbesar di dunia itu.

Pilihanraya 2017 telah menyaksikan parti Konservatif kehilangan majoriti parlimen apabila mereka kehilangan 13 kerusi parlimen menyebabkan mereka hanya meraih 318 kerusi parlimen kurang 8 kerusi untuk meraih majoriti. Dalam pada masa yang sama, lawan mereka Parti Buruh (Labour) menunjukkan keputusan positif dengan menambah 30 kerusi parlimen menjadikan keseluruhan kerusi mereka sekarang kepada 262 berbanding 232 sebelum ini. Antara keputusan lain pula mendapati parti nasionalis Scotland kehilangan hampir separuh kerusi mereka apabila 56 kerusi parlimen yang dimenangi sebelum ini berkurang kepada 35 sahaja. Ketiadaan parti yang memegang majoriti telah menyebabkan parlimen tergantung tanpa sebarang parti yang memegang majoriti iaitu lebih daripada 325 kerusi. Theresa May telah membuat keputusan untuk menubuhkan kerajaan campuran bersama Democratic Unionist Party yang telah memenangi 10 kerusi di Ireland Utara.

Analisis Politik Parti Konservatif – Keyakinan Yang Membunuh

Tempoh setahun dari musim panas 2016 sehingga 2017 telah menyaksikan perubahan drastik dalam landskap arena politik UK. Memetik kata-kata penganalisis politik Parti Buruh, Alastair Campbell ketika ditemu ramah dalam wawancara bersama BBC ketika malam pengumuman keputusan pilihanraya menegaskan wajah politik UK telah berubah secara total walaupun dalam jangka masa singkat antara 2 pilihanraya 2015 dan 2017. Persada politik perdana di sini telah menyaksikan pelbagai kejutan dan tidak lekang dengan isu hangat. Setelah rakyat UK membuat keputusan untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) pada musim panas yang lepas, tampuk kepimpinan negara ini telah berubah daripada David Cameron kepada ‘The Difficult Woman’, Theresa May.

Melihat kepada keangkuhan birokrat Kesatuan Eropah yang enggan bertolak ansur dengan sebarang cadangan UK dalam urusan pergerakan buruh dan perdagangan setelah keluar daripada Kesatuan Eropah nanti, Theresa May telah memanggil supaya pilihanraya umum awal diadakan untuk mendapat mandat politik yang lebih besar dan membuktikan kepada Kesatuan Eropah bahawa majoriti rakyat UK berada di belakang Theresa May dalam proses rundingan ini. Sesetengah penganalisis politik seperti Owen Jones yang juga merupakan aktivis sosialis demokrat berpendapat tindakan Theresa May ini juga didorong bukan sahaja oleh proses rundingan EU yang mencabar malah turut disebabkan oleh kelemahan ketara Parti Buruh yang dihimpit masalah dalaman semenjak Jeremy Corbyn memegang tampuk kepimpinan. Theresa May ingin mengambil kesempatan ini untuk melebarkan majoriti kerusi parlimen Parti Konservatif kepada 3 digit.

Keputusan pilihanraya yang telah diumum jelas menunjukkan pertaruhan May ini sesuatu yang sangat merugikan kerana parti Konservatif telah hilang majoriti kerusi parlimen yang dipegang sebelum ini malah yang lebih teruk lagi, lawan politiknya, Jeremy Corbyn berjaya menambah 30 kerusi parlimen menjadikan kerusi parlimen Parti Buruh sekarang kepada 262 berbanding 232 pada pilihanraya sebelum ini. Akhirnya menyebabkan parlimen tergantung tanpa ada sebarang parti yang meraih majoriti kerusi. Jeremy Corbyn pula sekarang ini dilihat sebagai ‘strong and stable leader’ di mata masyarakat UK walaupun kenyataan tersebut sering diungkap May ketika kempen pilihanraya berdasarkan ulasan komentator BBC, David Dimblebey.

Usai pengumuman keputusan pilihanraya, penganalisis politik menyediakan pelbagai analisis berdasarkan keputusan-keputusan menarik yang telah dicatat ketika pilihanraya umum ini. Yang paling mendapat perhatian ialah kegagalan parti nasionalis Scotland SNP dalam mempertahankan kerusi parlimen di Scotland, kekalahan Nick Clegg, bekas Timbalan Perdana Menteri UK, dan banyak lagi. Namun sangat sedikit analisis yang diulas mengenai perspektif pengundi Muslim di UK walaupun ketika ini merupakan masa yang hangat membincangkan isu-isu umat Islam seperti ISIS, Islamophobia, pergolakan timur tengah dan banyak lagi.

Peranan Pengundi Muslim – Penentu Kerusi Kritikal

Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Global Research for Globalization, jumlah pengundi Muslim yang mengundi dalam pilihanraya umum 2017 ini hampir mencecah angka 3 juta orang. Manakala untuk setiap kawasan parlimen, sekurang-kurangnya 1000 orang Muslim telah mendaftar untuk mengundi. Ini menunjukkan undi muslim di UK memainkan peranan yang besar dalam menentukan keputusan secara keseluruhan. Berdasarkan analisis pilihanraya yang dikeluarkan oleh The Muslim Council of Britain, secara total undi masyarakat muslim akan memberi impak yang besar kepada 16 kerusi parlimen dan 23 kerusi parlimen memberikan impak yang sederhana. 16 kawasan parlimen tersebut meliputi kawasan seperti Ealing Central & Acton, Croydon Central, Brendford & Isleworth, Halifax, Ilford North, Bury North, Dewsbury, Enfield North, Hampstead & Kilburn, Westminster North, Wolverhampton South West, Peterborough, Bedford, Harrow West, Keighley dan Tooting. Kesemua kawasan ini mempunyai margin kemenangan pada pilihanraya umum 2015 kurang daripada 5000 undi dan jumlah pengundi muslim lebih dua kali ganda margin kemenangan tersebut. Malah populasi masyarakat muslim lebih daripada 5% daripada jumlah populasi kawasan-kawasan tersebut.

Kawasan Kemenangan (2015) Kemenangan (2017) Margin +-%
Ealing Central & Acton Labour Labour +16.5%
Croydon Central Conservative Labour +9.7%
Brendford & Isleworth Labour Labour +13.6%
Halifax Labour Labour +12.8%
Ilford North Labour Labour +13.9%
Bury North Conservative Labour +12.5%
Dewsbury Labour Labour +9.2%
Enfield North Labour Labour +14.3%
Hampstead & Kilburn Labour Labour 14.6%
Westminster North Labour Labour +13.1%
Wolverhampton South West Labour Labour +6.1%
Peterborough Conservative Labour +12.5%
Bedford Conservative Labour +6.6%
Harrow West Labour Labour +13.9%
Keighley Conservative Labour +8.4%
Tooting Labour Labour +12.4%

Berdasarkan rajah analisis pilihanraya di atas kesemua 16 kawasan yang mempunyai impak tinggi pengundi muslim telah dimenangi oleh Parti Buruh. Hampir kesemua 16 kawasan tersebut mencatat margin kemenangan lebih 10%. 5 kawasan yang telah dimenangi oleh Parti Konservatif sebelum ini pada 2015 telah beralih tangan kepada Parti Buruh pada tahun 2017 merangkumi kawasan seperti Croydon Central, Keighley, Bury North, Peterborough dan Bedford. Kesemua kawasan ini mempunya jumlah populasi Muslim yang tinggi melebihi 5% berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Muslim Council for Britain (MCB).

Maka keputusan ini sedikit sebanyak memberikan kita petunjuk bahawa kawasan yang mempunyai undi Muslim yang kuat ini memilih Parti Buruh dalam pilihanraya 2017. Tetapi persoalan yang lebih besar adalah mengapa mereka berbuat demikian? Mengapa kawasan seperti Croydon Central dan Peterborough yang sebelum ini memilih Parti Konservatif, kini memilih Parti Buruh?

Suara Pengundi  Muslim – Minoriti yang Dipinggirkan

Analisis untuk menjawab persoalan di atas perlulah dimulakan dengan mengkaji demografi populasi muslim di UK kemudian melakukan perbandingan dengan manifesto kedua-dua parti. Berdasarkan data demografik umur yang dikeluarkan oleh MCB, 33% populasi Muslim di UK adalah berumur 15 tahun ke bawah dan hampir 5% populasi adalah berumur 65 dan ke atas. Sudah tentu tindakan parti Konservatif untuk menghapuskan skim makan tengah hari di sekolah akan memberi impak kepada sebilangan besar keluarga Muslim di UK. Tambahan pula, Parti Buruh di dalam manifestonya ingin meluaskan skim makanan tengah hari ini kepada semua pelajar sekolah tanpa mengira sebarang kriteria kelayakan. Hal ini menyebabkan pengundi Muslim lebih tertarik untuk mengundi Parti Buruh dalam pilihanraya kali ini. Dalam aspek penjagaan sosial (social care) tindakan Theresa May meletakkan had dalam skim penjagaan sosial sudah tentu menimbulkan kemarahan ramai pihak terutamanya komuniti muslim yang turut menghadapi fenomena ‘ageing population’ dan sebahagian besar warga emas dalam Muslim komuniti berada dalam kelas sosial sederhana ataupun rendah. Manifesto Parti Buruh untuk menambah pelaburan terhadap NHS (hospital) juga turut memberikan impak besar kepada pengundi dalam menentukan parti politik mereka. Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh The King’s Fund, NHS di England bakal mengalami defisit menjangkaui £750-£850 million pada tahun 2016/2017 sekiranya tiada tindakan segera daripada kerajaan untuk menghentikan program pemotongan perbelanjaan (austerity). Hal ini juga turut menimbulkan kerisauan dalam kalangan pengundi muslim.

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Runnymede Trust pada tahun 2012 mengenai etnik minoriti di UK, populasi Muslim di UK turut mempunyai kerisauan yang sama dengan majoriti besar penduduk UK yang lain termasuklah isu seperti Brexit. Tindakan Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah yang mengangkat keputusan kerajaan Perancis dalam pengharaman purdah banyak memberikan sentimen negatif masyarakat Muslim terhadap Kesatuan Eropah ditambah pula dengan kerajaan pro-EU seperti Belgium yang baru-baru ini mengharamkan daging sembelihan secara halal di negara itu. Maka tidak hairanlah kawasan majoriti Muslim seperti Birmigham dan Bradford ketika Brexit referendum yang lepas turut mengundi untuk keluar daripada Kesatuan Eropah. Jeremy Corbyn dalam banyak siri wawancara bersama media turut mengecam tindakan Mahkamah Hak Asasi Eropah dan kerajaan Belgium ini yang dikatakan sebagai mendiskriminasi komuniti Muslim.

Dalam banyak keadaan Parti Buruh lebih mesra dengan muslim komuniti berbanding Parti Konservatif. Contohnya bekas Datuk Bandar London, Ken Livingstone yang enggan menarik balik kenyataan pro-Palestinnya yang menyatakan penubuhan negara Israel itu adalah satu kesilapan. Sehingga beliau sendiri telah dikenakan tindakan tatatertib oleh Badan Disiplin Parti Buruh kerana kenyataan beliau ini dikatakan berbaur anti-semitik. Perkara sebeginilah yang akhirnya memberikan naratif positif Parti Buruh kepada komuniti Muslim di UK yang akhirnya menyebabkan kemenangan dalam beberapa kerusi parlimen kritikal.

Komuniti Muslim terutamanya di kawasan London yang meliputi parlimen seperti Croydon Central dan Tooting sudah tentu tidak dapat melupakan kempen kotor Parti Konservatif yang diketuai oleh Zac Goldsmith ketika pilihanraya Datuk Bandar London pada tahun 2016 yang menfitnah Sadiq Khan berkomplot dengan ekstrimis muslim serta menyebarkan pemikiran Islamophobia. Dalam pilihanraya 2017 Zac Goldsmith hanya menang dengan majoriti 45 undi walaupun bertanding di kawasan selesa Parti Konservatif, Richmond Park.

Secara keseluruhannya, komuniti Muslim di UK menitik beratkan isu-isu tempatan dan juga antarabangsa dalam menentukan wakil parlimen mereka. Ahli parlimen di UK perlu memandang undi masyarakat Muslim dengan lebih serius kerana undi mereka sangat penting dalam beberapa kawasan yang kritikal. MCB menggariskan terdapat 38 kawasan kritikal yang mempunyai pengundi Muslim yang ramai. 38 kerusi ini dalam keadaan parlimen yang tergantung sudah cukup untuk menentukan kemenangan parti politik dalam pilihanraya. Kita tidak tahu, mungkin suatu hari ini UK akan mendapat Perdana Menteri muslim yang pertama, mungkin?

Walaupun Muslim merupakan minoriti dalam fabrik sosial masyarakat UK, namun kuasa ketiga ini kelihatan penting sekiranya seluruh umat Islam di UK bersatu atas satu agenda yang sama. Kelihatan agenda seperti pendidikan sekolah, kebebasan pemakaian purdah, dasar luar dunia Islam dan isu Palestin telah membawa masyarakat muslim di sini dalam satu kesepakatan. Pengajaran ini perlu dihayati oleh muslim di seluruh dunia terutamanya di Malaysia.

Unit Dilema Politik Eropah
Biro Kajian ISMA UK-Eire

Related Posts with Thumbnails

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Check Also

Pengiktirafan Baitul Maqdis Sebagai Ibu Negara Israel Bukti Pengkhianatan Amerika Syarikat

Donald Trump hari ini akhirnya membuat satu pengumuman yang mengejutkan jutaan umat Islam apabila secara …