Pengenalan

ismaeropah

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang dahulunya dikenali dengan nama Ikatan Siswazah Muslim Malaysia merupakan satu badan NGO yang bergerak aktif berperanan di tengah-tengah masyarakat untuk mengurangkan gejala-gejala sosial di kalangan remaja mahupun golongan dewasa. Program-program yang dilaksanakan menjurus kepada penghayatan kehidupan beragama dan mengamalkannya di dalam kehidupan seharian. Dengan misi untuk memberi kesan di dalam masyarakat melalui program-program yang dilaksanakan, ISMA akan bersungguh-sunguh dalam mencapai matlamat penubuhannya apatah lagi ISMA mempunyai ahli-ahli yang konsisten di dalam melaksanakan usaha-usaha untuk membawa perubahan di dalam masyarakat.

Sebagai ahli-ahli ISMA diluar negara, ISMA UK-Eire tekad untuk menggalas misi dan visi ISMA dalam melahirkan generasi harapan bangsa dan negara. ISMA ingin menyuarakan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap program-program pembinaan insan yang berpaksikan Islam demi melahirkan generasi yang bukan sahaja  tinggi penguasaan ilmunya, malah terjelma pada generasi ini  budaya kehidupan yang bersih dan sihat. Visi dan misi ISMA UK-Eire digariskan  sedemikian agar generasi hari ini menjadi aset penting ummah dan  menjadi nadi penggerak kepada pembinaan negara yang bertunjangkan kepada Islam dan keadilan sejagat.

Dalam konteks kehidupan hari ini yang didominasi perubahan cara hidup, kaedah pemikiran dan cabaran-cabaran global, generasi muslim hari ini perlu memiliki ciri-ciri keunggulan daripada segi keperibadian, kemahiran, penguasaan ilmu dan juga teknologi. Perubahan dan evolusi kehidupan yang semakin mencabar hari ini memerlukan generasi yang bersedia untuk memikul harapan bangsa dan negara dalam membawa cabaran negara di hari mendatang.

ISMA UK-Eire tampil dengan satu gagasan yang didokongi pemuda-pemudi yang tinggi semangat juang mereka dalam usaha untuk memartabatkan bangsa dan negara di persada dunia dengan berpaksikan Islam. Dengan penuh rasa tawadhu’, ISMA UK-Eire berbesar hati dengan kepercayaan yang diberikan oleh ISMA Malaysia untuk membawa panji ISMA ke bumi UK, Ireland, Czech, Perancis, Jerman dan ke seluruh Eropah.

ISMA UK-Eire juga ingin melahirkan kesediaan untuk berganding bahu bersama dengan pihak kedutaan Malaysia, Education Malaysia – EM (dahulunya dikenali Jabatan Penuntut Malaysia – MSD), pertubuhan-pertubuhan pelajar dan pertubuhan kemasyarakatan di UK, Ireland serta seluruh Eropah dalam usaha untuk merealisasikan misi kita bersama.

Membina Mahasiswa Beragenda.

azizi

Muhammad Azizi bin Mohd Rosli

Pengerusi ISMA UK-Eire

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *