Rasulullah Rahmat Seluruh Alam

Syukur ke hadrat Allah Taala, bagitu banyak nikmat yang telah dikurniakan kepada kita lebih lebih lagi nikmat akidah yang bersih dan benar iaitu Islam. Sesungguhnya nikmat Islam ini merupakan nikmat kurniaan Allah yang paling besar ketika di dunia ini kerana ia menentukan halatuju dan nasib hamba Allah di akhirat kelak. Melalui nikmat Islam ini akhirnya membezakan seorang muslim dan bukan muslim. Perbezaan ini begitu besar kerana penilaian bukan dibuat dengan mata kasar manusia tetapi penilaian dibuat melalui ketakwaan di sisi Allah. Maka perbezaan ini yang menentukan syurga atau neraka sesorang hamba.

Sempena dengan sambutan kelahiran nabi junjungan, Nabi Muhammad SAW, saya ingin mengajak anda semua untuk kembali menghayati setiap ajaran dan Sunnah Rasulullah yang telah lengkap menjadi panduan umat di akhir zaman ini. Seperti yang telah diungkapkan melalui firman Allah:

“Pada hari ini telah Aku sempurnakan agamamu untukmu, dan telah Aku cukupkan nikmatku bagimu, dan telah Aku redhai Islam sebagai agamamu.”

(Surah al-Ma’idah: 3)

Berpegang kepada ajaran Rasulullah ini merupakan kunci kejayaan seseorang mukmin di dunia dan akhirat. Malah segala tindak tanduk dan keputusan yang ingin diputuskan oleh orang yang beriman mestilah berpandukan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah agar keputusan tersebut tidak berlanggar dengan syara’ dan diredhai Allah. Perkara ini jelas di dalam hadis:

“Aku telah meninggalkan pada kamu sekalian dua perkara yang kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang teguh kepada keduaya, yaitu : Kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya”. [HR. Malik]

Kelahiran Nabi Muhammad SAW telah mengeluarkan masyarakat Arab ketika itu yang dibelenggu dengan sistem jahiliyyah. Masyarakat Arab ketika itu yang dipandang rendah oleh tamadun-tamadun besar akhirnya muncul sebagai tamadun yang disegani dan membebaskan bangsa lain daripada sistem jahiliyyah. Kedatangan Rasulullah telah membawa rahmat yang begitu besar kepada bangsa Arab sehinggakan mereka berjaya menewaskan tamadun Parsi dan Rom ketika itu yang sedang menguasai dunia. Bangsa Arab yang dahulunya sibuk berjudi dan minum arak kini disibukkan dengan hala tuju yang jelas untuk menyebarkan agama Allah.

Ajaran Islam berkembang pesat dan mengeluarkan jutaan manusia daripada perangkap jahiliyyah. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa ajaran yang dibawa oleh Rasulullah merupakan rahmat kepada sekian alam. Perkara ini sejajar dengan firman Allah:

“Tiadalah Kami mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi Rahmat bagi sekalian alam.” (al- Anbiya : 107)

Rasulullah sebagai rahmat sekian alam atau Rahmatan Lil Alamin ini merupakan kefahaman akidah bahawa kedatangan Rasulullah telah membawa khabar gembira, ajaran yang benar serta solusi kepada permasalahan umat. Mana-mana individu yang mempunyai tanggapan sebaliknya sudah tentu mempunyai permasalahan besar dalam kefahaman akidah. Sebagai seorang muslim, kefahaman Rahmatan Lil Alamin ini perlu menjangkaui rahmat yang dibawa oleh Rasulullah di dunia yang sementara bahkan perlu kita insafi bahawa Rasulullah juga merupakan pembawa syafaat yang besar di akhirat kelak, nabi akhir zaman yang menjadi kekasih Allah Taala. Maka kefahaman ini seharusnya menjadi tunjang kepada konsep Rahmatan Lil Alamin yang dibawa Rasulullah.

Maka sebarang konsep pemakaian istilah Rahmatan Lil Alamin perlulah bersangkut paut dengan ajaran Rasulullah, wahyu yang diturunkan melalui al-Quran serta asas pemikiran Islam yang dibawa oleh Rasulullah tanpa dicampur aduk dengan kefahaman songsang lain seperti liberal, pluralisme, sekularisme dan feminisme aliran barat. Lebih menyedihkan kita hari ini apabila wujud segelintir golongan yang mengakui diri mereka muslim tetapi mempromosikan hak ateisme, hak berpesta arak, hak hubungan sejenis, hak untuk melakukan dosa dengan menggunakan konsep Rahmatan Lil Alamin sebagai alasan untuk membenarkan perjuangan-perjuangan songsang tersebut.

Perkara ini ternyata bercanggah dengan konsep Rahmatan Lil Alamin yang sebenar malah sebenarnya bercanggah dengan ajaran Rasulullah. Rasulullah mengajar kita semua untuk berpegang dengan akidah Islam yang sebenar dan melakukan amar ma’ruf nahi mungkar sesama muslim dan bukan muslim. Cubaan kita untuk berlemah lembut dengan melonggarkan perundangan Islam sedia ada semata-mata untuk menyantuni golongan kecil minoriti ini akhirnya akan menjerat kita semua. Seharusnya, konsep Rahmatan Lil Alamin ini perlulah berfokus kepada mengangkat syariat Islam yang akhirnya mampu mewujudkan persekitaran masyarakat yang sejahtera. Justeru, halangan untuk menegakkan syariat Islam seperti baru-baru ini menghalang pekerja muslim untuk memakai tudung adalah bertentangan dengan nilai rahmah yang dibawa oleh Islam dan seluruh umat Islam perlu bersatu menentang perkara ini.

Dengan ini kami seluruh warga ISMA Eropah menyeru agar semua umat Islam khususnya pelajar luar negara untuk kembali menghayati dan menginsafi akan perjuangan dakwah yang berliku ditempuh oleh nabi yang kita cintai, Nabi Muhammad SAW dan para sahabat. Keberadaan kita diluar negara sepatutnya menjadi duta kecil umat Islam di Malaysia dan menyumbang idea kepada permasalahan komuniti Islam setempat. Janganlah kehadiran kita akhirnya menambah garam di luka yang sudah berdarah.

Akhir kata, sama-samalah kita menghayati firman Allah:

“Orang-orang yang mengikut Rasul, Nabi yang ummi yang (namanya) mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka, yang menyuruh mereka mengerjakan yang ma’ruf dan melarang mereka dari mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang (Al-Qur’an) yang diturunkan kepadanya, mereka itulah orang-orang yang beruntung.” [Al-A’raf : 157]

 

Dr. Muhammad Azizi Bin Rosli

Pengerusi Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) UK-Eire

Related Posts with Thumbnails

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Check Also

Pengiktirafan Baitul Maqdis Sebagai Ibu Negara Israel Bukti Pengkhianatan Amerika Syarikat

Donald Trump hari ini akhirnya membuat satu pengumuman yang mengejutkan jutaan umat Islam apabila secara …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *