Salam Perantauan Anak Merdeka

Alhamdulillah, sama-sama kita zahirkan rasa syukur atas segala kurniaan Allah SWT dalam memberikan kita petunjuk dan hidayah agar masih teguh berada diatas jalan Agama ini. Sambutan Hari Raya Korban 1438H yang diraikan pada tahun ini pada saya memberi makna yang lebih besar bila tarikhnya juga diraikan oleh seluruh rakyat Malaysia bersempena Sambutan Kemerdekaan yang ke-60 pada tahun 2017 ini.

Pada saya, amatlah penting supaya kita sebagai rakyat Malaysia khususnya yang bergama Islam untuk melihat kedua tarikh ini dari sudut yang lebih besar yakni melebihi laungan kemerdekaan ataupun alunan takbir raya semata-mata.

Kemerdekaan negara Malaysia yang saban kali diraikan pada setiap tahun pasti akan membuatkan kita terkenangkan pengorbanan pejuang tanah air yang telah mengorbankan segala perkara hatta diri mereka sendiri untuk membebaskan Tanah Melayu ini daripada ancaman dan jajahan pelbagai pihak. Begitu juga sebagai umat Islam, sememangnya kita perlu mengenangkan juga pengorbanan Nabi Ibrahim dalam melaksanakan perintah Allah dalam mengabdikan diri kepadaNya semata walaupun “terpaksa mengorbankan” anak kesayangannya yaitu Nabi Ismail.

Daripada dua perbandingan ini sahaja, kita sudah boleh mengambil pengajaran bahawa pengorbanan itu adalah sesuatu yang wajib dilaksanakan untuk mencapai sesuatu perkara sama ada keinginan kita ataupun atas kewajipan sebagai hamba Allah SWT. Atas kesungguhan pengorbanan itu jugak, Allah pasti membalasnya dengan sesuatu yang besar hikmahnya.

Ringkasnya, perjuangan dan pengorbanan Nabi Ibrahim suatu ketika dahulu telah sampai kepada kita hari ini yakni dalam merasai nikmat Iman dan Islam, juga seperti mana perjuangan memerdekakan negara menyebabkan kita menerima hasilnya. Justeru, bagaimanakah pula persiapan kita untuk generasi yang akan datang?

Jika dilihat suasana hari ini, telah banyak usaha yang dilaksanakan untuk menjatuhkan segala nilai kemerdekaan dan martabat Islam di Malaysia. Tanpa berselindung, pihak yang bertanggungjawab ini semakin kehadapan merancang dan menggerakkan strategi mengubah institusi perlembagaan negara, meleburkan nilai sosial dan menghakis sedikit demi sedikit kedudukan kita di Tanah Melayu ini. Media massa pada hari ini juga telah menunjukkan betapa negarak lain sudah merasai akibatnya daripada membiarkan ancaman ini berlarutan daripada sesuatu yang kecil hingga menghancurkan dan menyebabkan nilai kemerdekaan mereka menjadi sia-sia sahaja.

Adakah kita hendak terus berdiam diri dan membiarkan keadaan ini berterusan kepada generasi seterusnya? Saya yakin bahawa akan sentiasa ada dalam kalangan kita yang mungkin menidakkan situasi seperti diatas dan sebahagian yang lain telah pun sedar lalu berusaha menghalangnya. Bagi yang telah sedar, ketahuilah usaha ini sangat memerlukan pengorbanan yang besar dari segi masa, tenaga, wang bahkan jiwa kita sepenuhnya.

Walau bagaimanapun, pastikan pengorbanan kita memartabatkan Agama dan Negara itu selari dengan tuntutan Al Quran dan Sunnah, agar setiap daripada usaha itu memperoleh redha Allah SWT. Hanya dengan cara ini sahaja, biarpun kelihatan “lambat” dan tidak menarik perhatian ramai pihak, yakinlah bahawa sesiapa yang mampu bersama dalam usaha ini, ketahuilah bahawa kita bakal tergolong dalam pewaris para Nabi serta tokoh-tokoh pejuang Agama dan Negara yang terdahulu.

Saiful Karim, Cardiff, United Kingdom

Related Posts with Thumbnails

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Check Also

Kajian Perubatan Pelajar Malaysia di United Kingdom Terima Pengiktirafan Royal College of Physicians

Cardiff, 17 Nov- Nama Malaysia sekali lagi hari ini harum di bumi United Kingdom apabila …