Selamat menjalani ibadah Ramadhan
Semasa kecil-kecil dahulu, bila masuk bulan Ramadan, terasa ia adalah bulan dugaan lapar dahaga, tetapi ia mesti dilalui kerana selepasnya ada Hari Raya yang menyeronokkan. Kini bila dewasa dan memikul bebanan Dakwah yang berkat ini, bulan Ramadan adalah bulan yang mesti dilalui kerana tanpanya, Dakwah ini tidak mungkin boleh bertahan menghadapi kesukaran dan dugaan disepanjang jalannya, apatah lagi untuk meraih kemenangan yang besar harganya. Kisah Nabi saw dihujani batu lalu berdarah di Taif, hijrah Muslimin dari Mekah ke Madinah meninggalkan harta benda dan sanak saudara dan jihad peperangan silih berganti tidak lain melainkan untuk memahamkan para Duat akan hakikat ini.
Ramadan mengajar erti berkorban kesenangan dan keseronokan makan minum dan nafsu syahwat. Tidak ada Dakwah yang tiada pengorbanan didalamnya. Mereka yang memahami tabiat jalan Dakwah ini akan tahu bahawa Islam tidak rela pengorbanan dari pejuangnya lebih kecil dari jiwa dan darah. Mereka yang sukar memahami hakikat ini dari ayat-ayat Al-Quran dan nas-nas Al-Hadith, boleh cuba memahaminya dari petunjuk Seerah Nabawiyah yang terang dan nyata.
Ikhlas adalah pra-syarat kejayaan melalui Jalan Dakwah dan mencapai kemenangan dipenghujungnya. Puasa mengajar erti keikhlasan tersebut. Berlapar dan menahan diri dari nafsu adalah ibadat yang tidak boleh dilihat oleh orang lain, maupun untuk diperlihatkan oleh orang lain. Oleh itu seseorang yang berpuas aitu berlapar kerana Allah swt semata-mata. Maksud Hadith, ” … kerana puasa itu adalah untuk Aku, dan Aku (sendiri) akan membalasnya”. Kekalahan dalam perjuangan ini, bukan kerana sedikitnya bilangan dan kelengkapan, akan tetapi kerana dunia yang berjaya menjangkiti hati. “Sesungguhnya Allah telah mengkotakan janjiNya kepada kamu. Apabila kamu mengalahkan mereka dengan izinNya. (Tapi) bila kamu rosak, membantah-bantah dan melanggar arahan, setelah Allah memperlihatkan kepada kamu apa yang kamu suka (harta). Sebahagian kamu hendak dunia, dan sebahagian kamu hendak Akhirat. Kemudian Allah memalingkan kamu dari mereka untuk Allah menguji kamu …” (Al-Quran). Ya, benarlah Allah Yang Perkasa. Perjuangan ini kalah kerana hati-hati pejuangnya mula dibarahi dunia. “Takutlah kamu kepada dunia. Takutlah kamu kepada wanita” (Al-Hadith). Kemelesetan prestasi bahkan penyelewengan yang berlaku pada banyak badan dakwah dan para duat di Malaysia menjelaskan lagi hakikat ini.
Allah swt menjadikan Ramadan dan Al-Quran seperti dua muka pada satu duit siling. Didalam bulan berkat ini Al-Quran diturunkan pada malam Lailatul Qadar. Sepanjang perjuangan Baginda di tiap bulan Ramadan, Rasulullah saw mengulangkaji Al-Quran baginda di depan Jibril yang dinamakan “Tadarus”. Disamping puasa, ALlah swt mengkembarkan Ramadan dan Al-Quran dengan begitu jelas sekali didalam ayat bermaksud, “Bulan Ramadan yang diturunkan Al-Quran didalamnya, sebagai petunjuk kepada manusia, sebagai penjelas dari petunjuk dan pembeda (antara Hak dan Batil)” (Surah Al-Baqarah).
Ramadan adalah juga bulan Solat. Babda Nabi saw bermaksud, “Siapa yang mendirikan solat dibulan Ramadan, dengan penuh Iman dan mengharap (ganjaran Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu” (Al-Hadith). Didalamnya disyariatkan Solat Tarawih. Dibulan Ramadan juga dimudahkan Solat Tahajjud dan Solat Subuh berjemaah di masjid kerana kebanyakan umat Islam bangun awal sebelum azan Subuh, berbanding didalam bulan-bulan yang lain. Oleh itu didalam bulan ini juga umat Islam tidur awal dan boleh mengelakkan diri dari membuang masa dimalam hari didepan televisyen, berpeleseran dan sebagainya.
Ramadan adalah bulan sedeqah, seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Hinggakan orang yang sangat bakhil bersedekah sunat, terpaksa mengeluarkan hartanya untuk Sedekah Fitrah yang wajib keatas dirinya bagi setiap orang dibawah tanggungannya. Sesiapa yang memberi buka puasa kepada orang yang berpuasa, baginya pahala (tambahan) sebanyak pahala orang yang berpuasa itu, tanpa mengurangkan pahala orang yang berpuasa tersebut. Hanya dengan sepotong hadis ini, budaya memberi makan, tolong menolong dan kasih sayang boleh mewarnai masyarakat jika diamalkan dengan melata. Dakwah ini tidak mungkin berjaya tanpa pengorbanan harta dari anggota-anggotanya. “Sesungguhnya Allah membeli harta dan diri dari orang-orang beriman, dengan bayaran Syurga untuk mereka” (Surah At-Taubah).
Kesemua ibadat diatas, bersama-sama ibadat lain terutama Perjuangan Islam itu sendiri akan dilipatgandakan pahalanya sebanyak 70 kali sekiranya ia ibadat fardhu, dan disamakan pahalanya seperti ibadat fardhu sekiranya ia ibadat sunat. Mereka yang berjaya beribadah puasa dan solat dibulan Ramadan juga akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. Oleh itu tidak syak lagi bahawa Ramadan menyuci seseorang hamba Allah itu dari dosa-dosanya. Pahala yang berlipat ganda dan keampunan dosa membawa seseorang kedarjat Taqwa yang tinggi. Taqwa membawa kepada Kemenangan. “Sekiranya kamu bersabar dan bertaqwa, strategi mereka tidak akan memudharatkan kamu sedikit pun” (Al-Quran). “Aqibah (kesudahan dan kemenangan) adalah bagi orang-orang yang bertaqwa” (Al-Quran).

“Hamper Ramadan” yang menghiasi rumah saya sepanjang Ramadan setiap tahun. Ia hanya dibuka selepas Solat Raya Aidil Fitri. Anak yang johan adalah yang pertama memilih apa sahaja yang dia sukai, diikuti anak naib johan dan seterusnya. Pemenang adalah yang mendapat markah tertinggi. Markah tertinggi dikumpulkan setiap hari & malam sepanjang Ramadan berdasarkan prestasi puasa, solat tarawih dan tilawah Al-Quran.
Dari nas-nas diatas, sepertimana seronoknya Hari Raya pada kanak-kanak dan remaja setelah menjalani ibadah puasa, begitu juga seronoknya Perjuangan ini setelah melalui madrasah Ramadan samada didalam bulan ini sendiri, maupun dalam bulan-bulan yang lain sepanjang tahun.
Semoga Allah swt mengurniakan kepada kita kesemua yang menyampaikan kita kepada taqwa, keredhaan dan syurgaNya dalam bulan berkat ini. Ameen.
SELAMAT IBADAH RAMADAN
Ustaz Halim www.inijalanku.wordpress.com






Tweet This
Share on Facebook
Digg This
Save to delicious
Stumble it
RSS Feed






Comments
Powered by Facebook Comments