Surat kepada Pemuda Islam Negaraku


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum
Ini merupakan sewarkah surat yang diriku tulis dengan seikhlas hati, ditujukan kepada para pemuda-pemudi Islam yang berada di tanah air tercinta. Diri ini terpanggil untuk menukilkan surat ini dengan harapan supaya aku dapat meluahkan segala isi hati yang terpendam dalam diriku ini kepada para pemuda dan pemudi yang sebaya ataupun dalam lingkungan umur muda.

Ini kerana aku percaya bahawa kita mempunyai potensi yang sangat hebat dalam mengubah suasan semasa serta menanggung tanggungjawab yang berat dalam menentukan hala tuju masa depan diri, negara, dan juga dunia. Aku berharap dirimu dapat membaca warkah ini hingga ke akhir noktah agar dapat memahami mengapakah aku mengatakan begini, serta harapan yang aku ingin sampaikan untuk kebaikan engkau dan diriku.

Kita Manusia Bertuah
Saudara saudari yang aku kasihi

Sesungguhnya kita merupakan antara manusia yang sangat bertuah di atas dunia ini. Tanpa kita sedar harga keamanan, kesenangan dan kebebasan yang kita hirup di tanah air kita pada hakikatnya adalah sesuatu yang sangat mahal harganya. Aku yakin jika kita cuba menjual keadaan kita ini walaupun dengan harga sejuta dollar Amerika, ramai akan berebut-rebut membayarnya semata-mata untuk berada di tempat kita.

Ini kerana kita berada di dalam sebuah negara yang sangat makmur dan sentosa, bebas daripada ancaman letupan bom atau peluru berpandu, mempunyai keperluan asas yang secukupnya serta merupakan sebuah negara yang merdeka daripada jajahan atau diperkotak-katikkan oleh kuasa asing. Malah, mempunyai pelbagai bangsa di dalam sebuah negara tetapi aman daripada peperangan saudara merupakan ciri negara ini yang tersangat istimewa dan diceremburui oleh ramai pihak.

Ketika kita sering mengeluh dengan keadaan politik kita yang agak kotor, kita terlupa untuk memandang ke kanan dan kiri, atas dan bawah tempat kita dan tidak menyedari keistimewaan yang kita ada di dalam tangan kita. Kita tidak sedar tentang pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di Kemboja pada zaman Khmer Rouge sehingga mengorbankan sehingga 100 00 ribu nyawa, atau peperangan yang berlaku di Acheh, selatan Thailand, Filipina dan di pulau-pulau kecil di Indonesia, ataupun jurang perbezaan orang kaya dan miskin yang sangat luas di Indonesia dan Thailand, pemerintahan tentera di Myanmar, malahan politik yang lebih ketat dan kotor di Singapura.

Jika di tempat kita letupan bunga api dan mercun merupakan sesuatu yang cantik dan menggembirakan, namun letupan dan cahaya seperti itulah yang menyebabkan jiwa-jiwa di Palestine atau Iraq menangis kesedihan akibat kehilangan orang yang tersayang. Ketika diri kita bebas bergerak ke merata tempat di dalam negara, rakyat Mesir terpaksa melalui mesin pengimbas dan pemeriksaan yang ketat hanya untuk memasuki pusat beli-belah mereka.

Bukanlah diriku bermaksud hendak bergembira atas kesusahan mereka yang tidak menimpa diri kita, tapi aku ingin mengajak kita berfikir dan sedar bahawa kita sebenarnya adalah golongan yang sangat-sangat bertuah kerana menjadi rakyat Malaysia. Keistimewaan ini ditambah lagi dengan hakikat bahawa agama Islam yang sebenar-benar dapat berkembang dengan mudah di negara kita, sedangkah di kebanyakan negara-negara lain, ramai pendakwah mereka yang ditekan atau dibunuh oleh pemerintah di tempat mereka.

Seorang penceramah di negara kita boleh mengkafirkan kerajaan di dalam cerama terbuka tanpa diapa-apakan, sedangkan aku percaya jika kita berada di negara lain, ustaz tersebut sudah lama ‘hilang’ bersama-sama ahli keluarganya. Yang terkini, terdapat ramai sheikh atau ulama’ yang ‘lenyap’ di Bangladesh akibat kekejaman pemerintah sekular mereka yang baru. Semoga Allah membalas kezaliman mereka.

Kelalaian dan Kelesuan
Pemuda-pemudi negaraku

Alangkah malangnya apabila nikmat yang kita semua nikmati telah menyebabkan diri kita menjadi leka dan lalai. Hatiku sering terguris kesedihan dan kecewa apabila dada-dada akhbar memaparkan tentang keadaan masyarakat kita yang semakin hari semakin parah. Bilangan bayi luar nikah yang dibuang tanpa belas kasihan telah mencapai di tahap yang membahayakan. Samseng, arak, zina, judi, dadah dan yang paling bahaya, murtad, semakin hari semakin merebak di dalam negara kita.

Lelaki dan perempuan berpelukan dan bercumbuan di tempat awam tanpa rasa malu, orang muda yang melepak di tepi-tepi jalan tanpa arah tuju, pergaulan yang bebas antara lelaki dan wanita bukan mahram, pemuda Islam meminum arak di pub-pub, meninggalkan solat tanpa rasa bersalah serta banyak lagi kehancuran akhlak kini kian berkembang.

Bukanlah niatku menulis surat ini untuk membenci mereka yang melakukan perkara-perkara tersebut. Malahan, aku sedar sering kali mereka terjebak ke dalam perkara tersebut terdapat sebab yang munasabah, seperti mempunyai ibu bapa yang tidak bertanggungjawab, ataupun kurangnya didikan agama yang sebenar.

Namun, tidak bermakna itu semua boleh dijadikan alasan kepada-Nya ketika di hari pembalasan kelak jika telah sampai peringatan kepada diri kita. Sebaliknya, aku di sini ingin memberi amaran kepada semua akibat daripada perlakuan-perlakuan tersebut kepada diri, saudara-mara, rakan-rakan, anak cucu dan negara kita terutamanya.

Jika kamu mengatakan bahawa perbuatan-perbuatan tersebut tidak mengganggu ketenteraman awam dan merupakan hak kebebasan masing-masing, sebenarnya kamu berada di dalam kesilapan yang besar. Hiburan-hiburan yang melampau tersebut secara perlahan-lahan akan menjadi sebuah barah yang semakin lama semakin membesar di dalam masyarakat kita. Jika barah itu tidak dirawat dari kecil, kelak ia akan menghancurkan negara kita. Bagaimana, kamu bertanya?

Sebuah masyarakat yang semakin mabuk dengan hiburan akan melahirkan sebuah masyarakat yang lesu, tidak bersatu-padu dan lemah. Ini secara tidak langsung akan menyebabkan negara kita terdedah dengan ancaman dan tipu daya. Di dalam kelekaan itu, kita akan mudah ditipu, dibonekakan, dihina dan tidak mustahil dijajah oleh kuasa luar.

Sejarah telah membuktikan berkali-kali betapa sebuah masyarakat yang leka senang dihancurkan oleh masyarakat luar dengan sekelip mata, seperti kerajaan Abasiah di Baghdad, kerajaan Melayu Melaka, Uthmaniah dan pelbagai lagi. Malahan, negara Bosnia yang hanya pada 20 tahun lepas pernah dicabuli kehormatan negara mereka apabila rakyat mereka dibunuh dan diperkosan tanpa belas kasihan oleh tentera Serbia, dikatakan adalah kerana pemuda-pemudi mereka sangat lalai dan lesu dengan hiburan.

Rakyat Amerika juga tidak terkecuali dengan perangkap ini. Oleh kerana terlampau leka, tanpa mereka sedar tentera mereka telah dipergunakan sebagai bidak atau biji catur yang dipertaruhkan nyawa dan harga diri semata-mata untuk kepentingan nafsu pemerintah mereka. Lebih daripada lima puluh peratus (50%) hasil negara mereka telah disalurkan semata-mata untuk membangunkan sebuah negara kecil, Israel. Pemikiran mereka telah dikawal sehingga hari ini rakyat biasa Amerika terkenal dengan kebodohan mereka.

Bukanlah diriku hendak menghina, namun hakikatnya adalah begitu. Dikatakan lebih daripada 40% (atau lebih) rakyatnya tidak tahu bahawa ibu negara mereka sendiri adalah Washington, White House. Hari ini, mereka terpaksa membayar harga kejahilan tersebut apabila negara meraka berada di ambang kemuflisan.

Adakah kita juga mahu menjadi seperti itu? Ataupun hendak menunggu sehingga musuh berada di depan pagar baru hendak bersiap-sedia? Nauzubillah min zalik (kami berlindung dengan Allah daripada perkara tersebut).

Seruan Perubahan
Muslimin dan muslimah sekalian

Atas faktor-faktor di atas aku telah membuat keputusan untuk menulis surat, dan mengajak supaya kita sama-sama mengubah diri ini sebelum kita ‘diubah tanpa rela’ oleh tangan-tangan luar. Sesungguhnya perubahan yang aku seru ini bukanlah untuk kebaikan diri kita semata-mata, tetapi pada hakikatnya adalah untuk kebaikan ahli keluarga, sahabat andai dan juga anak cucu selepas kita.

Adakah kita ingin mewariskan kepada generasi selepas kita sebuah negara yang lemah dan lesu serta dalam keadaan kehormatan dan keselamatan mereka yang terancam? Sampai bila kita ingin menuding jari menyalahkan orang lain ketika kedaulatan negara kita dihina sedangkan kita hanya berhibur dan bergembira, sedangkan pada hakikatnya tanggungjawab membina negara ini terletak di atas bahu kita masing-masing.

Maka di sini aku ingin menyeru kepada semua anak muda umat Islam negaraku, marilah kita sama-sama berubah. Marilah kita berubah bukan kerana diri kita, tetapi demi mereka yang kita kasihi. Mari kita berhijrah supaya kita dapat membina sebuah negara yang kuat dan disegani di peringkat antarabangsa. Kita sedang berada di persimpangan yang sangat penting, sama ada menyambung warisan perjuangan generasi terdahulu ataupun mensia-siakan segala titik peluh mereka yang telah menyediakan negara ini untuk kita duduki dengan aman kini.

Sedarlah bahawa setiap dari kita mempunyai peranan yang sangat penting, sama ada kita seorang askar, polis, posman, cashier, promoter, tukang cuci tandas, pelajar di pengajian tinggi, masing-masing perlu memainkan peranan mereka supaya negara yang hebat dapat dibina. Bangunlah dari mimpi, sedarlah dari lena dan khayalan yang menjadi dinding penghalang kejayaan kita. Kehebatan telah berada di dalam lingkungan kapasiti kita, hanya jika kita terus berusaha.

Kunci Kekuatan
Wahai umat Islam bangsaku

Sesungguhnya kunci untuk kekuatan ialah BERSATU-PADU. Maka dengan ini aku mengajak, marilah kita membina kekuatan dengan saling bantu-membantu dan bekerjasama. Buanglah segala perasaan hasad dengki dan saling membenci sesama kita, maafkan segala kesilapan orang lain dan ingatlah segala jasa yang mereka pernah lakukan. Pujuklah hati kita untuk mengatakan bahawa orang yang melakukan kesilapan itu jahil atau tidak sengaja. Paling utama, marilah kita sama-sama kembali kepada ISLAM.

Aku percaya dengan kembalinya kita kepada agama Islam, segala permasalahan di atas dunia ini diselesaikan. Adakah kamu menyangka Islam diserang di pelusuk dunia adalah kerana kesilapan semata-mata? TIDAK. Mereka menyerang Islam kerana mereka gementar satu hari nanti kita akan BANGKIT SEMULA. Mereka mereka-reka dan memburukan agama Islam kerana mereka bimbang manusia akan temui kebenaran di dalam agama ini. Mereka bertujuan supaya manusia takut untuk mendekati agama ini serta melemahkan semangat umat Islam ‘mewarisi’ agama ini.

Cukuplah dengan mewarisinya, marilah kita ‘memeluknya’ dengan sebenar-benar ajaran islam. Aku berani bersumpah, jika kamu semua kembali kepadanya, hidup kamu PASTI akan tenang.

Kembalilah kepada agama dengan benar-benar mengenali siapakah ALLAH. Bukan hanya tahu pada nama, tetapi kenal dan yakin pada kekuatan dan kemampuan Yang Mencipta diri kita ini. Kemudian, kenallah juga siapakah nabi kita Muhammad sallallahu alaihi wassalam (SAW). Dalamilah sirah perjuangan yang telah baginda lalui untuk membawa sinar kepada kita, serta untuk menjadi panduan dalam kita menjalani kehidupan seharian kita.

Ketika kita sering terpinga-pinga kepeningan tidak tahu bagaimana hendak bersosial dan bergaul dengan orang lain, sebenarnya kehidupan baginda itulah ‘guideline’ yang terbaik untuk kita contohi. Dengan ini, seorang individu berperibadi mulia akan dibentuk, melahirkan sebuah keluarga yang bahagia, masyarakat yang harmoni, dan akhirnya sebuah negara yang kukuh. Di samping itu, ajakan ku ini juga adalah kerana supaya diri kita tidak diperguna dan ditipu oleh mereka yang menggunakan agama untuk kepentingan sendiri.

Agama Islam ini adalah pada dua sumber, iaitu Al-Quran dan As-sunah (hadiths), maka rujuklah keduanya, dan carilah ilmu ini dari pelbagai sumber guru untuk kita menganalisis dan membandingkan sama ada serupa atau bercanggah. Kenalilah di bahagian mana dibenarkan bercanggah, yang mana tidak. Sesungguhnya, agama Islam ini indah dan benar, maka carilah ia sehingga kamu dapat mengetahui yang mana agama, yang mana budaya. Kemudian, sebarkan agama yang benar ini kepada orang lain dan mereka yang masih mencari hakikat kehidupan.

Impian
Saudara-saudari yang aku cintai
Cukuplah terluah segala apa yang aku rasakan. Aku tidak pasti sama ada surat ini akan dibaca oleh seluruh pemuda-pemudi Islam di negaraku, dan tidaklah aku mengatakan suratku ini dapat menyakinkan dan mengubah keadaan semasa negaraku dalam sekelip mata, namun aku hanya berharap tulisanku ini boleh memberi sedikit sebanyak kesedaran kepada orang muda negaraku.

Impianku hanya hendak melihat negaraku bangkit menjadi sebuah kuasa yang kuat dan disegani ramai, menjadi contoh terbaik di mata dunia, dan akhirnya secara langsung atau tidak langsung akan dapat membantu umat Islam yang sentiasa ditindas di seluruh dunia. Ubahlah diri kita untuk mereka yang berada di Palestine, Chechnya, China, India, China, Afrika ataupun Amerika, kerana sedang saudara-mara seagama kita di sana sering dizalimi, kita di sini mempunyai peluang yang besar untuk mengubah semua itu.

Di akhir kata ini, sekali lagi aku ingin mengajak, marilah kita semua menjadi yang terbaik di dalam hidup kita. Yang terbaik dalam akhlak, peribadi, ilmu, pekerjaan dan pelbagai lagi. Semoga kita dapat membina sebuah negara Islam yang hebat. Ingatlah bahawa dunia ini adalah sementara semata-mata, akhirat jualah tempat yang kekal abadi.

Yang membezakan diri kita dan haiwan ialah kita dihidupkan untuk memberi kebaikan kepada orang lain (khalifah dan hamba) sedangkan haiwan hidup sekadar untuk makan, minum, tidur dan mati. Maka janganlah kita menjadikan kehidupan kita tidak ubah seperti haiwan, ataupun lebih teruk dari mereka.

Sekian, aku ingin memohon ampun dan maaf jika terdapat salah silap atau menyinggung perasaan di dalam kalamku ini. Semoga Allah merahmati negara kita dan melindungnya daripada malapetaka, bencana, peperangan atau pergaduhan besar. Sesungguhnya yang terbaik antara kita bukanlah pada wajah kecantikan, kepandaian, pangkat atau kekayaan, tetapi yang terbaik antara kita ialah mereka yang paling bertaqwa. Maka semoga diri kita berusaha sedaya-upaya untuk menjadi insan yang bertaqwa.

Akhir kalam, assalamualaikum dan terima kasih.

Muhammad Haris Hamzah
University of Sheffield
Media ISMA Sheffield
Blog: A Drop of The Ocean Water

Related Posts with Thumbnails
http://www.ismaeropah.com/wp-content/plugins/sociofluid/images/google_48.png http://www.ismaeropah.com/wp-content/plugins/sociofluid/images/myspace_48.png http://www.ismaeropah.com/wp-content/plugins/sociofluid/images/facebook_48.png http://www.ismaeropah.com/wp-content/plugins/sociofluid/images/twitter_48.png

Comments

Powered by Facebook Comments

Leave a Comment