Tambatan Ukhuwwah Antara Akhwat di Bumi Germany


Bumi Germany menjadi tapak pengukuh ukhwah bagi akhawat dari pelbagai universiti di United Kingdom bersama akhawat yang sedang menuntut ilmu di Germany sendiri. Jaulah yang mengambil masa 6 hari 5 malam ini memberi peluang yang sangat berharga kepada kami untuk mengenali sejarah, budaya dan teknologi masyarakat German melalui lawatan ke kawasan-kawasan pelancongan terkenal. Bagi keseluruhan perjalanan jaulah ini, penghargaan yang tidak terhingga kami hulurkan buat ukhti Mima dari Munich yang bukan sahaja sanggup menyediakan tempat tinggal untuk kami, malah turut mengetuai perjalanan kami mengenali Germany dengan lebih dekat.

Kembara kami bermula pada 7 April 2010 dengan ketibaan akhawat dari Newcastle di Memmingen Flughafen, lapangan terbang kecil di barat Munich. Cabaran bermula buat pengunjung dari UK khususnya dari segi pertuturan kerana penggunaan Bahasa Inggeris yang agak terhad dalam kalangan masayarakat Germany selain daripada bahasa ibunda mereka sendiri. Pengalaman cuba berkomunikasi sendiri dengan warga tempatan sungguh menyedarkan kami betapa ceteknya ilmu di dada. Mujurlah, melalui penerangan jelas yang sudah awal lagi diberi oleh ukhti Mima, kami selamat tiba di Munich Hauptbanhof iaitu stesen kereta api utama di Bandar Muenchen di mana ukhti sudah sedia menanti. Usai solat Zohor, perjalanan dimulakan dengan destinasi pertama, Schloss Nymphenburg, sebuah istana moden dengan tamannya yang indah dan tasik yang luas. Sebelah malamnya pula, kami berkesempatan mengunjungi Stadium Allianz Arena, stadium bola sepak terkenal di Munich di mana kami berpeluang menyaksikan salah satu pencapaian teknologi moden manusia dengan reka bentuk unik stadium seakan-akan tayar gergasi dengan warnanya yang silih berganti.

Pada hari kedua, kami bergerak menaiki tren ke Dachau, kawasan perkampungan lebih kurang 40 minit dari Munich untuk melawat dan menyaksikan sendiri “Dachau Concentration Camp Memorial Site” iaitu kem tahanan Nazi yang pertama di Germany. Setelah lebih setengah abad berlalu, kini yang tinggal di kem tersebut adalah bekas tapak-tapak berek banduan Yahudi majoritinya dari Russia, Poland dan Germany sendiri. Kesan tingglan kekejaman pemerintahan diktator Nazi juga dapat disaksikan dengan tinggalan kawasan seksaan banduan termasuk ‘bilik mandi’ yang sebenarnya bilik gas beracun yang pernah digunakan untuk membunuh lebih daripada 250 nyawa pada satu masa. Namun, apa yg menyedihkan bagi kami, jika diteliti secara rapi, kem tersebut kini ternyata menjadi sebahagian propaganda pihak Yahudi yang menggunakan sejarah hitam ini untuk meraih simpati daripada masyarakat Germany dan para pelancong yang berkunjung ke sini yang terbukti dengan pembinaan tugu-tugu peringatan yang ditulis rapi dan dihiasi dengan lambang-lambang Yahudi.

Pada malam kedua ini, akhirnya lengkaplah kumpulan jaulah kami dengan ketibaan dua lagi akhawat dari Manchester di lapangan terbang utama Munich.

Destinasi kami seterusnya adalah ke Fussen, di mana terletaknya salah satu tarikan utama bagi pelancong ke Germany iaitu Schloss Neuschwanstein, istana klasik yang menjadi inspirasi logo Walt Disney dan lagenda ‘Sleeping Beauty’. Perjalanan ke istana tersebut ternyata menguji ketahanan fizikal kerana kami memilih untuk tidak menggunakan bas ataupun kereta kuda yang disediakan. Walaupun istana ini mungkin gah dari luarnya, namun hakikatnya Neuschwanstein hanyalah dibina bagi memenuhi imaginasi Raja Ludwig II yang akibat ketaksubannya dengan dunia dan kisah-kisah dongeng, akhirnya digulingkan daripada takhta kerana dikatakan gila dan mati atas sebab yang tidak diketahui sebelum sempat istana ini disiapkan sepenuhnya. Sekali lagi, jaulah ini membuatkan kami merenung dan mengingat kembali sejarah terdahulu apabila salah satu lukisan potret terbesar yang dijadikan hiasan di dalam dewan utama istana ini memaparkan gambar kemenangan tentera Kristian membunuh tentera Islam ketika Perang Salib.

Hari keempat jaulah, kami meninggalkan bumi Munich seketika untuk melawat ke Frankfurt, bandar metropolitan Germany. Ketibaan kami di Frankfurt disambut mesra oleh para akhawat yang sanggup turun dari pelbagai kawasan semata-mata demi ukhwah rohaniah dan meraikan tetamu di bumi perjuangan mereka. Walaupun kebanyakan antara kami baru pertama kali bersua, namun, pengalaman seharian bersama ternyata membuktikan kehangatan dan kekukuhan jalinan silaturrahim yang dibina kerana Allah.

Setelah sehari di Bandar moden Frankfurt, perjalanan kami seterusnya beralih ke pekan klasik Salzburg, Austria. Selain terkenal sebagai latar filem musical “The Sound of Music”, Salzburg juga merupakan bandar kelahiran composer lagenda, Mozart. Namun, bagi kami, paling menarik di Salzburg tentunya kuntuman bunga pelbagai warna yang baru berputik yang menghiasi taman-taman di Salzburg. Walaupun kami berpeluang menikmati kedamaian pekan Salzburg hanya seketika akibat tekanan masa, namun ianya sudah cukup untuk menikmati nikmat musim bunga yang baru bermula. Betapa indahnya bunga-bungaan ciptaanNya yang menjadi penyeri alam ini. Pada sebelah petangnya pula, kami singgah sebentar di pekan Rosenheim sebelum kembali ke Munich di mana kami berpeluang menjalinkan silaturrahim dengan dua lagi akhawat mahasiswi Germany yang tinggal di pekan ini.

Setelah 6 hari di Germany, akhirnya jaulah kami berakhir. Sungguhpun berat di hati, namun kami terpaksa berpisah bagi meneruskan matlamat masing-masing sebelum kembali meneruskan perjuangan jihad menuntut ilmu. Alhamdulilah, dengan pengalaman yang ditimba dan memori yang telah tercipta, jaulah Germany ini bukan sahaja menjadi tali pengukuh ukhwah yang indah, malah juga medan muhasabah terhadap nikmat kurniaan Ilahi dan pemodenan dan kemajuan teknologi ciptaan manusia dengan izinNya.

Sesungguhnya Engkau tahu
bahwa hati ini telah berpadu
berhimpun dalam naungan cintaMu
bertemu dalam ketaatan
bersatu dalam perjuangan
menegakkan syariat dalam kehidupan

Kuatkanlah ikatannya
kekalkanlah cintanya
tunjukilah jalan-jalannya
terangilah dengan cahayamu
yang tiada pernah padam
Ya Rabbi bimbinglah kami

Lapangkanlah dada kami
dengan karunia iman
dan indahnya tawakal padaMu
hidupkan dengan ma’rifatMu
matikan dalam syahid di jalan Mu
Engkaulah pelindung dan pembela

Related Posts with Thumbnails
http://www.ismaeropah.com/wp-content/plugins/sociofluid/images/google_48.png http://www.ismaeropah.com/wp-content/plugins/sociofluid/images/myspace_48.png http://www.ismaeropah.com/wp-content/plugins/sociofluid/images/facebook_48.png http://www.ismaeropah.com/wp-content/plugins/sociofluid/images/twitter_48.png

Comments

Powered by Facebook Comments

Leave a Comment