TANYA DIRI: Tinggalkan Budaya ‘Couple’

Bulan Februari yang dikenali dengan bulan penuh cinta dan kasih sayang, masyarakat dunia sudah tentu tidak asing dengan Hari Kekasih ( Valentine Day)  yang menjadi kegemaran buat anak muda untuk disambut dengan meriah menjelang 14 Februari.

Mungkin sudah banyak artikel yang membahaskan mengenai sejarah ‘Valentine Day’ dan kita sudah semestinya telah diingatkan bahawa sebagai seorang Muslim, kita tidak sepatutnya terikut-ikut dalam perayaan yang tidak ada dalam ajaran Islam, sedangkan fatwa sendiri sudah mengatakan pengharamannya.

Islam tidak pernah menghalang kita untuk berkasih sayang namun tidak wujud hari tertentu untuk meraikannya, lebih-lebih lagi perayaan yang membawa kepada ruang kemaksiatan yang jelas bercanggah dan dilarang oleh Islam. Perayaan Hari Kekasih yang digambarkan dengan kegiatan huru-hara, tidak sedikit remaja Muslim yang meneguk minuman keras, mengambil dadah dan ada yang rela menyerahkan diri pada sang kekasih, jelas sekali perayaan ini perlu ditentang hebat oleh masyarakat Muslim.

Rasulullah s.a.w bersabda;

“Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum maka ia termasuk daipada golongan mereka”.

( Hadis Riwayat Abu Daud )

Berkemungkinan ada daripada kita yang mengatakan bahawa budaya menyambut Hari Kekasih merupakan budaya barat, dan anak bangsa kita sendiri mengetahui hukum untuk tidak terlibat sama merayakan sambutan ini, namun sejauh manakah kita yakin dengan ucapan ini?

Saya pasti kebanyakan daripada kita sudah semestinya mempunyai laman sosial untuk mendapatkan informasi yang berlaku,namun adakah kita masih lagi ingin menafikan bahawa generasi muda hari ini masih terpelihara dengan isu kerosakan pergaulan mahupun akidah atau kita yang sengaja menutup mata membiarkan sahaja masalah sosial berleluasa?

Saya tidak ingin mengulas panjang tentang isu Hari Kekasih ini, namun perkara yang ingin saya kupaskan adalah tentang masalah anak muda yang seringkali menjalin cinta tanpa sebarang ikatan yang sah, mungkin ada yang masih keliru tentang hukum ‘couple’ itu sendiri. Budaya berpasang – pasangan telah menular dalam kalangan pelajar, sedangkan pelajar seawal sekolah rendah lagi sudah memiliki kekasih hati.

Teringat saya akan satu ‘post’ anak muda di Facebook yang bertanyakan ‘Couple’, haram atau tidak, nyatakan pendapat anda?.

Apabila saya meninjau ruangan komen, alangkah kecewanya apabila melihat kebanyakannya mengatakan tidak,tiada masalah asalkan berakhir dengan lafaz ijab dan kabul. Terbuktilah bahawa masih ramai lagi yang salah faham dan  memberikan alasan sebegini untuk menghalalkan sesuatu perkara yang jelas haram, dan sudah pasti ‘couple’ yang wujud (berkasih kasihan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram) mendatangkan kemudaratan.

Mari kita rujuk kembali firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“ Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina adalah perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (membawa kerosakan)”. (Al-Isra’ 17:32)

 Dalam ayat ini, Allah melarang kita mendekati zina, ini bermakna Allah bukan sahaja melarang kita berzina, tetapi menghampiri zina juga dilarang. Ini adalah satu konsep yang perlu kita fahami dengan jelas.

 

Adakah ‘couple’ akan membawa kita kepada menghampiri zina? Ya! Sudah semestinya.

 

Adakah wujud perhubungan ‘couple’ yang tidak berbalas-balas pesanan ringkas? Adakah wujud’couple’ ini tanpa keluar bersama? Adakah kita memelihara pandangan sambil menjaga nafsu ketika melihat dirinya yang sudah kita anggap milik kita walaupun dimiliki secara tidak sah?

Pesanan ringkas haram hukumnya apabila seorang lelaki dan perempuan bukan mahram,  tidak mempunyai sebarang urusan, hanya sekadar untuk bertanyakan khabar mahupun melepaskan perasaan rindu atau berkongsi cerita yang memudaratkan diri sehingga mampu membawa kepada zina hati.

Berbual-bual melalui telefon di luar keperluan syar’i juga jelas membawa kepada zina hati. Kerana mereka sepi dari kehadiran orang lain, meskipun fizikal mereka tidak berada dalam satu tempat. Namun, melalui telefon mereka lebih bebas membicarakan apa saja selama berjam-jam tanpa merasa dikawal oleh sesiapa.

Jelas nyata zina hati, zina mata boleh berlaku bahkan tidak terjaga ikhtilat boleh mengundang kepada fitnah.

 

Lihat pula kepada firman Allah s.w.t dalam Surah An Nur, ayat 30:

“ Katakanlah kepada laki-laki dan yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu adalah suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.

 

Cinta yang bertandang di lubuk hati itu fitrah. Memang setiap manusia yang diciptakanNya akan mengalami perasaan sebegini. Namun, sekiranya cinta ini disusuli dengan tindak-tanduk yang tidak diredhai Allah, ianya akan menjadi fitnah.

Kalau begitu, bagaimana mahu mendapatkan pasangan, jodoh untuk bernikah, jika tidak punyai pasangan sekarang?

Yakinkah kita, ‘couple’ itu jodoh kita?

‘Couple’ bukan satu-satunya jalan untuk menemukan jodoh. Islam sudah menggariskan panduan yang jelas dan jalan untuk menemukan jodoh iaitu taaruf. Carilah jalan yang telah disyariatkan untuk menghalalkan sesebuah perhubungan.

Hati dan cinta milik Allah, sungguh Dia yang berkuasa membolak-balikkan hati manusia. Hari ini dia mungkin milik kita, esok mungkin sudah berpisah. Mana mungkin kita mampu menjamin kebahagiaan bersama ‘couple’ sedangkan kita lupa pada siapa perlu diletakkan keutamaan cintanya. Tidak mungkin bahagia seseorang yang mencintai makhluk melebihi cinta kepada Allah dan Rasulullah s.a.w.

‘Kami sudah lama bercinta, bukan mahu putuskan perhubungan begitu sahaja, nanti dia cari yang lain, bagaimana?’

Serahkan kepada Allah, Allah Maha Mengetahui, pertaruhkan sahaja masa hadapan kepada Allah kelak kita sendiri yang akan mengatakan, ‘Beruntung aku putuskan hubungan terdahulu, sekarang Allah telah memberikan yang lebih baik’.

Berilah hatimu hanya untuk Allah, pasti Allah temukan padamu pemilik yang terbaik. Hamparkan masamu seluasnya hanya untuk Allah, pasti Allah aturkan seluruh hidupmu sebaiknya.

Jangan berikan hati sebelum diakadkan. Hati adalah kepunyaan manusia yang paling berharga. Baik hatinya maka baiklah seluruh kehidupan, begitu juga sebaliknya.

Semoga hati kita semua terpelihara daripada  terjebak dalam kancah cinta yang buta dan palsu itu.

 

 

Nurzaira binti Ahmad Zamri

Ahli ISMA Eropah (Rusia)

Related Posts with Thumbnails

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Check Also

Video Syukur Ungguli Tempat Pertama Pertandingan Video NEXT Sheffield

Sheffield, 18 Okt – Video Syukur keluaran Media ISMA Eropah dengan kerjasama ISMA Cardiff hari …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *