Tekad 2010 ISMA terus berperanan di pentas perdana
Fajar 2010 telah menyingsing, sekaligus melabuhkan tirai 2009 yang pergi tidak kembali. Isu-isu setempat, nasional dan sejagat yang mewarnai diari 2009 ISMA telah membuka pelbagai lembaran baru yang merintis jalan kepada impian lebih besar bagi tahun-tahun seterusnya. Kedatangan tahun baru menjanjikan seribu satu harapan untuk ISMA terus berperanan dalam arus perdana bagi memperjuangkan agenda dakwah yang diimani.
Sinar 2010 ini juga memperbaharui tekad saf pimpinan dan ahli-ahli ISMA untuk meningkatkan amal bagi merealisasikan matlamat yang dicita-citakan.
Bersempena dengan tahun baru 2010, Media ISMA telah berkesempatan menemubual beberapa orang pimpinan ISMA di peringkat pusat dan cawangan bagi mendapatkan pandangan mereka berkenaan harapan untuk 2010:
Ustaz Abdullah Zaik bin Abdul Rahman (Presiden ISMA)
“Insya Allah kita meletakkan harapan yang tinggi agar tahun 2010 ini akan menjadi tahun yang bermakna buat ISMA. Saya menyeru kepada seluruh ahli-ahli ISMA supaya sentiasa berusaha mengambil peluang untuk menempatkan diri dalam arena dakwah di Malaysia. ISMA akan memperlihatkan kesungguhan untuk menampilkan model membina semula sebuah tamadun berasaskan ajaran Islam hakiki, melalui usaha-usaha menonjolkan syiar tarbiah kita iaitu “daripada talqin dan talaqqi kepada taqdim namuzaj” (daripada menadah kitab kepada mengemukakan model).”
Ustaz Abdul Halim bin Abdullah (Naib Presiden I ISMA)
”Sempena kedatangan tahun baru 2010, ISMA semakin berusia, matang, berkembang dan aktif memainkan peranannya sebagai badan dakwah di Malaysia. Harapan kita agar ISMA terus menyebarkan kefahaman Islam yang syumul dan sahih kepada masyarakat, mendekati setiap lapisan masyarakat dan mendidik mereka dalam usaha membina sebuah generasi Islam yang hakiki. Kita menyeru kepada semua badan, pertubuhan serta rakyat jelata agar cuba mengenali ISMA dengan lebih dekat melalui aktiviti, tokoh dan bahan penerbitannya. ISMA mengasihi masyarakat ini lebih daripada diri mereka sendiri dan berusaha sedaya mungkin untuk memastikan masa depan umat yang lebih cemerlang, gemilang dan agung.”
Aminuddin bin Yahaya (Setiausaha Agung ISMA)
“Selepas mengharungi tahun 2009 yang diwarnai pelbagai isu dan kontroversi politik tanahair, saya masih berharap agar kedua-dua pihak PAS dan UMNO akan kembali duduk berbincang demi kepentingan bangsa Melayu dan agama Islam ini. Apapun percaturan politik yang akan dimainkan oleh kedua-dua belah pihak, selaku seorang Melayu Muslim maka sudah pasti saya mengharapkan isu kepentingan menjaga bangsa dan agama tidak harus digadaikan. Rakyat Malaysia mendambakan politik yang matang yang menilai sesuatu berasaskan prinsip yang jelas dan syarie bukan politik sentimen. Rakyat juga mendambakan kesatuan kembali bangsa Melayu Muslim. Sesungguhnya penegakan Islam hanya akan berlaku dengan kuatnya orang Melayu.”
”Begitu juga dari segi ekonomi, apa yang menjadi harapan kita semua ialah tidak berlaku lagi ketirisan yang berleluasa di dalam pembahagian projek kerajaan. Walaupun ekonomi dunia secara keseluruhannya masih di tahap membimbangkan, namun dengan sumber semulajadi yang banyak dan simpanan dana yang melebihi 200 billion, sudah pasti negara mampu menghadapi tekanan ekonomi ini dengan baik. Sistem perbankan yang mantap dan keadaan sektor perumahan yang semakin pulih menjanjikan harapan yang agak cerah pada tahun hadapan. Namun ini semua akan tetap tidak memberi kesan kepada hidup rakyat jika langkah-langkah pembanterasan rasuah tidak diambil dengan tegas.”
Dr. Amiruddin Abdul Wahab (YDP ISMA Shah Alam & Klang)
“Menjelang tahun 2010 ini, ISMA Shah Alam dan Klang bercita-cita untuk terus memperkukuhkan lagi asas binaan organisasi ISMA cawangan melalui pembentukan lebih ramai penggerak yang boleh melonjakkan lagi amal dakwah dan tarbiyah, ke arah kemampuan untuk menggarap massa, mempromosi fikrah dan menonjolkan tokoh-tokoh ISMA di Shah Alam dan Klang. Kami juga meletakkan sasaran untuk mengembangkan lagi organisasi ISMA demi melancarkan amal-amal dakwah, melalui pembentukan sebuah lagi cawangan baru ISMA di Klang.”
“Di peringkat nasional, kami berharap agar pada masa hadapan, khususnya pada masa terdekat ini, bangsa Melayu Islam di Malaysia boleh bersatu demi maslahah ad-deen dan ummah, melangkaui kepentingan ideologi dan politik masing-masing. Oleh itu ISMA berhasrat untuk menjelaskan kepada masyarakat melalui dakwah kefahaman fikrah yang jelas, bahawa sesungguhnya bangsa Melayu di Malaysia merupakan tonggak kepada survival serta kejayaan Islam di negara ini.”
Ustaz Rushdan bin Halim (YDP ISMA Pahang)
“Pada tahun 2010 ini, ISMA Pahang meletakkan sasaran untuk menyebarkan fikrah yang didokongi ISMA kepada masyarakat dengan lebih meluas dan tersusun, khususnya dengan memanfaatkan sesi ceramah dan kuliah tokoh-tokoh ISMA di Pahang. Kami juga berharap dapat membuka cawangan baru di Pahang Barat, bagi mengembangkan lagi usaha-usaha dakwah di negeri ini.”
Mohd Khoushaini Mohd Naim (Setiausaha Sekretariat Luar Negara ISMA, Setiausaha ISMA Melaka)
“Alhamdulillah dalam fasa penggarapan umum ISMA di tahun 2010, kita tidak hanya bergantung kepada individu yang mempunyai kualiti tertentu untuk melaksanakan amal, khususnya dari jenis amal am. ISMA berharap agar dapat membina jaringan kerjasama dan sokongan daripada pelbagai badan dan pertubuhan serta masyarakat seluruhnya dalam menyebarkan kefahaman Islam yang syumul ini.”
“Memetik kata-kata seorang tabi’en ‘hammuka ala qadari ma ahammak’, keseriusan kamu adalah bergantung pada kadar apa yang kamu sibukkan. Saya percaya dan menyeru ahli-ahli ISMA agar terus menghayati perjuangan dakwah ini, bersatu padu dan memberikan sepenuh jiwa raga dan komitmen dalam merealisasikan visi dan misi ISMA untuk mendidik diri dan masyarakat. Semoga kita semua dikurniakan ganjaran sebaik-baik orang yang beramal. Amin.”
Omar bin Kassim (Setiausaha ISMA Seremban)
“Semoga ISMA pada tahun 2010 akan terus berkembang sebagai sebuah organisasi dakwah yang diuruskan dengan lebih profesional, semakin responsif kepada isu-isu nasional serta dapat memberi kesan langsung yang positif kepada masyarakat Islam di Malaysia menerusi aktiviti-aktiviti yang dijalankan.”
Disusun oleh:
Mohd Firdaus Sabturani
Ketua Pengarang
Media ISMA Malaysia







Tweet This
Share on Facebook
Digg This
Save to delicious
Stumble it
RSS Feed






Comments
Powered by Facebook Comments