Usah Malu Brothers, Khabarkan Saja Dirimu Muslim!

Mungkin antara dilemma terbesar seorang pelajar muslim di negara Barat adalah cabaran menyesuaikan masa solat dengan jadual universiti. Hampir pasti, slot-slot masa semacam waktu kuliah dan sesi makmal biasanya dibuat tanpa mengambil kira jadual waktu solat. Kecuali jika universiti tersebut memiliki peratusan pelajar muslim yang besar ataupun ada tekanan yang kuat daripada wakil Student Union yang muslim.

Dilema tersebut menjadi semakin besar pada waktu musim sejuk. Zohor dan Asar hanya ada senggang masa satu jam lebih. Waktu itu jugalah ketua modul selitkan waktu kuliah beliau yang berdurasi dua jam. Atau lebih teruk, waktu itulah giliran makmal Kumpulan D yang berdurasi hampir 3 jam. Jika nasib tak baik, kadang – kadang susunan modul boleh membuatkan terlepas tiga waktu solat, Zohor, Asar dan Maghrib.

11

Tak pernah rasa lagi solat atas salji

 

Tulisan ini bukanlah untuk mengupas hukum rukhsah solat semacam hukum solat Jamak. Jika ada iman di dada, pasti kita akan usahakan juga untuk solat pada waktunya. Namun yang menjadi persoalan, bagaimana cara kita mencari ‘alasan’ untuk keluar solat?

Di hadapan kita adalah lecturer Mat Saleh, di sekeliling kita manusia berambut perang dan bermata biru. Solat Asar akan tamat 10 minit lagi dan sekurang-kurangnya kita perlukan 3 minit untuk ke prayer room terdekat. Nak tak nak, mesti juga keluar sekarang untuk jamakkan zohor dengan asar. Tapi, nak kata apa pada lecturer? “Excuse me, can I have a breather please?”, atau “May I go to toilet?” atau keluar saja tanpa kata apa-apa? Takkan nak cakap “I am sorry; I need to go pray now”?

lecture-hall

Kalau masuk lewat pun segan, apatah lagi nak minta izin keluar.

 

Tekanan ini pada saya mungkin bergejolak lebih lebih lagi pada orang Melayu. Dah diajar dari dulu untuk mohon izin keluar dari kelas sambil tundukkan kepala, takkan nak redah saja depan Prof Candice Majewski?

Saya sendiri mengalami dilema yang sama pada tahun pertama. Universiti wajibkan hadiri Global Engineering Challenge selama satu minggu pada musim sejuk. Program berdurasi dari pukul 9 sampai 5 petang selama lima hari. Saya dimasukkan pula dalam kumpulan 3 mat saleh dan seorang Cina. Bila tiba waktu solat terasa gelisah. Macam mana nak minta izin keluar?

Akhirnya saya ambil keputusan untuk beritahu saya nak ke tandas. Maka timbul pula masalah lain, setiap kali waktu yang sama saya ulang hal sama, selama lima hari. “Eh, sistematik pula waktu kamu buang air, lama pula tu”. Aduh. Kita harapkan ahli kumpulan tak syak wasangka, akhirnya timbul juga.

stock-vector-cartoon-line-drawing-of-a-man-studying-his-phone-on-the-toilet-443689399

Gambar hiasan: punca kenapa kadang-kadang boleh duduk dalam tandas sampai setengah jam.

Bi Qadrillah, Khutbah Jumaat minggu itu amat mengejutkan dan mengetuk jiwa saya. Dengan tajuk “Berbangga Menjadi Seorang Muslim”, khatib yang berbangsa Somali itu menegur langsung pelajar – pelajar muslim yang memilih menyembunyikan ke’islam’an mereka. Amat jarang masjid tersebut menjadikan pelajar sebagai tema utama khutbah tersebut dan ternyata itu adalah masa yang paling tepat.

“Saya mendengar berita bahawa sebahagian daripada rakan – rakan kita berdalih – dalih apabila mereka terpaksa mengkhabarkan agama mereka kepada rakan mereka yang lain. Apabila terpaksa menunaikan solat, mereka memberi alasan terpaksa ke tandas dan sebagainya. Brothers, mengapa kamu malu mengakui keIslaman kamu? Tidakkah kamu merasa bersalah menyamakan solat menyembah Allah dengan pergi ke tandas??”

“Usah malu, brothers, khabarkan sahaja dirimu Muslim!”

Zapp, terus terasa tersentap dan tersiat-siat baki iman yang ada. Teguran imam tersebut langsung mengenai sasarannya. Sungguh, perasaan malu saya diletakkan pada posisi yang salah!

tarbiah sentap

*bukan promosi berbayar. tapi boleh like fb tarbiah sentap di sini

Langsung saya teringat kisah Rib’ie bin Amir ketika bertemu dengan panglima perang Parsi bernama Rustum. Tatkala bersemuka dengan panglima dari antara empayar paling agung dalam sejarah, jauh membayangi tamadun Islam yang baru berkembang ketika itu, tidak langsung Rib’ie bin Amir merasa gentar. Tidak langsung bersikap apologetik.

“Allah telah mengutuskan kami untuk mengeluarkan manusia daripada penyembahan sesama makhluk kepada penyembahan Allah Ta’ala, daripada kesempitan dunia kepada dunia yang lapang, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam.” Kata – kata ini jelas menggambarkan sikap Izzah seorang pemuda Islam ketika itu.

Sedang saya pula segan dan malu mengkhabarkan identiti agama saya kepada rakan – rakan bukan Islam.

Beranikan Saja Diri, Pasti akan Merasa Keindahan dan Keajaiban.

Langsung setelah teguran itu, saya terus merubah pendekatan saya. Setiap kali tiba waktu solat saya akan katakan saya “excuse me, I need to go pray” tidak kira dengan siapapun, masa lecture mahupun sesi makmal.

Sejujurnya, saya akui ini mungkin satu langkah yang kecil. Apalah sangat nak dibandingkan dengan Dr Zakir Naik yang menjelajah satu dunia untuk bercerita tentang Islam. Tapi ternyata daripada langkah yang kecil ini, boleh mencetus pengalaman-pengalaman yang bermakna.

Daripada frasa ringkas “I need to go pray” ini tercetus perbualan – perbualan yang tidak mungkin terjadi sekiranya saya terus mencari alasan lain untuk beribadat kepada Allah. Ada di kalangan rakan saya yang menanyakan berapa kali sebenarnya muslim bersembahyang. Apabila saya nyatakan lima kali mereka terkejut. Lalu ini membuka ruangan perbincangan lain seperti erti hidup, ketuhanan, dan tawaran agama Islam kepada kehidupan manusia. Mereka juga bertanya tentang perasaan saya apabila agama saya dikaitkan dengan Charlie Hebdo dan keganasan.

Alhamdulillah, ada di kalangan mereka yang sudi ke masjid untuk melihat sendiri dunia asing Islam dengan mata sendiri. Mereka bingung melihat kami memberi salam antara satu sama lain sesama Jemaah masjid. Apabila ditanya sama ada saya kenal dengan semua Jemaah masjid saya jawab, “tak pun”, tapi begitulah Islam menautkan hati kami. Moga Allah memberikan hidayah kepada mereka semua.

keajaiban solat

keajaiban solat

Bangga Memenangkan Islam dari yang Lain.

Bagaimanapun lebih daripada itu, sikap membuang sebarang sifat malu terhadap identiti Islam bakal mendatangkan hasil yang lebih besar. Ia akan membuka tasawwur (worldview) berbangga dengan setiap aspek yang diajar oleh agama. Ia akan mendatangkan rasa semangat untuk memenangkan Islam berbanding dengan pelbagai ideologi yang lain.

Apabila datang suatu isu yang menghujani benak pemikiran, secara serta merta pendekatan yang akan kita ambil adalah mencabar naratif ataupun sudut pandang yang menimbulkan isu tersebut pada permulaannya. Islam tak disesuaikan dengan kehendak dan latar belakang isu, tetapi isu tersebutlah yang dilenturkan sesuai dengan cara pandang Islami.

Pendek kata, apabila kita tidak segan dan bangga dengan agama kita, kita tak akan cuba untuk mencairkan prinsip – prinsip utuh yang membentuk nilai agama.

Boleh lihat tulisan saya tentang sikap tidak apologetik terhadap agama di sini

Tidak Merasa Bersalah Menyertai Jemaah/ Persatuan Islami

Mungkin suatu lagi masalah yang turut dihadapi oleh pelajar Melayu Islam di luar negara adalah merasa bersalah atau segan mengatakan bahawa mereka memilih untuk menyertai Jemaah ataupun persatuan Islami. Hal ini sama sahaja sama ada mereka menyertai persatuan Islam Universiti mahupun persatuan Islam yang membawa aspirasi dari tanah air.

Pertama sekali, harus disedari bahawa detikan hati yang mengajak kita mendekati rakan-rakan yang soleh, menyertai kumpulan-kumpulan dan persatuan-persatuan Islami juga majlis-majlis zikir hakikatnya adalah datang dari Allah semata-mata. Dipilih Allah untuk bersama dalam satu wadah mendekati-Nya dalam suasana negara kekufuran hakikatnya adalah suatu hal yang istimewa.

Oleh itu, saya berpandangan tidak wajar sekiranya pilihan kita untuk menyertai usrah sebagai contoh disorokkan semahu-mahunya dari rakan-rakan kuliah. Apabila terbongkar pula habis merah padam jadinya muka kita. Begitu juga sekiranya kita menyertai persatuan Islam pilihan kita dan yakin akan kebaikan aspirasi yang dibawa, tidak sewajarnya disorokkan kebaikan tersebut.

143b1312-0181-4c76-9401-de424e21e750

“Eh, kau join usrah ek?” “ehhh tak lahh, sori mintak diri jap”*lompat tingkap.

Sekiranya kita segan mengajak rakan kita kepada kebenaran agama, maka dah pasti ajakan-ajakan lain yang akan menang tanpa bertanding. Saya sendiri pernah diajak oleh rakan kuliah menyertai kelab komunis, diajak menjadi ateis, juga dijemput ke gereja oleh misionari. Jika tiada ajakan dari rakan-rakan yang menarik saya kepada Islam, Wallahualam apa akan jadi. Atau mungkin kita akan diajak kepada ajakan lain yang lebih abstrak semacam ajakan merokok, weed, kaki perempuan, gila gaming dan sebagainya.

Juga, nescaya, jika kita menyorokkan bendera kebaikan, bendera-bendera keburukan pasti akan menjulang tinggi.

Ambil saja contoh gerakan LGBT di UK. Kini, bendera pelangi ada di hampir seluruh universiti. Orang-orang mereka tidak segan langsung memakai baju LGBT memberitahu seluruh dunia orientasi seksual mereka. Persatuan – persatuan LGBT dinobat persatuan terbaik di banyak pusat pengajian. Ia juga kini menjadi suatu ideologi yang tidak langsung boleh disentuh dan dipertikai dek kerana mobilisasi politik dan sosial yang begitu kuat.

Trent-LGBT-flag-920x400

bendera LGBT di Nottingham

Kenapa mereka boleh capai tahap sebegini? Kerana mereka berbangga dan menganggap diri mereka benar.

Maka jika kita menganggap Islam itu benar dan berbangga sebagai penganutnya dah pasti kita tidak akan segan mengangkat bendera kebenaran Islam itu paling tinggi berbanding segenap bendera – bendera yang lain. Pasti akan berkobar semangat meninggikan syiar – syiar Allah.

وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوْبِ

“Barangsiapa mengagungkan syiar-syiar Agama, maka hal itu (muncul) dari jiwa yang takwa kepada Allah”

Al Hajj 22: 32

Kesimpulan

Ringkasnya, kita selaku pelajar Muslim Malaysia di luar negara khususnya perlu sedar kita juga merupakan duta Islam dalam satu suasana di mana Islam sedang dicabar dan ditekan. Kita perlu menanam rasa bertanggungjawab membawa nama agama selaku duta. Titik permulaan yang paling baik adalah pertama sekali dengan mengakui bahawa aku adalah muslim tanpa merasa malu, segan dan berdolak dalih. Bukankah Allah telah berfirman:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam!”

Fussilat 41:33

Oleh: Haziq Abd Rahim

Tulisan ini juga boleh diperoleh dari blog beliau:

http://haziqabdrahim.blogspot.co.uk/2017/02/usah-malu-brothers-khabarkan-saja.html

Related Posts with Thumbnails

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Check Also

Berbekalkan Kasih dan Semangat Perjuangan

Cardiff, Sheffield, May 2017- Ahli ISMA seluruh UK menyambut bulan Ramadhan dan musim peperiksaan pada …