Usrah tak penting?

“Akak, ana nak berjalan-jalan lepas exam tiga minggu. Start hari rabu sampai khamis. Dua hari je” kata aku. Saja highlightkan tiga minggu tempoh exam. Bukan satu tempoh yang sekejap. Bersengkang mata dan pecah otak selama tempoh itu. Itu tidak termasuk kekecewaan bila result OSCE diumumkan dalam lingkungan minggu itu juga.

Dalam adab berjemaah, antaranya adalah istisyarah dan isti’zan yang membawa maksud kepentingan untuk sentiasa bermesyuarat dan meminta izin naqibah sebelum apa-apa keputusan diambil.  Daripada aspek pekerjaan, jadual cuti sehinggalah kepada pemilihan pasangan hidup. Ini adalah sebagai salah satu cara kita memberi peluang kepada dakwah menjadi agenda utama dalam kehidupan kita.

Aku cukup maklum mengenai hal ini, namun sengaja aku lewatkan pemberitahuan rancangan ini pada naqibahku. Bukan aku tak tahu, setiap rabu, kami ada usrah.Mungkin kerana aku yakin, selayaknya aku diberi pelepasan selepas berminguan peperiksaan. Ah, aku bukan kaki ponteng usrah! Ke mana saja usrah hatta ke seberang negeri juga aku hadir. Kata saja di mana. Walau esok kelas jam 8.00 pagi pun aku masih berusrah sehari sebelumnya sehingga jam 1 pagi. Jadi selayaknya permintaan aku diluluskan.

“Jadi sekarang, jalan-jalan lagi penting dari usrah?” Balas naqibah. Aku kurang pasti nadanya kerana kami hanya berbual dialam maya. Tersentap aku dengan jawapannya. Bukan seperti yang aku sangka. Cepat perasaan marah dan tidak puas hatiku hadir.

Eh, dua hari je kot mintak lapang sikit. Selama ni, mana program yang aku tak pergi. Kalau tak pergi pun bersebab yang syar’i (selain sekali akibat tertidur). Sungguh aku rasa seperti aku tidak difahami. Manakan tidak, aku jurusan perubatan, manusia gila saja yang sanggup buat ‘double degree’ macam kami. Pagi hingga petang sarat jadual hospital dan malam dengan agenda dakwah. Kami sebolehnya akan cuba mengurangkan masa tidur kerana perlu mengulang kaji untuk peperiksaan yg setiap 2 kali setiap minggu. Jujur aku katakan, medic bukan suatu jurusan yang boleh kita bersenang-senang dengan subjeknya, harus ingat setiap perkataan sampai mati! Satu subjek beratus-ratus muka surat yang perlu dihabiskan.

Bilang sahaja berapa ramai pelajar perubatan yang sanggup terjun ke dalam kehidupan sebegini. Rata-rata semua dah tarik diri. Maka tinggallah mereka yang selalu pula dimomokkan dengan fenomena “pasti berhenti” apabila sampai waktu ketika houseman.

Aduh! Aku bentak seorang diri. Mula membanding-banding kehidupan dengan naqibah lama seawal aku mengenali tarbiyyah. Makanan dihantar, setiap bulan berjaulah, pesanan kasih sayang setiap kali bermessage, sangat mengambil berat, pujuk memujuk bila ada cubaan untuk keluar usrah. Ahh… terasa sangat penting dan disayangi. Sehingga tidak kisah naqibah mahu marah atau tegur macam mana sekali pun kerana jambatan yang telah terbina sangat kukuh.

Lain halnya bila pulang ke Malaysia. Aku ada dengar-dengar juga, akhawat ni banyak hilang apabila pulang semula ke Malaysia. Tapi aku yakin, sekiranya kita faham, come what it may, pandailah aku nak sesuaikan diri. Tapi ternyata tidak semudah itu. Dengan pertambahan usia dalam dakwah, semakin hilang jalan-jalan karpet merah yang mula-mula dihamparkan untuk aku. Aku tak lagi ditanya boleh atau tidak ke program, tetapi dijangka untuk datang on time dengan apa cara sekali pun. Tidak mudah untuk aku beralasan, hatta pada urusan yang aku rasakan sangat penting.

Lain perasaannya naqibah yang kali ini. Sangat tegas dalam beralasan. Aku segera mengambil semula telefon bimbitku apabila merasakan ada pesanan baru. Panjang lebar ayatnya.

 

Ukhti,

Apa sebenarnya yang kita cari dengan jalan ini? Kawan-kawan baik? Jawatan? Title? Atau suami soleh semata-mata. Lantas, sekiranya kau dapatkannnya, apa kau akan tinggalkan dakwah? Dakwah kita atas perasaan kasih pada ummat seluruhnya. Dan kecintaan yang besar untuk bertemu dengan Allah dalam sebaik-baik keadaan. Maka kemahuan harus kuat. Tidak kira betapa keadaan tidak meraikan kita. Kita tetap teguh dengan harapan dan cita-cita kita. Apabila disuruh untuk mengorbankan sisi-sisi hidupmu, apakah kau bersedia?

Dakwah bukan untuk orang yang lembik, ukhti. Yang nak dibelai-belai. Yang nak disibukkan dengan isu ukhwah, hati dan perasaan selamanya. Harapan kita besar. Dan dakwah ini tak menyediakan tempat untuk orang yang berhati kecil dan belum sanggup mengkompromi fasa-fasa hidupnya dengan realiti dakwah. Engkau hidup dengan dakwah dan dakwah hidup denganmu. Tapi, sekiranya kau tak mampu hidup dengannya, ada bahu-bahu lain yang mampu dan boleh. Maka kau bakal tertinggal.

P/s: akak mintak maaf nampak tegas dengan enti. Ana izinkan enti berjalan. Cuma pengajarannya, enti kene rujuk ana dulu dengan jadual enti yang tidak berapa penting. Ana nak agenda dakwah selalu menjadi agenda hidup enti. Jangan beri saki baki masamu sahaja. Kuatkan keazamanmu. Kurangkan beralasan. Jujur dengan diri sendiri. Baiki amal fardimu, insyaAllah, akan halus dan bersih niatmu.

Aku menyeka saki baki air mata yang mengalir. Allah, rupanya selama ini aku belum cukup kuat kemahuan untuk bersama di jalan ini. Hanya saki baki masa yang aku beri.

Sakinah Faizal
Alumni ISMA Eropah
Penang Medical College

Related Posts with Thumbnails

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Check Also

photo6030491859110963118

JUMP 2017 : Puncak Tertinggi Wales Ditawan, Bukti Kesungguhan Ahli

Snowdonia, Wales, 14 April- Jalinan Ukhuwah Musim Panas(JUMP) anjuran ISMA UK-Eire telah berjaya menghimpun ahli …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *