Ustaz Halim : Kisah Piala Dunia 2006


Piala Dunia nama yang sinonim dengan perlawanan bolasepak antarabangsa, diadakan 4 tahun sekali. Ia pertandingan paling popular sehingga ia mengambil nama “Piala Dunia” atau “World Cup” tanpa menyebut nama jenis sukan tersebut berbanding sukan-sukan lain. Jika siaran secara langsung disiarkan di awal pagi seperti jam 3 atau 4 pagi, pastinya ramai manusia di merata dunia termasuk di Malaysia yang akan berjaga malam untuk menyaksikannya apatah lagi jika ia pertandingan akhir atau separuh akhir. Itu bagi manusia biasa terutama kaum lelaki. Adapun kepada ahli sukan lebih-lebih lagi pemain bola di semua peringkat samada negeri, daerah, sekolah mahupun peringkat kampung, sudah tentu mereka lebih setia mengikuti perlawanan-perlawanan bolasepak utama, lebih-lebih lagi Piala Dunia atau “World Cup”.

Saya masih ingat ketika saya diundang ke United Kingdom pada musim Piala Dunia 1998 atau 2002 (kurang ingat) untuk menyampaikan ceramah di satu perkhemahan musim panas, pihak penganjur terpaksa menyediakan sama kemudahan TV di tempat program kerana perlawanan akhir akan berlangsung semasa hari-hari program berjalan. Ini untuk menarik minat peserta-peserta baru atau sekurang-kurangnya perlawanan akhir tersebut tidak menjadi penghalang bagi mereka untuk menyertai Perkhemahan Musim Panas Islamik yang lebih memberi manfaat kepada mereka. Di masa yang sama juga saya mendapat tahu perlawanan akhir Piala Dunia yang jatuhnya pada pagi Ahad menyebabkan banyak gereja menangguhkan sembahyang mingguannya dari kebiasaannya diadakan di waktu pagi ke waktu petang!

Saya terlibat bermain bola sejak di bangku sekolah rendah ketika di sekolah mahupun di kampung. Ketika di peringkat sekolah menengah, saya bermain bolasepak mewakili Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuantan, Pahang pada tahun 1981 atau 1982. Di antara perlawanan yang saya masih ingat ialah perlawanan bolasepak di antara MRSM Kuantan melawan Sekolah Menengah Sains (SMS) Pahang (kini Sekolah Sultan Ahmad Shah kalau tak silap), Jalan Gambang, Kuantan, Pahang, yang berkahir dengan kekalahan di pihak kami. Di tahun-tahun 1981-1982, saya juga di antara pemain yang mewakili MRSM Kuantan dalam pertandingan sepak takraw dan tennis. Walaupun sudah terlibat dalam amal dakwah ketika itu, di samping akan menghadapi peperiksaan SPM 1982, saya masih mendapati masa dan ruang untuk berlatih dan mewakili Maktab dalam acara-acara sukan tersebut. Masa masih banyak ketika di usia tersebut.

Adapun pada hari ini, tanggungjawab terhadap Allah dan dakwah, menjaga dan meningkatkan diri sendiri, memimpin dan membimbing keluarga, mendidik sanak saudara serta menyelamat dan membina masyarakat telah mengisi segenap ruang hidup dan masa saya, sehingga ia juga sering mencuri masa tidur, makan dan rehat. Sering juga masa untuk meningkatkan diri melalui pembacaan dan bertaamul (pengamatan) hilang entah ke mana di celah-celah kesibukan mengharung tanggungjawab dakwah yang berbagai. Tanpa saya sedari acara-acara popular di dunia sudah menjadi asing dari kamus hidup Pendakwah di Jalan Allah ini. Tiada satu acara sukan pun yang tersenarai dalam fikiran. Pernah suatu hari di tahun 1998 ketika di kampung isteri, setelah melihat saya tidak memberi respon yang “natural” ketika berbual-bual, abang ipar saya bertanya kehairanan, “Nama yang kita sebut tadi ‘Siti Nurhaliza’, Halim kenal tak?”. Saya menjawab, “Tak”. Dia menjelaskan, “Siti Nurhaliza ni penyanyi paling terkenal di tanahair ketika ini”.

Setelah 8 jam di udara, pesawat mendarat di Melbourne Airport. Saya cuba berpakaian biasa, bertshirt, supaya tiada masalah soal jawab tentang keganasan (terrorism) di imigresen nanti, apatah lagi pasport saya penuh dengan cop negara Saudi, Mesir, Syria, Lubnan dan Jordan. Seorang pegawai memeriksa beg sambil seorang lagi menanya soalan-soalan termasuk pandangan saya tentang “Jihad”, Usama bin Laden dan sebagainya. “How is it goin’ mite?”. “Not too bad, thanks”, jawab saya. Saya seronok menjawab soalan mereka menggunakan slang Australia yang saya masih ingat ketika hidup 5 tahun di sini dulu. “Okie (okay), that’s it. Have a nice die (day) mite (mate)”, kata beliau mengizinkan saya masuk ke Australia.

Saya yang kononnya berketerampilan “happy go lucky” bersyukur kerana dimudahkan Allah masuk ke bumi Australia, tapi rupanya soalan belum habis lagi. ”By the wie (way), who do you think will win tonite” (kamu agak siapa yang akan menang malam ini), tanya beliau berseloroh. “Who? Win what?”, tanya saya. “Yeah, tonite. Who do you think will win the match tonite?”. Saya mula resah kerana bukan sahaja tak tahu nak jawab apa, bahkan saya tak tahu apa yang berlaku pun malam tu. Rupa-rupanya di saat itu perlawanan akhir Piala Dunia 2006 sedang rancak berjalan secara langsung!! Sepanjang perjalanan dari Melbourne Airport ke rumah teman di metropolitan Melbourne, jalan raya lengang tanpa kenderaan bergerak. Semua orang berada di rumah menyaksikan perlawanan akhir tersebut, sedang saya tidak mengetahuinya langsung!

Walaupun nampaknya keterampilan “happy go lucky” yang cuba saya rancang di Melbourne Airport seperti di atas rupanya masih belum sempurna kerana jejaka ini tak mengikuti pun World Cup yang menjadi kegilaan ramai manusia seluruh dunia, namun saya bersyukur kerana Allah swt masih menjaga diri saya dari kelalaian yang telah menjadi kebiasaan masyarakat dunia. Sehingga ke hari ini, kisah di atas menjadi salah satu modal saya dalam mendidik anak-anak dan sahabat-sahabat akan erti perjuangan dengan sepenuh masa, jiwa dan raga serta penuh fana dan tajarrud dalam Amal Islami.

Kamulah umat yang terbaik yang pernah dikeluarkan untuk manusia. Kamu menyeru kepada makruf dan kamu mencegah dari kemunkaran dan kamu beriman kepada Allah” (Al-Quran). “Wahai (Nabi) Yahya, ambillah Kitab ini dengan kuat (bersungguh dalam memperjuangkannya)” (Al-Quran).

Kisah di atas bukan ingin membincangkan hukum syarak tentang menonton Piala Dunia atau sebarang perlawanan rasmi sukan-sukan luar negara dan tanahair, akan tetapi ia membentang hakikat mengenai fokus amal harian para duat di jalan Allah, ruang masa yang kita susun dan peruntukan, serta kesungguhan kita untuk mencapai matlamat jauh membina Individu Muslim, Keluarga Islam, Masyarakat Islam, Kerajaan Islam, Negara Islam, Khilafah Islam dan Memimpin Alam dengan Islam yang kita warisi dari Rasulullah saw dalam menuju redha dan syurga Allah swt.

Ketika di Darul Ulum, Universiti Kaherah, setelah selesai ujian lisan di depan barisan pensyarah ulamak Bahasa Arab, sebelum Hasan Al-Banna bangun, mereka bertanya satu soalan sekadar ramah mesra, “Apakah rangkap yang paling engkau sukai, wahai Hasan?”. Hasan Al-Banna yang menghafaz 18,000 rangkap syair menjawab, “Yang paling aku sukai ialah rangkap Qadin tadabuka li amrin, In fatinta lahu farbak linafsika an tar’aa maal hamali” (Mereka telah mencalonkan engkau untuk satu urusan (penting). Jika engkau sedar (harapan itu), jauhilah kamu dari (bergelumang) dalam perkara yang remeh temeh (kerana ini akan menghampakan harapan mereka terhadap kamu)). Kesemua pensyarah terpegun dan kagum sambil berkata, “Telah lama kami bekerja di sini dan telah ramai mahasiswa/i yang telah kami tanya, namun yang memberikan jawapan yang sama dengan kamu ialah Asy-Syeikh Muhammad Abduh, ketika beliau seorang mahasiswa di sini 20 tahun yang lalu. Kami nampak kamu wahai Hasan akan memainkan peranan yang besar di hari muka”. Syeikh Muhammad Abduh adalah ulamak termasyhur di abad 19, mengelilingi dunia Islam, menyedarkan mereka akan bahaya penjajahan Barat yang sedang membelenggu mereka, sedang umat Islam ketika itu leka dan rela.

Umat Islam zaman ini hanyut di dalam kejahilan dan kefasikan di satu aspek, dan diserang habis-habisan oleh musuh-musuhnya di satu aspek yang lain. Ketika ini Allah swt telah memilih kita untuk memikul panji-panji perjuangan Islam yang pernah dipegang oleh para Anbiyak as, Rasulullah saw, para Sahabat ra dan para Tabi’en. Umat Islam telah melihat kitalah orangnya yang akan menyelamatkan mereka dari kemelut yang sangat sengit dan dahsyat ini. Jika kita sedar akan harapan mereka yang tinggi ini, kenapakah kita masih bergelumang dengan perkara dan acara yang remeh-temeh? Ayuh, tinggalkan semua yang remeh-temeh itu, marilah bekerja bersama kami menjayakan agenda umat yang besar lagi pasti dibantu dan dimenangkan Allah swt.

Oleh: Ustaz Abdul Halim Abdullah,
Naib Presiden I,
Ikatan Muslimin Malaysia
Blog: Ini Jalanku

Related Posts with Thumbnails
http://www.ismaeropah.com/wp-content/plugins/sociofluid/images/google_48.png http://www.ismaeropah.com/wp-content/plugins/sociofluid/images/myspace_48.png http://www.ismaeropah.com/wp-content/plugins/sociofluid/images/facebook_48.png http://www.ismaeropah.com/wp-content/plugins/sociofluid/images/twitter_48.png

Comments

Powered by Facebook Comments

Leave a Comment