Usul Deklarasi Hak Bersuara, Berhimpun dan Berpersatuan Hakis Identiti Pelajar Malaysia di UK

Sesi Perbahasan Mesyuarat Agung Tahunan UKEC 2017 pada beberapa minggu yang lalu mungkin merupakan antara mesyuarat agung tahunan paling hangat yang pernah berlaku dalam sejarah Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia di UK dan Eire itu. Mana tidaknya usul yang begitu hangat dibahaskan terpaksa ditangguhkan sesi pengundiannya ke sesi mesyuarat akan datang pada tahun hadapan kerana majoriti ahli majlis tertinggi tidak dapat membuat keputusan dengan tuntas. Tahun ini usul yang paling hangat dibahaskan telah dibawa oleh ahli Kesatuan Pelajar Undang-Undang Malaysia KPUM mengenai Deklarasi Hak Pelajar, Kebebasan Bersuara, Berhimpun dan Berpersatuan.

Namun begitu, tidak adil sekiranya penulisan ini hanya melukis gambaran mesyuarat agung itu hanya mengenai usul yang dibawa oleh KPUM ini. Usul lain yang juga mendapat perhatian ialah mengenai galakan kerjasama antara persatuan pelajar Malaysia dengan persatuan pelajar di UK serta badan NGO setempat yang telah dibawa oleh saudari Sharifah Hani.

Berbalik kepada topik sebenar penulisan ini, terdapat beberapa perkara di dalam usul Deklarasi Hak Pelajar, Kebebasan Bersuara, Berhimpun dan Berpersatuan yang perlu ditolak atas beberapa kelemahan dan implikasi negatif yang bakal dibawa oleh deklarasi ini. Beberapa kelemahan teknikal terhadap usul ini yang telah dibahaskan oleh ahli mesyuarat juga akan dihuraikan di dalam artikel ini.

  1. Berdasarkan beberapa klausa yang digariskan di dalam deklarasi, terdapat klausa-klausa tertentu yang sangat bermasalah dan bercanggah dengan perlembagaan negara. Contohnya dalam artikel 9 perenggan 5 deklarasi ini:

“…that where the Federal Constitution lacks the jurisdiction mentioned in Clause (4), Malaysian students shall enjoy the protections or guarantee of their human rights or fundamental liberties by virtue of the law of the land that these students reside on or any applicable international law or legal instrument. These may include, but are not limited to:

(a) The European Convention on Human Rights (ECHR) or;
(b) The International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR)…”

Peruntukan di dalam artikel 9 deklarasi ini cuba menerangkan bahawa apabila terdapat kekangan bidang kuasa Perlembagaan Malaysia, deklarasi ini mencadangkan supaya persatuan pelajar Malaysia terutamanya UKEC mengguna pakai The European Convention on Human Rights contohnya dan lain-lain undang-undang antarabangsa sebagai rujukan. Kelemahan pertama dalam klausa ini ialah disebabkan terdapat ayat “These may include, but are not limited to…” maka timbul persoalan, siapakah yang akan menentukan undang-undang antarabangsa mana yang akan dipakai dalam sesuatu isu? KPUM? UKEC? Persatuan Pelajar Malaysia? Education Malaysia? Apakah akta yang memberikan kuasa pengadilan kepada badan-badan ini? Sebab itu penyelesaian kepada masalah ini ialah persatuan pelajar Malaysia mesti tertakluk kepada garis panduan yang digariskan oleh Kedutaan Malaysia dan Education Malaysia serta Perlembagaan Malaysia. Sekiranya anda tidak berpuas hati dengan garis panduan yang ditetapkan, silalah cabar garis panduan ini di mahkamah Malaysia mengikut laras undang-undang di Malaysia.

  1. Terdapat beberapa peruntukan di dalam European Convention for Human Right contohnya yang ternyata bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia. Artikel 9 European Convention for Human Right misalnya menyatakan:

“Everyone has the right to freedom of thought, conscience and religion; this right includes freedom to change his religion or belief and freedom, either alone or in community with others…” 

Perenggan ini jelas bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia di bawah Kebebasan Beragama Perkara 11 yang perlu dibaca bersama dengan Perkara 3 (11) Perlembagaan Malaysia yang memberi hak istimewa kepada agama Islam di mana orang Islam tidak boleh keluar agama atau murtad serta tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap pesalah. Peruntukan di dalam artikel 9 ini sebenarnya adalah tidak perlu kerana cukup sekadar persatuan pelajar Malaysia patuh dengan nilai dan etika yang tersemat di dalam roh Perlembagaan Malaysia.

Walaupun ada beberapa ayat di dalam deklarasi ini yang menyatakan undang-undang antarabangsa lain hanya akan dipakai sekiranya ‘Federal Constitution lacks the jurisdiction’ tetapi tidak pernah dinyatakan dimana-mana bahagian deklarasi ini contoh situasi di mana Perlembagaan Malaysia ini ‘lacks the jurisdiction’. Maka, istilah ini boleh dimanipulasi oleh sesetengah pihak sekiranya deklarasi ini diluluskan.

  1. Deklarasi ini juga sebenarnya menghalang hak demokratik persatuan-persatuan pelajar Malaysia. Misalnya di dalam artikel 8 deklarasi ini menyatakan:

“…Any dispute concerning the interpretation of the provisions or words of the Declaration shall be resolved by:

1. a simple majority vote by all members of the Executive Committee of the United Kingdom Executive Council for Malaysian Students on the advice of a representative(s) from the United Kingdom & Eire Malaysian Law Students’ Union subject to clause (3) below or;…..”

 “…If the method in Clause (2) paragraph (b) is adopted, the independent representative(s) from the United Kingdom and Eire Malaysian Law Students’ Union shall make the final decision on the matter at hand but only after having taken into consideration the arguments from either side of the dispute…..”

Dua klausa di dalam artikel 8 deklarasi ini secara langsung telah memberikan kuasa penuh kepada satu persatuan pelajar sahaja iaitu Kesatuan Penuntut Undang-Undang Malaysia di United Kingdom dan Eire (KPUM) untuk menentukan sebarang bentuk interpritasi kepada sebarang perbalahan terhadap terma-terma yang digunapakai di dalam deklarasi ini. Soalan pertama, mengapa KPUM mendapat kepercayaan untuk memberi nasihat dalam sesuatu masalah yang akan berlaku? Kedua, apakah kuasa autoriti yang ada pada KPUM sehingga mereka boleh memberi nasihat sekiranya berlaku perbalahan terhadap terma-terma tertentu? Ketiga, bagaimana kita ingin memastikan KPUM bersifat neutral dalam memberikan nasihat dan tidak berat sebelah kepada sesuatu pihak?

Lebih bermasalah lagi apabila deklarasi ini juga tidak memberikan huraian dan penjelasan tepat terhadap hak individu dan hak persatuan pelajar. Kerana natijah deklarasi ini ialah ingin memberi hak-hak tertentu kepada pelajar Malaysia dan menuntut persatuan pelajar Malaysia yang menandatangani deklarasi untuk memberikan komitmen. Tetapi, di dalam sesetengah persatuan pelajar Malaysia, ahlinya terdapat pelajar dalam kalangan warganegara lain seperti Singapura dan Hong Kong. Apakah hak mereka tidak perlu dijaga oleh persatuan pelajar Malaysia sedangkan mereka juga seorang ahli yang membayar yuran? Bagaimana sekiranya pengerusi atau presiden persatuan pelajar tersebut merupakan mereka yang bukan dalam kalangan warganegara Malaysia kerana ada sesetengah persatuan pelajar Malaysia yang berdaftar dengan UKEC sebenarnya adalah gabungan dua persatuan pelajar Singapura dan Malaysia seperti di Manchester dan Leeds. Apakah seorang pengerusi atau presiden yang berwarganegara Singapura contohnya layak membuat keputusan terhadap usul deklarasi ini yang akhirnya memberikan kesan kepada pelajar Malaysia sahaja?

  1. Sekiranya usul ini diluluskan, UKEC perlu bersedia untuk menyokong segala aktiviti pelajar yang telah tertera seperti di dalam artikel 9 deklarasi pelajar ini kerana ia menuntut komitmen daripada anggota UKEC untuk melaksanakan hak kebebasan seperti yang telah digariskan di dalam deklarasi ini. Perkara ini boleh dirujuk di dalam artikel 10 deklarasi ini:

“…We, the signatories, pledge to do so by:

• supporting students to participate in any activities where such rights are actively being exercised by not hindering any student from participating in such activities and as far as membership in any organisation or society or student body is concerned, not disqualify, demote or bar any student from their organisation or participation in such activities, unless such restrictions are lawfully permitted on the grounds detailed in Article 11;..”

Pernyataan ini menyebabkan UKEC tiada pilihan lain selain terikat untuk terlibat sama dalam menyokong SEBARANG aktiviti pelajar seperti yang telah deklarasi ini gariskan sebagai Hak Kebebasan Bersuara. Hal ini ternyata sekali bertentangan dengan perlembagaan UKEC. Sekiranya kita rujuk perlembagaan UKEC dalam Artikel 3, perenggan 2:

“…to achieve co-operation in solving problem of a social, culture, economic character and in promoting and encouraging MALAYSIAN WAY OF LIFE..”

 Kenyataan di dalam perlembagaan UKEC ini jelas menerangkan akan peranan UKEC untuk berkerjasama dalam mempromosikan CARA HIDUP MASYARAKAT MALAYSIA. Cara hidup masyarakat Malaysia mestilah nilai yang tidak bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia dan nilai-nilai Islam sebagai agama negara. Seakan-akan Deklarasi Pelajar ini juga cuba mengubah atau mengurangkan kuasa perlembagaan UKEC yang telah dipegang oleh pelajar Malaysia sejak sekian lama. Tiada mana-mana bahagian di dalam Deklarasi Pelajar ini menyatakan keutamaan perlu diberikan kepada perlembagaan UKEC sekiranya berlaku percanggahan antara kedua-duanya.

  1. Lebih mengkhuatirkan walaupun mungkin ini bukanlah niat asal deklarasi ini ditulis, ialah kemasukan ideologi barat yang bakal merosakkan persatuan pelajar Malaysia. Berbalik kepada Artikel 9 deklarasi ini, beberapa klausa di dalam ECHR seperti Artikel 8 ECHR juga mengiktiraf hak individu untuk memilih orientasi identiti seksual masing-masing tanpa boleh dihalang oleh pihak autoriti. Hal ini juga terlalu asing untuk kita sebagai masyarakat yang mengamalkan budaya timur serta bertentangan dengan agama Islam. Peruntukan artikel 8 ECHR ini secara langsung mengiktiraf hak golongan LGBT serta memberi kebebasan kepada mana-mana badan untuk memperjuangkan hak kaum ini. Dalam banyak kes mahkamah Malaysia tidak pernah mengiktiraf hak golongan ini dan LGBT dikira sebagai satu penyakit di Malaysia dan perlu menjalani rawatan pemulihan. Sekiranya Ahli Majlis Tertinggi UKEC meluluskan usul ini, UKEC di masa hadapan boleh dimanipulasi oleh sesetengah pihak untuk dijadikan platform menyebarkan ideologi songsang ini.

Antara implikasi negatif lain sekiranya Artikel 8 ECHR digunapakai sebagai garis panduan aktiviti pelajar Malaysia ialah sebarang aktiviti untuk menyedarkan pelajar Malaysia khususnya berkenaan bahaya budaya lgbt akan terhalang dan boleh dikira sebagai satu kesalahan. Contoh kes untuk menyokong kenyataan ini ialah seperti yang berlaku kepada salah seorang pelajar Sheffield University, Felix Ngole yang telah dibuang universiti pada tahun 2014 akibat memuat naik satu status Facebook berkenaan dosa perlakuan homoseksualiti mengikut Bible.

Peruntukan Artikel 9 deklarasi ini telah meninggalkan satu lompong yang sangat besar sehingga boleh dimanipulasi oleh sesetengah pihak di masa hadapan untuk kepentingan mereka.

  1. Dari sudut yang lain sebenarnya deklarasi ini cuba mencadangkan bahawa mahasiswa luar negara boleh melupakan seketika intipati Perlembagaan Malaysia ketika mereka di luar negara dan boleh mengambil ideologi, cara hidup masyarakat dan undang-undang barat. Akhirnya, pelajar yang akan kita lahirkan ialah pelajar yang lupa akan nilai sebenar masyarakat Malaysia malah lebih teruk lagi mereka akan pulang ke Malaysia dengan mentaliti ‘anglophile’.

7. ISMA Eropah menyeru kesemua Ahli Majlis Tertinggi UKEC daripada semua universiti yang berdaftar bersatu hati untuk menolak usul ini sebulat suara. Deklarasi ini bukan sahaja bermasalah daripada sudut teknikal tetapi sebenarnya meninggalkan satu lompong besar yang boleh dieksplotasi oleh sesetangah pihak untuk menyebarkan agenda jahat mereka.

Sekiranya kita benar-benar yakin akan 99 persamaan yang boleh menyatukan kita, maka 1 usul ini perlu menjadi bukti persamaan yang boleh disepakati. Tiada guna “menang sorak, kampung tergadai”. Juga menyeru persatuan-persatuan Islam di UK Ireland ini untuk bersama berkempen menentang usul ini.

Unit Kajian ISMA Eropah

Rujukan

  1. BBC News. (2017). Anti-gay marriage ban ‘breached rights’. [online] Available at: http://www.bbc.co.uk/news/uk-england-south-yorkshire-41487286 [Accessed 24 Oct. 2017].
  2. European Convention for Human Right, (2017). [online] Available at: http://www.echr.coe.int/LibraryDocs/DG2/HRFILES/DG2-EN-HRFILES-20(2005).pdf [Accessed 24 Oct. 2017].
  3. First Draft, Declaration on Student Right to Freedom of Speech, Assembly and Association, https://drive.google.com/file/d/0B29tsq-R5yCFR3BFcWJxdl92VDg/view
  4. Refugees, U. (2017). Refworld | Malaysia: Federal Constitution. [online] Refworld. Available at: http://www.refworld.org/docid/3ae6b5e40.html [Accessed 24 Oct. 2017].
  5. UKEC Constitution, (2017). [online] Available at: http://www.ukeconline.com/files/constitution.pdf [Accessed 24 Oct. 2017].
Related Posts with Thumbnails

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Check Also

Kekuatan Organisasi Kunci Kelangsungan Amal Dakwah di Sheffield

Sheffield, 14 Nov- ISMA Sheffield hari ini kembali semula menyusun strategi dan mengukuhkan organisasi persatuan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *