Ya Allah, Kerasnya Hatiku

Jujur, aku pernah ‘berhati keras’.

Tak perlu aku detailkan dosa-dosa itu. Kau sendiri tentu punya ‘dosa’. Cukup kau tahu dosa kau.Pendek kata, air mata aku tak pernah singgah ‘di pipi’ dalam berkurun lamanya. Bahkan ketawa bahagia seolah-olah diri sudah layak ‘ke syurga’.

Satu malam,

Lampu sudah ku tutup  tapi tak dapat juga aku lelapkan mata. Asyik pusing ke kanan kiri. akhirnya, aku duduk dan termenung sendiri. Aku buka youtube dan taip ‘Taubatan Nasuha’. First, bila lagu dan zikir di mainkan, aku rasa biasa. Lama-kelamaan semakin menusuk lagu itu ke jiwa. Sakit. Terlalu sakit.

Aku bertanya kenapa dengan diri aku ? Dah macam robot pun ada. Macam tunggul kayu pun ada. Macam dah ‘tak hidup’ pun ada. Ada hati dan perasaan tapi seolah-olah tidak punya hati dan perasaan. Kenapa aku tak boleh menangis ? Kenapa air mata aku tak boleh jatuh ? Kenapa aku  ‘tak rasa berdosa’ bila buat dosa ? Ya Allah. Tolong aku Ya Allah. .

Dah mati sangat ke hati aku ni Ya Allah ?
Dah tak hidup ke hati aku ni Ya Allah ?
Dah takda fungsi ke hati aku ni Ya Allah ?
Dah kenapa hati aku ni Ya Allah ?
Sebaik aku lafazkan semua itu,

Tiba-tiba
air mata aku jatuh.
Sedikit demi sedikit.
Perlahan demi perlahan.
Panas terasa di pipi.

Sekaligus semua dosa seolah-olah ‘di play kan’ di kotak fikiran.
Solat pun tak solat.
Aurat entah ke mana.
Ikhtilat jangan cakap.
Apa lagi dosa-dosa pada mak ayah.

Aku terus  bangun.
Aku cuba mencapai suis  lampu, ku buka dan terus mencari semula Al-quran yang sudah berhabuk di dalam almari.

Wuduk diambil.
Sejadah dibentang.
Apabila aku lafazkan,

” Allahu Akbar ” Untuk melaksanakan solat taubat dua rakaat, Lalu mengangkat kedua-dua tangan, seolah-olah itu ‘kali pertama’ aku merasakan Allah benar-benar hampir kepadaku. Dada rasa sakit, tak pernah rasa sebelum ini.

Bergetar-getar suara membacakan Surah-Surah.

Ketika itu yang ada hanya perasaan takut, rendah diri serta merasa ‘diawasi oleh Allah’.
Setiap bacaan surah dialunkan dengan tenang. Tidak tergesa-gesa, dan khusyuk seperti itulah kali pertama aku merasakan manisnya ‘solat’. Indahnya ‘solat’, nikmatnya ‘solat’. Tenangnya ‘solat’, bahagianya ‘solat’.Sepanjang doa, aku sebutkan semua dosa. Aku luahkan semua pada Allah. Menangis, merayu, memohon, mengadu. Hinggalah selesai melakukan solat taubat, aku terasa ‘ringan’.

Wallahi. Sangat ringan.

Dan ya, yang memberatkan perasaan selama ini adalah ‘hati-hati’ aku yang hitam.

Ketika itulah aku  sedar, bahawa hanya Allah tempat bersandar. Apabila Allah menjadi tempat sandaran, seluruh fikiran dan jiwa merasa ‘mahu dekat’ pada Allah setiap saat. Dan tidak mahu ‘satu saat’ pun terpisah dengan Allah. Bahkan seluruh jiwa mengadu domba lalu kita pilih Allah untuk curahkan semua rasa dengan harapan Allah akan bantu kita dan pasti bantu kita.

Menangislah kerana cintakan Allah.
Menangislah kerana rindukan Allah.
Menangislah kerana kasihkan Allah.
Menangislah kerana ‘takut jauh’ dengan Allah.

Menangis kerana sedar betapa kita kerdil. Kita hina. Kita zalim terhadap diri. Kita lemah. Dan kita tidak ada siapa-siapa yang sanggup menolong dari kesusahan selain Allah. Dengan linangan air mata, nyatakanlah kecintaan kita pada Allah bukan kerana mengharap syurga atau takutkan neraka tetapi semata-mata kerana kecintaan kepada Allah.

Buat yang ‘berhati keras’
Apa salahnya menangis ?
Jika memang menangis itu membuatkan kau menjadi sedar ?
Apa salahnya menangis ? Jika memang menangis itu merupakan ‘kelembutan hati’ seeseorang mukmin.?
Apa salahnya menangis ?

Bukankah di antara 7 golongan manusia yang mendapat naungan Allah adalah yang berdoa kepada Rabb-Nya dalam kesendirian sambil menitiskan air mata ?

Wahai temanku sekelian, aku ungkapkan padamu, berapa lama lagi kita perlu disibukkan dengan duniawi? Berapa lama lagi kita perlu disibukkan dengan ‘maksiat’ ? Berapa lama lagi ?

Jika kamu masih lagi bernafas, masih belum terlambat.

Mulailah langkahmu !

Hari ini kita melihat ‘orang mati’
Esok orang melihat ‘kita mati’
Kematian itu tidak mampu kita lari darinya.
Meskipun tembok tinggi terbina.
Kematian akan datang dan mencarimu.

Ya, kematian itu akan datang dan mencarimu!

P/s: watak “aku” adalah rekaan penulis semata-mata dan tidak ada kaitan dengan diri penulis, dan orang lain sama ada yang masih hidup atau telah meninggal dunia.

 

Megat Akmal Faiz,
Tahun akhir,Perakaunan,
Dublin Business School,
Aktivis ISMA UK-EIRE.

taubat

Related Posts with Thumbnails

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Check Also

Kekuatan Organisasi Kunci Kelangsungan Amal Dakwah di Sheffield

Sheffield, 14 Nov- ISMA Sheffield hari ini kembali semula menyusun strategi dan mengukuhkan organisasi persatuan …